More

    Ungkapan Imam al-Syafie Disalaherti Penganut Wahhabi

    Ungkapan di atas merupakan petikan kata-kata imam al-Syafi’i. Sebutan asalnya ialah “إذا صح الحديث فهو مذهبي” yang bermaksud jika sah sesuatu hadis itu maka itulah mazhabku. Ungkapan ini suatu yang lazim diketahui para pelajar pengajian Syariah. Ungkapan tersebut juga dianggap sebagai satu kaedah dalam penentuan hukum yang digunapakai Imam al-Syafi’i. Secara literalnya, pemahaman terhadap kaedah ini seolah-olah Imam al-Syafi’i berkata “jika sesuatu hadis itu didapati sahih maka pandanganku yang bertentangan dengannya akan terbatal.” Begitulah ianya kelihatan bagi orang yang tidak cukup “basic” pengajian syariah, iaitu Imam al-Syafi’i sendiri akan menolak fatwanya yang bertentangan dengan sunnah. Akan tetapi adakah benar fahaman sebegini?. Adakah ia bermaksud fatwa-fatwa sang Imam sebelum itu tidak berlandaskan sunnah?.

    Pembaca sekalian, maksud ungkapan di atas perlu dianalisis lebih teliti seperti yang dikehendaki oleh tokoh agung ummah ini. Walaupun Imam al-Syafi’i sudah tiada, namun penelitian secara ilmiah masih boleh dilakukan dengan menelaah ulasan para ulama muktabar yang lebih memahami kehendak beliau.

    Maksud sebenar ungkapan “إذا صح الحديث فهو مذهبي” perlu diperjelaskan supaya ia tidak disalahguna oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mengkritik fatwa-fatwa Syafi’iyyah yang didakwa kononnya terbina di atas hadis-hadis yang dhaif. Ungkapan tersebut hanyalah menonjolkan satu asas penting dalam metodologi fiqh Imam al-Syafi’i dalam penentuan hukum berdasarkan hadis sahih.

    Petikan ungkapan kata-kata ini sebenarnya disebut oleh beberapa ulama dalam karya-karya tabaqat (biografi) mahupun kitab-kitab yang membincangkan tentang kedudukan hadis sebagai sumber rujukan perundangan Islam. Antaranya :

    i. Ibn Abi Hatim al-Razi (327 h.) dalam kitab Adab al-Syafi’iy wa Manaqibuh,
    ii. Imam al-Nawawi (676 h.) di dalam kitab al-Majmu’ Sharh al-Muhadhdhab
    iii. Taqy al-Din al-Subkiyy (756 h.) mengarang khusus tentang ungkapan dalam karya khusus tentang ungkapan ini yang berjudul Ma’na Qawl al-Imam al-Muttalibiyy Idha Sahh al-Hadis fahuwa Madhhabi.

    Beliau (al-Subki) menyifatkan ungkapan “إذا صح الحديث فهو مذهبي” sebagai ungkapan yang masyhur dan mendakwa tiada siapa pun dalam kalangan manusia yang sangsi bahawa Imam al-Shafi’i yang mengungkapkannya.

    Huraian dan maksud sebenar ungkapan tersebut dijelaskan melalui petikan-petikan daripada ulama muktabar dalam mazhab al-Syafi’i sendiri. Imam al-Nawawi misalnya berkata:

    “Kata-kata Imam al-Syafi’i ini tidak bermaksud bahawa sesiapa yang mendengar sepotong hadis sahih boleh berkata inilah mazhab al-Syafi’i dan beramal dengan zahir hadis tersebut. Sebaliknya petikan إذا صح الحديث فهو مذهبي ini hanya ditujukan kepada individu yang mencapai tahap mujtahid dalam mazhab. Syaratnya pula ialah kuat sangkaan mujtahid tersebut bahawa Imam al-Syafi’i tidak berjumpa dengan hadis atau tidak mengetahui kesahihan hadis tersebut. Proses ini hanya boleh dilakukan setelah mujtahid meneliti kesemua hasil karya Imam al-Syafi’i dan yang seumpama dengannya seperti karya-karya pengikut Imam al-Syafi’i yang turut mencapai taraf ijtihad. Syarat ini sukar dan tidak ramai yang boleh memenuhinya.”

    Petikan kata-kata Imam al-Nawawi di atas jelas menunjukkan bahawa pemakaian hadis untuk pengistinbatan hukum tidak memadai dengan hanya berpandukan status hadis yang sahih semata-mata. Bahkan hadis tersebut mesti difahami secara teliti dengan merujuk kepada kaedah pengeluaran hukum fiqh yang dikuasai oleh ulama yang telah mencapai tahap mujtahid sahaja.

    Oleh itu, individu yang bukan bertaraf mujtahid apatah lagi bukan ulama tidak layak untuk mengeluarkan sebarang hukum syarak tanpa merujuk kepada karya-karya fiqh yang muktabar. Ini kerana hasil penulisan mujtahid diabadikan dalam kitab-kitab fiqh setelah para mujtahid meneliti keseluruhan nas al-Quran dan hadis sebelum mengistinbat hukum syarak.

    Selain itu juga, al-Imam ibn al-Salah turut mengulas kata-kata Imam al-Syafi’i di atas. Beliau menyatakan: “Tidak mudah untuk beramal dengan zahir kata-kata Imam al -Syafi’i itu. Bukan semua faqih berkelayakan untuk menjadikan hadis sebagai sandaran hukum syarak.

    Terdapat contoh klise beberapa ulama mazhab al-Syafi’i yang beramal dengan hadis yang ditinggalkan dengan sengaja oleh Imam al- Syafi’i walaupun hadis itu sahih, iaitu Abu al-Walid Musa bin Abi al-Jarud. Abu al-Walid berkata hadis (أفطر الحاجم والمحجوم) sahih. Maksudnya orang yang berbekam sama ada yang dibekam atau yang melakukan bekam puasanya terbatal. “Tarjih” beliau diikuti oleh Abu al-Walid al-Naysaburi dan Hassan ibn Muhammad (keturunan Said ibn al-As). Abu al-Walid berani bersumpah bahawa ikut mazhab al-Syafie (berasaskan hadis tersebut), berbekam membatalkan wuduk perawat dan pesakit.

    Namun demikian, para Ashabul Wujuh mengkritik Abul walid kerana mereka mendapati bahawa Imam al-Syafi’i meninggalkan hadis tersebut walaupun sahih disebabkan Imam al-Syafi’i mendapati hadis tersebut telah dinasakhkan.

    Nukilan Imam ibn Salah di atas menunjukkan bahawa hadis yang sahih juga tidak semestinya menjadikan hadis tersebut boleh dijadikan sebagai sumber pengeluaran hukum syarak. Ini kerana terdapat faktor lain dalam pengistinbatan hukum perlu diambil kira oleh mujtahid ketika meneliti sesuatu nas.

    Bahkan Abu al-Walid Musa bin Abi al-Jarud yang merupakan ashab al-wujuh iaitu murid rapat Imam al-Syafi’i yang memperoleh taraf mujtahid sekalipun boleh terlepas pandang mengenai kehujahan hadis yang disebuntukan di atas tadi. Kecuaian ini jika boleh berlaku kepada ulama mujtahid dalam mazhab al-Syafi’i sendiri, maka kebarangkalian perkara yang sama berlaku kepada orang lain yang bukan bertaraf mujtahid adalah lebih tinggi.

    Oleh itu, kata-kata Imam al-Syafi’i إذا صح الحديث فهو مذهبي mesti difahami secara bersama dengan ilmu Usul Fiqh sebagai manhaj pengeluaran hukum syarak. Tambahan pula, Imam al-Syafi’i telah mengambil kira kesemua hadis yang berkaitan dengan hukum halal dan haram dalam semua karya beliau.

    Hal ini diperakui oleh Ibn Khuzaimah yang merupakan tokoh terbilang dalam bidang hadis dan fiqh di samping menguasai keseluruhan mazhab Al-Syafi’i. Beliau menyatakan “aku tidak mendapati satu pun hadis Nabi SAW yang berkaitan dengan halal dan haram yang tidak dimuatkan oleh Imam al-Syafi’i dalam karya-karya beliau.” Perakuan Ibn Khuzaimah sepatutnya sudah memadai untuk meyakinkan umat Islam mengenai ketelitian serta pertimbangan menyeluruh Imam al-Syafi’i sebelum mengeluarkan sesuatu hukum. Sikap yang ditunjukkan oleh Imam al-Syafi’i ini pada hakikatnya manifestasi kepada keseluruhan perbahasan dalam ilmu Usul Fiqh. Ibn Khuzaimah ini tokoh hadis yang sering dijadikan idola hadis oleh penganut Salafiyyah.

    Selain ulama dalam mazhab al-Syafi’i, perkara yang sama turut disuarakan oleh tokoh bermazhab Hanafi. Misalnya Ibn ‘Abidin berkata : “Tidak syak lagi kata-kata ini (إذا صح الحديث فهو مذهبي) hanya untuk individu yang berkelayakan untuk meneliti nas-nas al-Quran mahupun hadis serta berkeupayaan untuk membezakan antara nas yang muhkam daripada nas yang telah dinasakhkan.”
    Ibn ‘Abidin pada teks di atas mengukuhkan lagi bahawa penelitian terhadap nas hadis dan juga nas al-Quran perlu dilakukan oleh individu yang telah mencapai taraf mujtahid. Ini kerana keupayaan untuk berinteraksi dengan nas yang muhkam dan mansukh bukan mudah dan hanya diketahui oleh ulama mujtahid melalui kaedah yang disusun dalam ilmu usul fiqh sahaja.

    Justeru, pengeluaran hukum syarak dengan hanya berpandukan kepada status hadis sahih tanpa panduan ilmu usul fiqh perlu dielakkan. Sekiranya disiplin pengistinbatan hukum syarak ini tidak dipatuhi, maka hukum yang dikeluarkan itu adalah tidak tepat sekaligus mendedahkan pelakunya kepada dosa. Ini kerana hukum yang dikeluarkan itu berasaskan kepada hawa nafsu dan bukan prosedur yang dibenarkan oleh Allah SWT.

    Berhubung perkara ini, Syeikh Abd al-Ghaffar Úyun al-Sud menyebut: “Kita lihat pada zaman kita ini ramai orang yang menisbahkan diri mereka kepada ilmu terpedaya dengan dirinya sendiri. Dia menyangka dia berada di puncak gugusan bintang tetapi sebenarnya dia berada di lembah yang paling bawah. Mungkin dia membaca sebuah kitab hadis daripada al-Kutub al-Sittah – sebagai contoh – lalu dia mendapati sepotong hadis bercanggah dengan mazhab Abu Hanifah lalu dia berkata: “Lemparkan mazhab Abu Hanifah ke dinding dan ambillah hadis Rasulullah SAW.” Ada kemungkinan hadis yang tidak diterima oleh Imam Abu Hanifah tersebut dinasakhkan atau berlawanan dengan hadis lain yang lebih kuat sanadnya atau lain-lain faktor yang menyebabkan hadis tersebut tidak dijadikan sebagai hujah sedangkan orang itu tidak tahu. Sekiranya dibiarkan orang-orang seperti ini beramal dengan hadis semata-mata, nescaya mereka akan tersilap dalam banyak masalah (fiqh) dan menyesatkan sesiapa yang datang bertanya kepada mereka.”

    eks al-Syeikh Abd al-Ghaffar Úyun al-Sud di atas jelas menunjukkan bahawa kesilapan serius boleh terjadi ketika mengistinbat hukum syarak sekiranya usaha pengistinbatan tersebut hanya berpandukan kepada hadis semata-mata. Lebih malang, hukum yang dikeluarkan itu membawa kepada kesesatan dan dosa berbanding memberikan hidayah dan pahala.


    Perbincangan di atas tidak bermaksud mendahulukan pandangan mujtahid berbanding hadis Nabi SAW. Bahkan semua mujtahid bersepakat hadis berada pada kedudukan kedua selepas al-Quran sebagai sumber pengeluaran hukum syarak. Namun demikian, fokus perbahasan ini ialah kefahaman terhadap hukum yang terkandung dalam nas hadis. Hukum tersebut tidak boleh diistinbat secara zahir sahaja dengan melihat kepada lafaz nas tetapi mesti melalui proses pertimbangan hukum yang digariskan dalam ilmu usul fiqh. Ini kerana usul fiqh ialah ilmu yang membahaskan kaedah untuk mengenali dalil syarak serta berinteraksi dengan dalil tersebut sehingga boleh dijadikan sebagai sandaran kepada pengeluaran hukum syarak.

    Hukum syarak yang diistinbat daripada nas al-Quran mahupun hadis dikenali dengan hukum fiqh. Kupasan sebelum ini menyimpulkan bahawa sebarang hukum fiqh tidak boleh diistinbat semata-mata dengan hanya bersandarkan zahir hadis. Justeru, pada kesempatan ini dibawa beberapa nukilan bahawa rujukan hukum fiqh hanya kepada ahli fiqh yang terbukti penguasaan dalam ilmu usul fiqh.

    Abdullah bin Wahab sebagai contoh berkata: “Aku telah bertemu dengan 360 orang ulama. Jika bukan kerana Imam Malik dan Imam al-Laith nescaya aku akan tersesat dalam ilmu (percanggahan dalam hadis).” Beliau juga pernah berkata “ikutan kami dalam ilmu empat orang. Dua orang di Mesir dan dua orang di Madinah. al-Laith bin Saad dan ‘Amru bin al-Harith di Mesir. Malik serta al-Majisyun di Madinah. Jika tanpa mereka ini, nescaya kami akan sesat.” al-Imam ‘Abdullah bin Wahab menambah lagi: “jika aku tidak diselamatkan oleh Allah SWT melalui Malik dan al-Laith, nescaya aku telah sesat. Dikatakan kepada beliau, bagaimana boleh sesat? Beliau berkata, aku mempunyai banyak hadis sehinggakan aku tidak tahu untuk berbuat apa-apa (beramal). Lalu aku bentangkan kepada Malik dan al-Laith. Mereka memberitahuku ambil yang ini dan tinggalkan yang ini.”

    Ketiga-tiga petikan teks daripada tokoh besar dalam bidang fiqh bermazhab Maliki iaitu al-Imam ‘Abdullah bin Wahab jelas menunjukkan bahawa pemahaman sebenar hukum fiqh perlu kepada panduan ahli/pakar dalam bidang fiqh. Oleh itu, tidak wajar untuk mengeluarkan hukum fiqh dengan hanya merujuk kepada zahir nas hadis semata-mata.

    Selain itu, Imam Malik bin Anas yang merupakan seorang mujtahid mutlak mustaqill pernah menasihati anak saudara beliau yang bernama Abu Bakr dan Ismail dengan katanya: “aku melihat kamu berdua suka mendengar dan mengumpul hadis. Jika kamu berdua ingin mendapat manfaat daripada hadis-hadis ini dan Allah SWT mengurniakan manfaat kepada kamu berdua, maka kurangkan (mendengar dan mengumpul) tetapi belajarlah ilmu fiqh.” Kata-kata Imam Malik ini merupakan nasihat kepada semua umat Islam agar mengambil ilmu itu daripada ahlinya yang muktabar khususnya ilmu fiqh. Nasihat ini perlu dan wajar diikut kerana ditakuti tersilap memahami hukum syarak yang terkandung dalam keseluruhan nas al-Quran dan hadis.

    Kesilapan yang berlaku ini disebut oleh guru kepada Imam Abu Hanifah iaitu Ibrahim al-Nakha’i. Beliau berkata kepada salah seorang muridnya iaitu al-Mughirah al-Dhabbi: “sesungguhnya engkau telah mengenali kami bahawasanya kami tidak mengambil hadis-hadis melainkan daripada sesiapa yang mengetahui perkara yang halal daripada perkara yang haram dan perkara yang haram daripada perkara yang halal daripada hadis-hadis tersebut. Sesungguhnya engkau memperoleh hadis daripada seorang syeikh yang bercakap mengenai hadis lalu tanpa disedari syeikh itu mengubah perkara yang halal daripada haram dan mengubah perkara yang haram menjadi halal.”

    Pernyataan di atas jelas menunjukkan bahawa kekeliruan dalam meneliti nas hadis boleh membawa kepada perubahan hukum halal kepada haram dan begitu juga sebaliknya.

    Kesimpulan yang dapat diputuskan di sini ialah keupayaan untuk mengetahui,mengenali dan mengeluarkan hukum halal dan haram yang merupakan fokus utama perbahasan fiqh mesti dipelajari dan diperoleh daripada pakar dalam bidang fiqh sahaja; bukan ulama dalam bidang yang lain termasuklah bidang tafsir dan hadis.
    Dalam hal ini, murid kanan Imam al-Syafi’i iaitu al-Muzani menjelaskan: “teliti dengan baik hadis-hadis yang telah kamu semua kumpulkan itu. Tuntutlah ilmu daripada ahli fiqh nescaya kamu akan menjadi fuqaha.” Nukilan ini memberitahu bahawa kefahaman yang betul mengenai hukum fiqh sehingga boleh menjadikan seorang itu faqih ialah dengan belajar atau menuntut ilmu daripada ahli dalam bidang fiqh. Bahkan ini adalah etika yang betul dalam menuntut ilmu yang berkaitan dengan hukum hakam sekaligus cara yang selamat dalam beragama.

    Saya pernah membahaskan isu ini dalam buku “Ini Mazhabku”, Halaman 119-128. Buku itu sudah tidak diterbitkan lagi. Adapun penganut-penganut Salafiyyah-Wahhabiyyah yang baru muncul hari ini sudah tentu tidak membaca buku itu. Isu ini sudah lama pun dibahaskan malah telah dinoktahkan kefahamannya pada zaman Imam al-Subki dan Imam al-Suyuti lagi.

    Mari orang hari ini, mudah saja sebut pendapat Imam al-Syafi’i pun bukan semua betul jika bertentangan dengan sunnah. Cehhwahhh.. bertentangan dengan sunnah!!.. Sunnah siapa? Tentu sunnah yang guru dia ajar, bukan sunnah Rasulullah SAW.

    Dr. HK
    11.6.2024

    Latest articles

    Related articles