More

    Mentafsir al-Quran – Syarat dan adabnya

    ISLAM merupakan agama Ilahi berpandukan kepada wahyu al-Quran. Ia adalah petunjuk hidayah dalam lautannya, tinggi fahamannya, dan tidak sampai kepada kefahamannya kecuali yang benar-benar berkecimpung dalam banyak ilmu.

    Di samping itu bermuamalat kepada Allah dengan penuh ketaqwaan dalam keadaan sir dan terang-terangan, terutamanya ketika dalam banyak perkara syubhat, lataif dan hakikat yang tidak difahami kecuali sesiapa yang diberikan kurniaan Allah.

    Al-Quran ialah kitab suci Allah yang diwahyukan kepada rasul-Nya Muhammad s.a.w. melalui perantaraan Jibril, mengandungi 114 surah daripada al-Fatihah hingga al-Nas.

    Antara keistimewaan al-Quran ialah merupakan kitab Ilahi yang terpelihara, mukjizat, berisi penerangan dan mudah, kitab agama yang benar semuanya, sepanjang masa dan kitab insaniyah semuanya.

    Hal ini telah dinyatakan oleh Dr. Yusuf al-Qardhawi dalam kitabnya Bagaimana Kita Berinteraksi Dengan Al-Quran, halaman 17-70.

    Antara matlamat-matlamat al-Quran al-Karim seperti kata al-Qardhawi :

    * Mentashihkan akidah sama ada berkaitan uluhiyyah, risalah dan perbahasan.

    * Membenarkan karamah insani dan hak-haknya.

    * Mengajar manusia ibadah yang baik kepada Allah.

    * Menyeru kepada pembersihan jiwa.

    * Pembentukan usrah yang solehah.

    * Mengasaskan ummah yang menjadi saksi kepada sekalian manusia.

    * Dakwah kepada alam insani yang bersifat tolong menolong.

    Sebahagian ulama menyatakan intipati dalam al-Quran ada empat:

    * Permasalahan akidah.

    * Permasalahan syariah.

    * Perbandingan agama dan akhlak.

    * Kisah nabi-nabi dan umat dahulu kala.

    Tafsir al-Quran atau dikenali juga takwil pada definisi bahasa, membawa maksud penerangan dan pendedahan. Ini pendapat yang dikemukakan oleh ahli-ahli bahasa seperti pengarang al-Qamus, al-Bahr al-Muhit dan Tha’lab.

    Pada istilahnya pula, ia adalah ilmu yang membincangkan bagaimana menyebut dengan lafaz al-Quran, madlulnya, hukum-hukumnya sama ada berbentuk satu atau tersusun dan maknanya.

    Al-Suyuti menaqalkan daripada Imam Zarkasyi, definisi tafsir dengan maksud ilmu yang difaham dengannya, kitab Allah yang diturunkan kepada nabi-Nya Muhammad s.a.w. yang menerangkan makna-maknanya dan hukumnya (Lihat al-Itqan 4 / 169).

    Ulama berselisih pendapat mengenai perbezaan antara kalimah tafsir dan takwil. Abu Ubaidah berpendapat ia memberi makna yang sama. Al-Gharib pula berpendapat tafsir lebih umum dan luas penggunaannya pada lafaz-lafaz dan mufradatnya dalam kitab-kitab Ilahi.

    Al-Maturidi menganggap tafsir adalah memutuskan dengan apa yang dikehendaki Allah. Sedangkan takwil kembali kepada beberapa andaian. (Tarikh ilmi al-Tafsir / Dr. Ali Hasan al-‘Aridu).

    Rumusan yang dapat dinyatakan bahawa menghimpunkan makna takwil dan tafsir lebih baik daripada memisahkannya. Justeru kedua-duanya memberi makna yang sama seperti pendapat Ibn Jarir.

    Para ulama banyak membahaskan syarat-syarat tafsir al-Quran sebelum ditafsirkannya seperti al-Suyuti melalui kitabnya, al-Itqan Fi Ulum al-Quran, Syeikh Ibn Taimiyah dengan Mukadimah Fi Usul al-Tafsir, Ibn al-Qayyim dengan al-Tibyan Fi Aqsam al-Quran, al-Zarkasyi dengan al-Burhan, al-Zurqani dengan Manahil al-Irfan dan ramai lagi ulama.

    Syarat syarat mufassir dan adab-adabnya.

    * Keikhlasan.

    * Iktikad yang sahih.

    * Sejahtera daripada amalan dan iktikad bidaah.

    * Bertaubat dan sentiasa kembali kepada Allah.

    * Sentiasa berwaspada daripada terjebak mengikut hawa nafsu.

    * Mempunyai pelbagai ilmu, antaranya, Ilmu lughah seperti kata Mujahid : Tidak halal bagi seseorang yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat bercakap tentang kitab Allah jika tidak arif / tahu dengan bahasa Arab.

    Antara ilmu bahasa itu :

    * Nahu.

    * Tasrif atau Sarf.

    * Istiqaq sama ada istiqaq besar atau kecil.

    * Balaghah iaitu bayan ma’ani dan badi’.

    * Usuluddin.

    * Usul fiqh.

    * Asbab al-Nuzul

     sebab-sebab diturunkan ayat.

    * Nasikh dan mansukh.

    * Ilmu Fikah.

    * Ilmu Hadis

    * Ilmu Qiraat.

    * Ilmu al-Mauhibah. Al-Zarkasyi dalam al-Burhan berkata: “Ketahuilah bahawa tidak tercapai kefahaman makna wahyu dan nyata segala sir-sirnya sedangkan dalam hatinya terdapat unsur bidaah, takabbur, hawa nafsu, cinta dunia atau yang kekal melakukan maksiat, atau tidak tahqiq iman atau daif tahqiq atau bergantung kepada pendapat mufassir tanpa ilmu atau kembali kepada akalnya. Ini semua adalah hijab / terdinding daripada tafsir.”

    * Ilmu Sirah.

    * Ilmu Tarikh al-Adyan (agama). Ini terutamanya agama-agama samawi antaranya Yahudi, Masihi dan juga agama lain. Suka ditambah di sini ilmu-ilmu moden seperti mukjizat al-Quran mengikut sains dan lain-lain lagi.

    Disyaratkan juga ahli tafsir menjauhkan perkara-perkara ini :

    * Tanpa ilmu dan tidak mencukupi syarat-syarat ahli tafsir.

    * Membincangkan perkara yang berada di dalam ilmu Allah semata-mata.

    * Mengikut hawa nafsu.

    * Tafsir ayat-ayat dengan makna yang tidak boleh ditanggungnya.

    * Tafsir secara pasti seperti kehendak Allah daripada ayat ini begini-begini.

    Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah dalam Mukadimah Fi Usul al-Tafsir halaman 83, memberi peringatan kepada golongan yang berpaling daripada tafsir al-Sahabat dan al-Tabiin tegasnya, “Sesiapa yang berpaling daripada mazhab-mazhab sahabat dan al-Tabiin, sedangkan tafsir mereka bercanggah daripada yang demikian itu, sebenarnya dia tersilap dan juga ahli bidaah.

    Sumber: Dr. Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri, Pensyarah Kanan Kolej Uniti, Pasir Panjang, Port Dickson, Negeri sembilan.

    (Beliau mendapat ijazah sarjana mudanya dalam bidang Syariah dari Universiti Islam Madinah, Arab Saudi. Ijazah sarjananya dalam bidang yang sama diterima dari Universiti Ulum Islamiyyah Wal Arabiyyah, Syiria. Sementara P.hd Syariah dari Universiti Sains Malaysia).

    Latest articles

    Related articles