More

    Hukum Tarannum Di Sisi Ulama

    Jika ditinjau pendapat ulama berhubung tarannum al-Quran kebanyakannya memberi dua hukum iaitu makruh dan harus.

    Sheikh Khalil al-Husari (الشيخ خليل الحصري) dalam kitabnya Bersama al-Quran (مع القرآن) menyatakan, golongan yang berpegang kepada makruh tarannum al-Quran antaranya adalah Anas Ibn Malik (أنس بن مالك), Said Ibn Musayyab (سعيد بن المسيب), Said Ibn Jubair (سعيد بن جبير), al-Hasan al-Basri (الحسن البصري), Ibn Sirin (ابن سرين) dan lain-lain.

    Sementara itu, ulama yang menyatakan harus bertarannum dan memperelokkan suara ketika membaca al-Quran antaranya ialah Abdullah Ibn Abbas (عبد الله بن عباس), Abdullah Ibn Mas’ud (عبد الله بن مسعود), Ata’ Ibn Abi Rabah (عطأ بن أبي رباح), Abu Hanifah, Imam Syafei dan pendapat ini juga dipilih oleh Imam al-Tabari (ابن جرير الطبري) dan lain-lain.

    Hujah bagi yang menyatakan makruh bertarannum adalah diriwayat daripada Said Ibn Musayyab bahawa beliau mendengar Umar Ibn Abdul Aziz (خليفة عمر عبد العزيز) mengimamkan solat dengan melagukan suara ketika membaca surah lalu Said Ibn Musayyab mengirim utusan kepadanya seraya berkata semoga Allah memberi kebaikan kepada kamu sesungguhnya para imam tidak membaca begitu, lalu Umar meninggalkan amalan tersebut.

    Seorang lelaki bertanya kepada Imam Ahmad tentang hukum melagukan al-Quran. Imam Ahmad bertanya siapa nama kamu? Lelaki itu menjawab Muhammad. Imam Ahmad berkata: “Apakah kamu suka jika kamu dipanggil Muuuuhamaaaad dengan memanjang suaranya? Dengan maksud merosakkan makna nama yang mulia tersebut?”

    Adapun hujah yang mengatakan harus bertarannum adalah Ibn al-Qayyim (ابن القيم) dalam kitabnya Zad al-Ma’ad (زاد المعاد). Beliau menyatakan bahawa Abdulrahman Ibn al-Aswad Ibn Yazid (عبد الرحمن بن الأسود بن يزيد) mencari dan memilih suara yang bagus dalam masjid di bulan Ramadan.

    Al-Tahawi (الطحاوي) pula menyatakan bahawa Imam Abu Hanifah dan para sahabatnya mendengar al-Quran yang dibaca dengan berlagu.

    Muhammad Ibn Abdul Hakim (محمد بن عبد الحكيم) pula menyatakan bahawa: “Aku melihat Imam Syafei dan Yusuf Ibn Umar (يوسف بن عمر) mendengar al-Quran yang dibaca secara bertarannum.”

    Terdapat hadis yang dikeluarkan oleh Abu Daud (أبو داود) dan al-Nasaie (النسائي) yang menuntut supaya menghiasi al-Quran dengan suara.

    Hakikatnya Rasulullah ﷺ sendiri amat menyukai suara yang merdu membaca al-Quran.

    Aisyah r.a (عائشة رضي الله عنها) pernah menceritakan bahawa: “Satu ketika aku lambat pergi kepada Rasulullah ﷺ selepas solat Isyak lalu Baginda bertanya: ke manakah kamu sebentar tadi? Aisyah menjawab: Aku terlambat kerana mendengar seorang sahabat kamu membaca al-Quran dan belum pernah aku mendengar orang membaca al-Quran semerdu suaranya. Lalu Rasulullah ﷺ bangkit bersamaku dan mendengarnya seraya Rasulullah ﷺ berpaling kepada ku dan bersabda: Dia adalah Salim Maula Abi Huzaifah (سليم مولى بن أبي حزيفة). Segala puji bagi Allah yang menjadikan orang seperti ini dalam kalangan umatku.” (riwayat Ibn Majah).

    Kesimpulan

    Kita dituntut untuk mengutamakan hukum tajwid di samping memahami maksud ayat yang dibaca sesuai dengan rentak tarannum yang dialunkan. Kepada pendengar pula ambil peluang dengan menikmati alunan suara al-Quran dan menghayati maksud al-Quran bersama alunan tarannum.

    Kredit: Dr. Khairul Anuar Mohamad

    Latest articles

    Related articles