More

    Hukum Menghadiahkan Pahala Bacaan Al-Quran Kepada Nabi Muhammad ﷺ

    1. Telah berlaku kesepakatan di kalangan ulama bahawa dianjurkan bagi muslim untuk berselawat dan memberikan salam kepada Rasulullah shalallahu alaihu wasallam kerana kewujudan dalil yang jelas tentangnya.

    2. Namun, berlaku khilaf di kalangan ulama mengenai hukum menghadiahkan pahala bacaan Al-Quran dan amalan ketaatan kepada Nabi kerana tiada dalil yang jelas berkenaan dengannya.

    3. Para penuntut ilmu sudah pasti telah maklum bahawa setiap perkara yang tidak mempunyai dalil yang jelas maka ulama akan berijtihad berdasarkan sandaran yang ada. Maka sudah menjadi lumrah perkara yang termasuk ruang ijtihad akan berlaku khilaf.

    4. Sebahagian ulama mengatakan hukumnya tidak diharuskan dan dihukumkan sebagai makruh. Ini adalah pendapat Sidi Ahmad Zarruq dalam ‘Uddah Al-Murid Al-Sadiq dan juga Imam Ad-Dardir Al-Maliki dalam kitab Al-Syarh Al-Kabir Ma’a Hasyiah Al-Dusuqi.

    5. Pendapat kedua di kalangan ulama ialah mengharuskannya kerana berdalilkan Ibnu Umar pernah melaksanakan umrah bagi Nabi selepas kewafatan Baginda dan juga dalil-dalil lain. Ini merupakan pendapat Al-Khatib Al-Syarbini, Imam Subki dan lebih jelas lagi disebut oleh Imam Al-Bahutiy Al-Hanbali seperti berikut:

    “كل قربة فعلها المسلم وجعل ثوابها أو بعضها كالنصف والثلث أو الربع لمسلم حي أو ميت جاز ذلك ونفعه ذلك، لحصول الثواب له، حتى لرسول الله صلى الله عليه وسلم”

    “Setiap ketaatan yang dilakukan oleh orang Islam dan kemudian dia menjadikan pahalanya atau sebahagiannya (pahala) seperti separuh, 1/3 atau 1/4 (daripada pahalanya) kepada muslim (lain) samada hidup atau mati, adalah diharuskan dan memberikan manfaat demikian itu kerana terhasil pahala baginya (yang dihadiahkan), sekalipun ia bagi Rasulullah shalallahu alaihi wasallam” (Rujuk: Kasysyaf Al-Qina’)

    6. Jelaslah bahawa perkara ini termasuk khilaf muktabar dan ia termasuk perkara yang diamalkan dalam masyarakat kita dalam kalangan ahli ilmu.

    7. Oleh itu, perkara khilaf hendaklah dimaklumkan bahawa ia khilaf dan sebagai pendakwah yang bijak, selagi mana perkara tersebut ada ulama yang membenarkannya maka tidak seharusnya kita memetik kalam ulama lain semata-mata nak melintang arus perdana.

    8. Jika taqrib menjadi visi dan misi perjuangan selama ini, maka tidak sepatutnya kita mencipta perseteruan dengan perkara-perkara khilaf. Sikap sebegini, bukanlah sikap Ahli Sunnah Wal Jamaah.

    9. Akhir kalam, pendakwah nusantara perlulah berpegang dengan jati diri kita iaitu masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak. Janganlah masuk kandang kambing mengaum pula, nanti timbul kekecohan yang tidak diingini.

    Disediakan oleh:

    Hafiz Al-Za’farani (HAZA)

    Latest articles

    Related articles