Imam al-Asy’ari Pakar Akidah ASWJ

Kemunculan Imam al-Asy’ari (wafat 324H) adalah penyambung dan pelengkap kepada lapisan ulama mutakallimin sebelumnya yang dipelopori oleh Ibnu Kullab (wafat selepas 240H), al-Harith al-Muhasibi (wafat 243H) dan al-Karabisi (wafat 248H) yang mendukung akidah Salaf melalui metode kalam versi Ahlus Sunnah Waljamaah (ASWJ). ‎

Meskipun peringkat awalnya metode kalam ini tidak diterima oleh ramai ulama hadis, malah dikritik keras oleh sesetengah pendukung mereka, namun Imam al-Asy’ari berusaha menerangkannya secara jelas dan tuntas dalam satu daripada enam kitab beliau yang sampai kepada kita hari ini iaitu al-Hath ‘ala al-Bahth (galakan untuk berbahas) atau judul lain: Istihsan al-Khaudh fi ‘Ilm al-Kalam (kebaikan mendalami ilmu kalam).

Kitab ini menurut beberapa pengkaji, sabit daripada Imam al-Asy’ari berdasarkan pelbagai bukti. Antaranya, ditemukan beberapa manuskrip kitab dan antara yang paling lama adalah manuskrip Perpustakaan Berlin yang ditulis pada 874H. Lebih mengukuhkan lagi, ia turut dimuatkan oleh seorang tokoh Asya’irah abad keenam Hijrah iaitu Abu al-Qasim an-Naisaburi al-Ansari (wafat 512H) dalam kitabnya, al-Ghunyah fi al-Kalam. Selain itu, isi kandungan dan gaya bahasa yang digunakan juga mempunyai banyak kesamaan dengan kitab beliau yang lain seperti al-Luma’ dan Risalah Ahl al-Thaghr. Adapun keraguan sesetengah pengkaji mengenai kesahihan nisbahnya kepada beliau, maka itu disebabkan kekurangan mereka dalam melakukan kajian secara lebih teliti dan cermat.

Kitab ini cukup penting dalam menjawab bantahan sesetengah pihak terhadap metode ilmu kalam yang menjadikan dalil aqli sebagai gandingan terhadap dalil naqli. Walaupun Imam al-Asy’ari tidak menyebutkan nama pihak berkenaan sebagai Hasyawiyyah atau Ghulat al-Hanabilah, namun ia dapat diketahui berdasarkan syubhah atau kekeliruan yang ditimbulkan oleh mereka.

Kata beliau: “Sesungguhnya ada segolongan orang yang menjadikan kejahilan sebagai modal bicara mereka serta begitu berat bagi mereka untuk membuat pengamatan dan kajian mengenai agama. Mereka lebih cenderung kepada bersikap mudah dan bertaqlid sahaja, namun mereka mencerca pula sesiapa yang melakukan penelitian terhadap perkara usuludin dan melabelkannya sebagai sesat. Mereka mendakwa, perbincangan mengenai perihal bergerak, diam, jisim, ‘aradh, warna, entiti, juzuk, mutasi dan sifat Tuhan azza wajalla adalah suatu bidaah dan kesesatan. Kata mereka, sekiranya hal sedemikian itu suatu petunjuk dan benar pastilah ia turut dibicarakan oleh Nabi SAW, khalifahnya dan semua sahabatnya…”

Dalam kitab ini beliau menjelaskan, walaupun semua perkara tersebut tidak dibicarakan secara khusus oleh Nabi SAW mahupun sahabatnya, namun hakikatnya semua perkara berkenaan secara umum mempunyai asasnya dalam al-Quran dan sunah. Ini bermakna konsep asasnya bukanlah tidak diketahui oleh Nabi SAW dan sahabat baginda. Misalnya, perihal bergerak dan diam serta perbincangan mengenainya, maka asalnya itu wujud dalam al-Quran dan kedua-duanya menunjukkan pula kepada aspek ketauhidan. Demikian juga perihal bersatu dan berpisah. Firman Allah Taala ketika menceritakan mengenai kekasih-Nya, Ibrahim AS dalam kisah terbenamnya bintang, matahari dan bulan serta pergerakannya dari satu tempat ke satu tempat adalah satu bukti yang menunjukkan tidak harus berlaku kepada Tuhannya sedikit pun daripada hal yang serupa itu. Sesungguhnya siapa sahaja yang harus berlaku kepadanya sifat terbenam dan berpindah dari satu tempat ke satu tempat, dia bukanlah tuhan (mafhum Surah al-An’am ayat 75-78).

Inilah metode kalam yang dibina oleh Imam al-Asy’ari serta diwarisi oleh ulama Asy’ariyyah sebagai menyahut kewajipan untuk membela dan menjawab sebarang tohmahan terhadap akidah Islam serta mengkritik dan membongkar sebarang kekeliruan yang ditimbulkan mengenainya agar umat Islam dapat mengetahui hukumnya dan memahami had sempadan perbahasan agar mereka terselamat daripada sebarang penyimpangan akidah.

Metode ini jelas diperkukuhkan dasarnya dengan sumber al-Quran dan sunah serta tidak lagi tulen daripada falsafah Yunan sepertimana falasi yang sering dimainkan oleh pihak yang memusuhi ulama mutakallimin ASWJ. Sebab itu, definisi ilmu kalam ulama mutakallimin telah dirangka supaya konsisten dengan tuntutan dan kehendak syarak. Kata Imam al-Iji (wafat 756H) dalam al-Mawaqif (hlm 7): “Kalam ialah suatu ilmu yang mampu digunakan bagi mensabitkan akidah agama dengan mengemukakan segala hujah dan menolak sebarang syubhah.”

Imam al-Taftazani (wafat 793H) pula dalam Tahzib al-Mantiq (hlm 15) menyatakan: “Kalam ialah suatu ilmu mengenai akidah agama berdasarkan dalil yang bertahap yakin.”

Maka, sudah tentu kalam yang dimaksudkan ulama mutakallimin ASWJ ini berbeza dengan makna kalam yang dicela oleh Imam as-Syafii dan ulama Salaf lain.

Oleh: Dr Mohd Khafidz Soroni

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)

Latest articles

Related articles