More

    Kekeliruan berkaitan Israk & Mikraj

    Bercerita tentang Mikraj Junjungan Nabi ﷺ, maka kerap-kali berlaku salah faham pada segelintir masyarakat, di mana sesetengah “pendakwah” menggunakan peristiwa ini sebagai hujah bahawa Allah Taala  itu bertempat dan berarah, subhanAllah. Sedangkan Mikraj itu adalah sesuatu yang dialami oleh seorang hambaNya yang paling utama, Junjungan Nabi ﷺ, yang bermikraj itu adalah baginda, Allah adalah yang memikrajkan baginda. Maka yang bertempat dan yang mengambil tempat itu adalah hamba, dan sekali-kali bukan Allah SWT yang mengambil tempat. Di sinilah kita kena membezakan isyarat kepada makanah (darjat kedudukan) dan kepada makan (tempat).

    Jika dikatakan tatkala Junjungan Nabi naik ke langit, maka kedudukan baginda menjadi lebih hampir kepada Tuhan, maka persoalannya ialah adakah dengan keberadaan baginda di bumi setelah mi’raj itu menjadikan baginda berada lebih jauh dari Tuhan? Sudah tentu tidak, kerana wujudnya Allah tidak bertempat, tidak berjarak, tidak berarah, wujudnya Allah berbeza dan menyalahi segala yang baharu. 

    Sama juga dengan keadaannya jika dibuat perbandingan dengan peristiwa Nabi Yunus AS yang ditelan ikan dan dibawa ke dasar lautan. Jika Tuhan itu bertempat di langit, maka adakah dengan beradanya Nabi Yunus di dasar lautan itu baginda berada jauh dari Tuhan? Sungguh Allah sentiasa dekat dengan hamba-hambaNya yang sholeh dengan rahmatNya dan kasih sayangNya. Juga dekat dengan hamba-hambaNya yang derhaka dengan kemurkaan dan seksaanNya.

    Dr. al-Muhaddis al-Habib Muhammad bin Alawi bin Abbas bin Abdul Aziz al-Maliki al-Hasani rahimahumullah dalam karya beliau yang berjudul “Wa Huwa bil Ufuqil A’la”, menyatakan:-

    “Tidak sepatutnya seseorang muslim yang mendengar kisah Mikraj mengenai naik dan turunnya Junjungan Nabi ﷺ ke langit, untuk menyangka bahawa antara hamba dan TuhanNya terdapat jarak yang tertentu yang dapat dijangkau, kerana sangkaan yang sedemikian adalah suatu kekufuran, yang mana kita berlindung dengan Allah daripadanya. 

    Bahawasanya naik dan turun ini hanya dinisbahkan kepada hamba (yakni Junjungan Nabi ﷺ) dan bukannya kepada Tuhan. Meskipun Junjungan Nabi ﷺ pada malam israk tersebut berkesudahan dengan mencapai jarak kedudukan seumpama dua anak panah atau lebih hampir lagi, tetap baginda tidak melepasi maqam / kedudukan seorang hamba. 

    Dan keadaan baginda dengan Nabi Yunus bin Matta alaihis salam ketika ditelan ikan serta dibawanya ke lautan lepas sehingga ke dasar lautan adalah sama, dalam hal ketiadaan jarak bagi Allah dengan ciptaanNya, ketiadaan arah, ketiadaan mengambil tempat, ketiadaan had pembatas, dan ketiadaan dapat dijangkau (yakni bukanlah ertinya bila Junjungan Nabi ﷺ Mikraj ke atas maka baginda lebih hampir kepada Tuhan berbanding Nabi Yunus yang dibawa ikan ke dasar lautan dari segi tempat dan jarak – satu di atas dan satu di bawah – kerana Allah tidak bertempat sehingga boleh didekati atau dihampiri dengan diputuskan jarak yang tertentu.) 

    Dan telah dikatakan oleh segelintir ulama, bahawa ikan tersebut telah membawa Nabi Yunus sejauh perjalanan 6,000 tahun, sebagaimana disebut oleh Imam al-Baghawi dan selainnya. Apabila telah engkau ketahui yang sedemikian, maka yang dikehendaki dengan naiknya Junjungan Nabi ﷺ dan menempuhnya baginda jarak yang jauh tersebut adalah untuk menzahirkan / menyatakan kedudukan baginda kepada penghuni langit dan menyatakan bahawasanya bagindalah makhluk Allah yang paling utama. 

    Pengertian ini diperkuatkan lagi dengan dijadikan Buraq sebagai tunggangan baginda, lalu dihubungkan bagi baginda akan Mikraj (alat untuk naik ke langit), dijadikan baginda imam bagi para nabi dan malaikat, sedangkan Allah Taala berkuasa untuk mengangkat baginda tanpa Buraq dan Mikraj.”

    Maka diisrak dan dimikrajkan Junjungan Nabi ﷺ dengan menggunakan makhluk seperti Buraq dan Mikraj adalah untuk menzahirkan kemuliaan dan ketinggian baginda di antara sekalian makhluk. Inilah hakikat sebenar Mikraj Junjungan ﷺ ke langit, agar dipersaksikan kepada segala penghuni langit akan darjat ketinggiannya penghulu sekalian makhluk. Tidaklah ia menunjukkan Allah berada di sesuatu tempat, Maha Suci Allah daripada mengambil faedah dari makhlukNya dan Maha Suci Ia daripada mengambil bagi lapang.

    Kredit – Blog Bahrus Shofa

    Latest articles

    Related articles