More

    Hadis Kelebihan Meninggal Dunia Pada Hari Jumaat

    Soalan:

    Salam ustaz, nk tanya tentang status hadis meninggal malam jumaat tu.. camne ye.. syukran ustaz..

    Ulasan oleh Dr Mohd Khafidz Soroni :

    Waalaikumussalam warahmatullah.

    i. Diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As RA bahawa Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

    مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَمُوتُ يَوْمَ الجُمُعَةِ أَوْ لَيْلَةَ الجُمُعَةِ إِلاَّ وَقَاهُ اللَّهُ فِتْنَةَ القَبْرِ. ولفظ أحمد: مَنْ مَاتَ يَوْمَ الجُمُعَةِ أو لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ وُقِيَ فِتْنَةَ القَبْرِ.

    Terjemahan: “Tiadalah seorang muslim yang mati pada hari Jumaat atau malam Jumaat melainkan Allah akan memeliharanya daripada fitnah kubur.” Dan lafaz Ahmad: “Sesiapa yang mati pada hari Jumaat atau malam Jumaat akan dipelihara daripada fitnah kubur.”

    ii. Hadis ini merupakan riwayat Imam Ahmad dlm Musnadnya, al-Tirmizi dalam Sunannya, ‘Abd al-Razzaq dlm al-Musnnaf, al-Tabarani dlm al-Awsat dan lain2. Kata al-Tirmizi: “Hadis gharib… dan hadis ini sanadnya tidak bersambung.” Yakni terputus antara Rabi‘ah bin Saif dan ‘Abdullah bin ‘Amru RA. Perawi yang gugur di antara kedua-duanya ialah ‘Iyadh bin ‘Uqbah, sptmn di sisi al-Tabarani, Abu Ya‘la dan al-Hakim al-Tirmizi (namun, dikatakan ada dua perawi lagi yang gugur, sepertimana di sisi Humaid bin Zanjuyah dan at-Tahawi dalam Musykil al-Athar). Bagaimanapun, terdapat mutaba‘ah (sokongan) baginya walaupun daif, iaitu daripada Abu Qabil di sisi Ahmad, Ishaq, at-Tabarani dan lain2.

    iii. Ulama hadis berselisih tentang status hadis ini:

    (a) Antara yang mengatakannya sahih atau hasan:

    al-Hafiz ad-Dhiya’ al-Maqdisi (w. 643H) dan Ibn al-Kamal (w. 688H) sepertimana di dalam kitab Sihah al-Ahadith, tartib Abu as-Sa‘adat al-Maqdisi (727H). Imam al-Suyuti dalam al-Jami‘ as-Saghir. Syeikh Ahmad Syakir menyatakan salah satu sanad Imam Ahmad adalah sahih (iaitu no. 7050, manakala no. 6646 dan 6582 daif).

    (b) Antara yang mengatakannya daif:

    Imam at-Tirmizi, diikuti oleh al-Hafiz al-Munziri dlm at-Targhib wat Tarhib. Kata al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Fath al-Bari: “Pada sanadnya ada kedaifan.” Namun, penilaian mereka ini hanya merujuk kepada sanad at-Tirmizi sahaja. Menurut Syeikh al-Mubarakpuri dalam Tuhfah al-Ahwazi: “Hadis ini daif kerana terputus sanadnya, tetapi ia mempunyai syawahid (riwayat-riwayat sokongan)”.

    iv. Hadis-hadis syawahid yang hampir serupa diriwayatkan daripada banyak jalan riwayat, walaupun dengan sanad-sanad yang daif dan amat daif, sepertimana berikut:

    1. hadis ‘Ali RA [di sisi ad-Dailami dalam Musnadnya],

    2. hadis ‘Imran bin Husain RA [di sisi ad-Dailami dalam Musnadnya],

    3. hadis Anas RA [di sisi Abu Ya‘la dlm Musnadnya dengan sanad yang amat daif],

    4. hadis Jabir RA [di sisi Abu Nu‘aim dalam al-Hilyah dan beliau mendaifkan sanadnya. Demikian juga penilaian al-‘Iraqi dalam Takhrij al-Ihya’],

    5. hadis Ibn ‘Umar RA [di sisi as-Syirazi dalam al-Alqab dan ad-Daraqutni dalam al-Afrad, katanya: Gharib].

    6. hadis Iyas bin al-Bukair RA [di sisi Ibn al-Rabi‘ al-Jizi, sepertimana dalam Husn al-Muhadharah oleh as-Suyuti dengan sanad yang daif],

    7. hadis Ibn ‘Abbas RA [di sisi al-Rabi‘ bin Habib dalam Musnadnya],

    8. hadis beberapa orang jiran Rasulullah SAW [di sisi al-Qasim bin ‘Ali ad-Dimasyqi].

    9. mursal al-Muttalib bin ‘Abdullah bin Hantab [di sisi ‘Abd al-Razzaq dlm al-Musnnaf],

    10. mursal Ibn Syihab az-Zuhri [di sisi ‘Abd al-Razzaq dalam al-Musnnaf],

    11. mursal ‘Ata’ bin Yasar [di sisi Humaid bin Zanjuyah dalam at-Targhib],

    12. athar ‘Ikrimah bin Khalid al-Makhzumi [di sisi al-Baihaqi dalam ‘Azab al-Qabr].

    v. Dengan syawahid (riwayat-riwayat sokongan) ini, hadis ‘Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As RA di atas boleh meningkat kepada status hasan li-ghairih. Kewujudannya di dalam Musnad Ahmad dan Sunan al-Tirmizi juga sudah cukup menunjukkan bahawa makna hadis tersebut sudah pun masyhur di kalangan para Salaf, kerana motif Imam Ahmad dan Imam at-Tirmizi ialah menghimpunkan hadis-hadis yang diguna pakai di zaman para Salaf itu. Apatah lagi dengan wujud

    syawahid yang banyak lebih menjelaskan lagi tahap kemasyhurannya. Bahkan, tiada di antara mereka yang mempertikai atau menilai matannya sebagai PALSU, kecuali sesetengah orang di zaman kita ini sahaja yang mendakwa kononnya mengikut Salaf. Sedangkan, Syeikh al-Albani sendiri turut menggunakan kaedah syawahid terhadap hadis ini di dalam kitabnya, Ahkam al-Jana’iz.

    vi. Sekiranya dikatakan statusnya tetap kekal daif pun, ia hanya berkaitan dengan bab fadha’il, iaitu sebagai tanda kesudahan yang baik (husnul khatimah) dan diharapkan orang muslim yang meninggal dunia pada hari atau malam Jumaat akan terpelihara daripada fitnah kubur. Justeru itu, ramai ulama yang menyebutkannya di antara keistimewaan2 hari Jumaat, antaranya Imam as-Suyuti dalam al-Lum‘ah fi Khasa’is Yawm al-Jumu‘ah katanya: “Ke-46: Aman daripada azab kubur bagi orang yang mati pada hari Jumaat atau malamnya”.

    vii. Menurut Syeikh al-Mubarakpuri dalam Tuhfah al-Ahwazi: “Ini menunjukkan bahawa kemuliaan masa itu mempunyai kesan yang besar, sebagaimana kemuliaan tempat juga mempunyai kesan yg besar”. Iaitu merujuk kepada perbandingan antara organg yang mati di tempat yang mulia seperti Makkah dan Madinah dengan orang yang mati di masa yang mulia seperti hari Jumaat. Kedua-duanya mempunyai kelebihan yang istimewa bagi orang-orang yang beriman di sisi Allah SWT.

    Wallahu a’lam.

    Latest articles

    Related articles