Maksud Allah SWT Berzikir Akan Hambanya

SOALAN :
Ada satu ayat dalam Quran yang artinya kamu zikirlah aku nanti aku zikir akan kamu.
Apakah maksudnya Allah zikir orang yang berzikir itu?

JAWAPAN :
Firman Allah Taala :

فَاذْكُرُونِي أَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوا لِي وَلَا تَكْفُرُونِ

Maksudnya: “Maka ingatlah kepada-Ku, nescaya Aku akan mengingat kamu, dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari-Ku.” (Al-Baqarah: 152)

Bermula maksud menyebut Allah ialah menunaikan solat dan berzikir menyebut nama-Nya dengan bertasbih dan bertahmid dan bertahlil dan seumpamanya. Dan maksud Allah menyebut akan orang-orang yang menyebut-Nya itu ialah siapa yang berzikir menyebut Allah samada dalam hatinya atau pada lidahnya nescaya Allah akan menyebut namanya dihadapan sekelian malaikat dan memberikannya pahala dan keredhaan dan akan memberinya pertolongan dan mengampunkan segala dosa dan kesalahannya dan akan tidak melupakannya ketika diuji dengan musibah.

Berkata Said bin Jubair r.a. :

اذكروني في النعمة والرخاء، أذكركم في الشدة والبلاء

Maksudnya: “Ingatlah kamu semua akan Aku pada nikmat dan kemakmuran, nescaya Aku akan ingat kamu semua pada saat kesusahan dan bala’.”

Berkata Syeikh Al-Khalili As-Syafie :

يعني اذكروني بالصلاة والتسبيح والتحميد والتعظيم والتمجيد ونحو ذلك من الأذكار؛ أذكركم بالثواب والرضى عنكم. وقيل: معناه أجازيكم؛ لما ورد في الحديث القدسي: «من ذكرني في نفسه ذكرته في نفسي، ومن ذكرني في ملأ ذكرته في ملأ خير منه». وقال ابن عباس: معناه اذكروني بطاعتي أذكركم بمعونتي. وقيل: اذكروني في النعم والرخاء أذكركم في الشدة والبلاء. وقال أهل المعاني: اذكروني بالتوحيد والإيمان أذكركم بالجنان والرضوان. وقيل: اذكروني بالإخلاص أذكركم بالخلاص، اذكروني بالقلوب أذكركم بغفران الذنوب، اذكروني بالدعاء أذكركم بالعطاء. والله تعالى أعلم : فتاوي الخليلي على المذهب الشافعي

Maksudnya: “Yang dimaksudkan dengan makna ayat ini ialah sebutlah kamu semua akan Aku dengan solat dan tasbih dan tahmid dan takzhim dan tamjid dan sebagainya daripada segala zikir-zikir, nescaya Aku akan menyebut kamu semua dengan ganjaran pahala dan redha daripada kamu. Dan kata setengahnya, Aku akan membalas kamu dengan kebaikan kerana apa yang disebut dalam hadith Qudsi: Siapa yang mengingat Aku di dalam dirinya, nescaya Aku ingat dia di dalam diri-Ku, dan siapa yang menyebut Aku di khalayak ramai, nescaya Aku akan menyebutnya di khalayak yang lebih baik daripadanya.”

Dan berkata Ibnu Abbas r.a.: Maknanya, sebutlah kamu akan Aku dengan melakukan ketaatan kepada-Ku, nescaya Aku ingat akan kamu dengan pertolongan-Ku. Dan kata setengahnya, sebutlah kamu semua akan Aku pada segala nikmat dan kemakmuran, nescaya Aku sebut akan kamu semua pada ketika susah dan bala’. Dan berkata ahli ma’ani: Sebutlah olehmu akan Aku dengan tauhid dan iman, nescaya Aku sebut kamu dengan syurga dan keredhaan. Dan kata setengahnya, sebutlah Aku dengan ikhlas, nescaya Aku akan sebut kamu dengan kelepasan. Sebutlah kamu akan Aku dengan sepenuh hati, nescaya Aku sebut kamu semua dengan keampunan segala dosa. Sebutlah kamu semua akan Aku dengan doa, nescaya Aku sebut akan kamu dengan pemberian. Wallahua’lam.” (Kitab Fatawa Al-Khalili ‘ala Al-Mazhab As-Syafie)

Ayat ini menjadi dalil bahawa berzikir menyebut Allah adalah amalan yang sangat dituntut kerana terlalu banyak kelebihannya sehingga Allah menyebut pada penghujung ayat kewajipan bersyukur dan larangan kufur terhadap nikmat-Nya yang menunjukkan bahawa orang yang berzikir itu adalah orang yang bersyukur kepada-Nya.

Diriwayatkan daripada Zaid bin Aslam r.a. :

أن موسى ، عليه السلام ، قال : يا رب ، كيف أشكرك ؟ قال له ربه : تذكرني ولا تنساني ، فإذا ذكرتني فقد شكرتني ، وإذا نسيتني فقد كفرتني

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi Musa a.s. berkata: Wahai Tuhanku, bagaimana aku bersyukur kepada-Mu? Allah berfirman kepadanya: Sebutlah olehmu akan Aku dan jangan engkau lupa kepada-Ku. Maka apabila engkau menyebut akan Aku, maka sesungguhnya engkau telah bersyukur kepada-Ku dan apabila engkau lupa akan Aku, nescaya engkau telah kufur kepada-Ku.”

wallahua’lam


Sumber: Ustaz Azhar Idrus

Latest articles

Related articles