Siapakah Mazhab Muktabar Akidah Ahli Sunah Waljamaah?

Menurut Pusat Fatwa Jordan (Dairah al-Ifta’ al-‘Amm fi al-Mamlakah al-Urduniyyah al-Hashimiyyah) dalam kitab akidah terbitan rasmi berjudul Aqidah al-Muslim, Ahli Sunah Waljamaah adalah golongan yang berpegang dengan pandangan Nabi SAW dan sahabat tentang usul akidah serta amalan. Usul itu dijaga dan diakui kebenarannya oleh pengikut mazhab muktabar bidang usuluddin dan furuknya (fiqah) yang dikenali sebagai Ahli Sunah Waljamaah.

Ahli Sunah Waljamaah adalah satu kumpulan, tetapi jumlah bilangan pendokongnya melebihi kumpulan yang lain. Disebabkan itu, mereka adalah al-sawad al-a’zam (majoriti) umat Islam sebagaimana disebut dalam lafaz hadis. Pusat Fatwa Jordan tidak menyatakan hadis itu, mungkin hadis dan syarahannya ini yang dimaksudkan, yakni sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Umat Yahudi berpecah kepada 71 kumpulan;  70 kumpulan di neraka dan satu kumpulan di syurga. Umat Nasrani berpecah kepada 72 kumpulan; 71 kumpulan di neraka dan satu kumpulan di syurga. Umat ini (umat Islam) akan berpecah kepada 73 kumpulan;  72 kumpulan di neraka dan satu kumpulan di syurga.  Kami (sahabat) bertanya:  Tunjukkan sifatnya kepada kami. Baginda SAW menjawab:  Al-sawad al-a’zam.”  Diriwayatkan oleh Imam al-Tabrani, rijalnya thiqah menurut Imam al-Haithami

Abu Umamah al-Bahili berkata: Hendaklah kalian bersama dengan al-sawad al-a’zam. Diriwayatkan oleh Imam ‘Abdullah ibn Ahmad, Imam al-Bazzar dan Imam al-Tabrani, rijal thiqah menurut Imam al-Haithami.

Menurut Imam al-Suyuti, al-sawad al-a’zam adalah ‘jamaah’ manusia (umat Islam) terbanyak, bersatu dalam satu manhaj yang lurus. Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menukilkan perkataan Imam al-Tabari yang merujuk ‘jamaah’ sebagai al-sawad al-a’zam.

Menurut Pusat Fatwa Jordan, mazhab muktabar Ahli Sunah Waljamaah dalam akidah Islam ialah mazhab al-Asha’irah (atau al-Ash’ariyyah) dan mazhab al-Maturidiyyah. Kedua-dua mazhab ini dinisbahkan kepada Imam Abu al-Hasan al-Ash’ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi yang kedua-duanya pemimpin yang membawa petunjuk (imam huda) dan diterima secara besar-besaran oleh ulama Islam lain.

Mazhab akidah ini jumhur (majoriti) umat Islam di setiap zaman. Ulama mereka diberi kepercayaan oleh pemimpin dunia Islam untuk membina institusi pendidikan, merangka silibus pengajian, mendidik pelajar, memelihara hukum syariat Islam dan mempertahankan agama Islam yang murni. Mereka terkenal dengan ciri adil dan insaf atau mungkin juga Pusat Fatwa Jordan maksudkannya sebagai al-wasatiyyah (kesederhanaan) yang juga antara ciri penting Ahli Sunah Waljamaah.

Antara tokoh pendokong mazhab muktabar ini yang masyhur ialah Sultan Salahuddin al-Ayyubi yang terkenal dengan kejayaannya membebaskan Palestin daripada penjajahan Tentera Salib. Menurut Imam al-Sayuti, Sultan Salahuddin bermazhab fiqah al-Syafii dan bermazhab akidah al-Asha’irah yang memberi perhatian khusus dalam usaha menyebarkan mazhab akidah al-Asha’irah. Antaranya ialah, beliau memerintahkan muazin melaungkan bacaan kitab akidah al-Asha’irah pada waktu al-tasbih (sebelum azan Subuh setiap malam ). Beliau juga di samping menghafaz al-Quran turut menghafaz matan kitab al-Tanbih yakni kitab fiqah mazhab al-Shafii.

Selain itu menurut Imam al-Sayuti, disebabkan Sultan Salahuddin sangat mengambil berat akidah al-Ashairah, seorang ulama yang bernama al-Sheikh al-Nahwi Muhammad ibn Hibbah telah menulis kitab akidah al-Asha’irah dan menghadiahkannya kepada baginda. Kemudian kitab yang berjudul al-Aqidah al-Salahiyyah itu diperintahkan agar diajar kepada masyarakat termasuk kanak-kanak di bawah pemerintahan Sultan Salahuddin al-Ayyubi. Selain itu, disenaraikan juga beberapa contoh nama masyhur ulama mazhab muktabar ini yang alim bidang akidah dan usul fiqah seperti Imam al-Baqillani (meninggal 403H), Imam Ibn Faurak (meninggal 406H), Imam al-Juwaini (meninggal 478H), Imam al-Ghazali (meninggal 505H) dan Imam al-Razi (meninggal 606H).

Contoh lain nama masyhur ulama mazhab muktabar ini yang alim bidang tafsir al-Quran dan hadis ialah Imam al-Baihaqi (meninggal 458H), Imam al-Qushairi (meninggal 465H), Imam al-Baghawi (meninggal 510H), Imam Ibn Asakir (meninggal 571H), Imam al-Nawawi (meninggal 676H), Imam al-Baidawi (meninggal 685H), Imam Ibn Hajar al-Asqalani (meninggal 852H), Imam Badr al-Din al-Aini (meninggal 855H) dan Imam al-Sayuti (meninggal 911H).

Disenaraikan juga contoh nama masyhur ulama mazhab muktabar ini yang alim bidang fiqah seperti Imam Izz al-Din ibn Abd al-Salam (meninggal 660H), Imam Taj al-Din al-Subki (meninggal 767H), Imam al-Kamal ibn al-Humam (meninggal 861H), Sheikh al-Islam Zakariya al-Ansari (meninggal 926H) dan Imam Ibn Hajar al-Haitami (meninggal 973H).

Huraian ini jelas menunjukkan kedua-dua mazhab al-Asha’irah dan al-Maturidiyyah ini mewakili akidah umat Islam salaf serta khalaf sepanjang zaman. Ia adalah akidah yang diambil daripada Nabi SAW menerusi sahabat, tabiin dan tabi’ tabiin yang sampai kepada kita secara murni yang diperteguhkan dengan dalil naqli serta akli. Mustahil mazhab yang berjaya membentuk tamadun Islam yang hebat ini adalah ahli bidaah seperti yang ditohmah pihak tertentu.

Kitab akidah dipelajari dalam mazhab muktabar ini adalah berdasarkan peringkat permulaan, pertengahan dan tinggi. Antara kitab masyhur yang diajar pada peringkat permulaan ialah:

1. Kitab Jauharah al-Tauhid oleh Imam Ibrahim al-Laqani al-Maliki (meninggal 1041H). Ramai ulama mensyarahkan kitab ini antaranya ialah bekas Mufti Jordan, Sheikh Nuh Ali Salman al-Qudah yang berjudul al-Mukhtasar al-Mufid fi Sharh Jauharah al-Tauhid. Maklumat tambahan, kitab ini menjadi rujukan utama bagi silibus subjek al-Aqidah al-Islamiyyah peringkat Diploma di Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

2. Kitab Umm al-Barahin oleh Imam al-Sanusi (meningga 895H) yang beliau sebenarnya mempunyai peringkat pembacaannya sendiri daripada permulaan hingga tertinggi bermula dengan al-Muqaddimat kemudian Sughra al-Sughra kemudian Umm al-Barahin kemudian al-Wusta kemudian al-Kubra. Ramai ulama mensyarahkannya termasuk penulisnya sendiri yang mempunyai syarahan khusus bagi kitabnya itu.

3. Kitab al-Kharidah al-Bahiyyah oleh Imam al-Dardir (meninggal 1201H) yang ramai ulama mensyarahkannya termasuk penulisnya sendiri.

4. Kitab Qawa’id al-‘Aqaid oleh Imam al-Ghazali (meninggal 505H) yang terdapat dalam bahagian awal daripada kitab Ihya Ulum al-Din. Ramai ulama yang mensyarahkannya seperti Imam al-Zabidi dan Imam Zarruq.

5. Kitab Idaah al-Dujnah fi ‘Aqaid Ahl al-Sunnah oleh Imam al-Tilmisani (meninggal 1041H). Ramai ulama mensyarahkannya seperti Sheikh Muhammad Allaish (meninggal 1299H).

6. Kitab al-Aqidah al-Salahiyyah seperti yang dijelaskan tadi. Judul asalnya ialah Hadaiq al-Fusul wa Jawahir al-Usul.

Kitab di peringkat pertengahan pula antaranya ialah al-Iqtisad fi al-I’tiqad oleh Imam al-Ghazali, kitab Ma’alim Usul al-Din oleh Imam al-Razi dan kitab al-Aqidah al-Wusta oleh Imam al-Sanusi yang masing-masing ada ulama yang mensyarahkannya. Di peringkat tinggi pula, antara kitab itu ialah kitab Sharh al-‘Aqaid al-Nasafiyyah oleh Imam al-Taftazani, kitab Tahzib al-Kalam oleh Imam al-Taftazani, kitab al-Mawaqif oleh Imam Add al-Din al-Iji berserta syarahannya oleh Imam al-Jurjani dan kitab Abkar al-Afkar oleh Imam al-Amidi. Peringkat tertinggi ini kitabnya sukar dibaca melainkan mereka yang ada pengkhususan serta menguasai bidang ini.

Mazhab muktabar Ahli Sunah Waljamaah yang dijelaskan oleh Pusat Fatwa Jordan ini perlu diambil manfaat oleh umat Islam di Malaysia agar mereka tidak tersalah memilih rujukan atau penceramah dalam pengajaran akidah Islam. Ini kerana ramai yang ingin kembali kepada al-Quran dan hadis, namun rujukan atau penceramah yang dipilih tidak menepati mazhab muktabar Ahli Sunah Waljamaah.

Kesannya, tanpa sedar mereka terdedah kepada kefahaman al-Quran dan hadis berdasarkan golongan bidaah seperti fahaman Liberalisme, Pluralisme, Muktazilah, Literalisme, Daish, Mujassimah, Musyabbihah, Syiah, Batiniyyah dan seumpamanya.

Dr Mohd Hasrul Shuhari, Penulis Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Latest articles

Related articles