SOALAN :
Saya ada terbaca dalam satu artikel menyebut kisah Abu Lahab didalam neraka dia diberikan keringanan kerana pernah bersedekah sebab menyambut kelahiran Nabi Muhammad.
Adakah kisah ini sahih?
JAWAPAN :
Kisah ini adalah sahih.
Telah diriwayatkan daripada Ummu Habibah binti Abu Sufyan r.a. katanya Urwah bin Zubair r.a. telah berkata :
وثُوَيْبَةُ مَوْلَاةٌ لأبِي لَهَبٍ: كانَ أبو لَهَبٍ أعْتَقَهَا، فأرْضَعَتِ النبيَّ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ، فَلَمَّا مَاتَ أبو لَهَبٍ أُرِيَهُ بَعْضُ أهْلِهِ بشَرِّ حِيبَةٍ، قالَ له: مَاذَا لَقِيتَ؟ قالَ أبو لَهَبٍ: لَمْ ألْقَ بَعْدَكُمْ غيرَ أنِّي سُقِيتُ في هذِه بعَتَاقَتي ثُوَيْبَةَ.
Artinya : “Dan Tsuwaibah itu ialah bekas hamba bagi Abu Lahab dan adalah Abu Lahab telah memerdekakannya. Maka Tsuwaibah telah menyusukan Nabi sollallahu alaihi wasallam. Maka ketika mati Abu Lahab telah diperlihatkan akan sebahagian keluarganya akan Abu Lahab di dalam mimpi. Berkata ia kepada Abu Lahab : Apakah (kebaikkan) yang kamu dapat? Jawab Abu Lahab : Aku tidak mendapati suatu apa (kebaikkan) selepas aku meninggalkan kamu sekelian melainkan sungguhnya aku diberi minum sekadar ini (titik air di hujung jari) dengan sebab aku memerdekakan Tsuwaibah.”
Kisah ini telah dikeluarkan oleh Imam Bukhari di dalam sahihnya pada hadith bernombor 5101.
Tsuwaibah ialah hamba yang telah dimerdekakan oleh Abu Lahab kerana Abu Lahab sangat gembira apabila mendengar berita yang dibawa oleh Tsuwaibah yaitu kelahiran Nabi sollallahu alaihi wasallam..
Tersebut pada Kitab Madarij As-Su’ud :
وأرضعته صلى الله عليه وسلم أمه أياما ثم أرضعته ثويبة الأسلمية التى أعتقها أبو لهب والصحيح ان أبالهب أعتقها فى الحال عتقا منجزاثم جعلها ترضعه صلى الله عليه وسلم فخفف الله عنه من عذابه كل ليلة اثنين جزاء لفرحه فيها بمولده صلى الله عليه وسلم أوجزاء لامره لها بارضاعه صلى الله عليه وسلم
Artinya : “Nabi sollallahu alaihi wasallam telah disusukan oleh bondanya beberapa hari kemudian menyusukannya pula oleh Tsuwaibah Al-Aslamiyah yang telah dimerdekakan oleh Abu Lahab. Dan yang sahih sungguhnya Abu Lahab telah memerdekakannya pada ketika itu juga sebagai merdeka penuh jadilah ia menyusukan Nabi sollallahu alaihi wasallam lalu Allah memberi ringan daripada Abu Lahab akan azab pada setiap hari isnin sebagai balasan kegembiraannya padanya dengan kelahiran Nabi saw atau balasan kerana perintahnya bagi Tsuwaibah supaya menyusukan Nabi sollallahu alaihi wasallam.”
Berkata Imam Zarqani :
وَقَدْ رُوِيَ أَنَّ أَبَا لَهَبٍ رُؤِيَ بَعْدَ مَوْتِهِ فِي النَّوْمِ ، فَقِيْلَ لَهُ : مَا حَالُكَ ، فَقَالَ فِي النَّارِ ، إِلَّا أَنَّهُ يُخَفَّفُ عَنِّيْ كُلَّ لَيْلَةِ اثْنَيْنِ وَأَمُصُّ مِنْ بَيْنَ أَصْبُعِيْ مَاءً بِقَدْرِ هَذَا – وَأَشَارَ إِلَى نُقْرَةِ إِبْهَامِهِ – وَأَنَّ ذَلِكَ بِإِعْتَاقِيْ لِثُوَيْبَةَ عِنْدَمَا بَشَّرَتْنِيْ بِوِلَادَةِ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَبِإِرْضَاعِهَا لَهُ
Artinya : “Maka sungguhnya telah diriwayatkan bahawa Abu Lahab dilihatkan selepas kematiannya di dalam tidur lalu dikatakan kepada Abu Lahab : Bagaimana keadaan kamu? Jawab Abu Lahab : Di dalam neraka melainkan bahawa diberi ringan ke atasku setiap hari isnin dan aku mengisap di antara dua jariku akan air sekadar ini sahaja sambil menunjukkan ibu jarinya. Dan adalah yang demikian itu ialah sebab aku memerdekakan Tsuwaibah ketika diberitahu khabar gembira buatku dengan kelahiran Muhammad sollallahu alaihi wasallam dan dengan sebab menyusukan Tsuwaibah akan Nabi sollallahu alaihi wasallam.” (Sharah al-Mawahib al-Ladunniyyah)
Berkata Al-Hafiz Ibnu Hajar : Telah berkata As-Suhaili dan lainnya :
إن الرائي له هو أخوه العباس وكان ذلك بعد سنة من وفاة أبي لهب بعد وقعة بدر ، وفيه أن أبا لهب قال للعباس : إنه ليخفف علي في مثل يوم الاثنين قالوا : لأنه لما بشرته ثويبة بميلاد ابن أخيه محمد بن عبد الله أعتقها من ساعته فجوزي بذلك لذلك
Artinya : “Bahawasanya lelaki keluarga Abu Lahab yang melihat di dalam mimpi itu ialah Al-Abbas. Adalah kejadian itu setahun selepas kematian Abu Lahab di Badar. Dan di dalam mimpi itu Abu Lahab berkata kepada Al-Abbas sungguhnya diringankan ke atasku pada setiap hari isnin. Berkata mereka itu : Yang demikian itu adalah kerana pada ketika Tsuwaibah membawa khabar gembira kepada Abu Abu Lahab tentang kelahiran Nabi sollallahu alaihi wasallam anak Abdullah lalu Abu Abu Lahab memerdekakan Tsuwaibah pada saat itu juga lalu dibalas yang demikian itu sebab memerdekakannya itu.” (Kitab Fathul Bari)
Maka pengajaran yang dapat diambil dari kisah ini ialah apabila seorang musuh Nabi yang paling benci kepada dakwah Nabi pun diberi balasan kebaikkan kerana gembira menyambut kelahiran Nabi maka bayangkanlah balasan yang akan diberikan kepada umat Islam diseluruh dunia yang sayangkan Nabi yang memperingati Nabi saw pada hari kelahirannya.
Berkata Imam Al-Hafiz Syamsudin bin Nasirudin Ad-Dimasyqi :
قد صح أن أبا لهب يخفف عنه عذاب النار في مثل يوم الاثنين لإعتاقه ثويبة سرورا بميلاد النبي صلى الله عليه وسلم ثم أنشد
:
إذا كان هذا كافرا جاء ذمه * وتبت يداه في الجحيم مخلدا
أتى أنه في يوم الاثنين دائما * يخفف عنه للسرور بأحمدا
فما الظن بالعبد الذي طول عمره * بأحمد مسرورا ومات موحدا
Artinya : “Sungguhnya telah sah bahawa Abu Lahab diringankan darinya azab neraka pada setiap hari isnin kerana dia memerdekakan Tsuwaibah kerana sangat gembira dengan hari kelahiran Nabi saw kemudian beliau bernasyid :
Apabila adalah Abu Lahab yang kafir ini yang datang celaannya dalam Quran menyebut kecelakaan dua tangannya yang kekal dia di dalam neraka jahim.
Berlaku kepadanya setiap hari isnin selamanya diringankan darinya azab kerana kegembiraannya dengan Nabi Muhammad.
Maka apakah sangkaan kamu dengan hamba-hamba yang sepanjang umurnya gembira dengan Nabi saw yang mati ia di dalam iman.” (Kitab Maurid As-Shodi Fi Maulid Al-Hadi)
اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ صَلاَةً تُنْجِينَا بِهَا مِنْ جَمِيعِ اْلاَحْوَالِ وَاْلآفَاتِ وَتَقْضِى لَنَا بِهَامِنْ جَمِيعَ الْحَاجَاتِ وَتُطَهِّرُنَا بِهَا مِنْ جَمِيعِ السَّيِّئَاتِ وَتَرْفَعُنَا بِهَا عِنْدَكَ اَعْلَى الدَّرَجَاتِ.وَتُبَلِّغُنَا بِهَا اَقْصَى الْغَايَاتِ مِنْ جَمِيعِ الْخَيْرَاتِ فِى الْحَيَاتِ وَبَعْدَ الْمَمَاتِ
wallahua’lam Oleh: ustaz azhar idrus