More

    Perkara Baharu Yang Tidak Pernah Dibuat Oleh Nabi Muhammad

    Berikut adalah ulama salaf dalam kalangan Tabiin yang melakukan amalan baharu yang tidak pernah dilakukan oleh Sayidina Nabi Muhammad ﷺ:

    1) Abu Qilabah

    Imam Ahmad bin Kamil al-Qadhi berkata: “Diceritakan bahawa Abu Qilabah solat 400 rakaat sehari semalam”. (Ruj. Kitab Tazkirah al-Huffaz karya al-Zahabi, 2/120)

    Nota: Imam Bukhari meriwayatkan sebanyak 77 hadis daripada jalan Abu Qilabah. Manakala Imam Muslim pula meriwayatkan sebanyak 54 hadis. (Ruj. Buku Keruntuhan Teori Bidaah karya Kiyai Ma’ruf Khozin)

    2) Bisyr bin Mufadhal

    Imam al-Suyuti (911H) menyebutkan: “Imam Ahmad (241H) berkata: Kepada beliaulah kemuncak dalam tasabbut (pentashihan hadis) di Basrah. Beliau solat 400 rakaat setiap hari dan berpuasa sehari berbuka sehari.” (Ruj. Tabaqat al-Huffaz karya Imam al-Suyuti, 134)

    Nota: Imam Bukhari dan Imam Muslim masing-masing meriwayatkan daripadanya sebanyak 21 kali. Bisyr bin Mufadhal (186H) ialah guru kepada kepada Imam Ali al-Madini dan Imam Ahmad (241H).

    3) Maimun bin Mihran (117H)

    Disebutkan dalam kitab Tazkirah al-Huffaz karya Imam al-Zahabi (1/76) mengenainya : “Diriwayatkan bahawa Maimun bin Mihran solat selama 17 hari dengan 17 ribu rakaat”.

    Nota: Imam Bukhari menyebutkan Maimun bin Mihran sekali dan Imam Muslim 4 kali.

    4) al-Harits bin Yazid

    Disebutkan dalam kitab Tahzib al-Tahzib karya Imam Ibnu Hajar al-Asqalani (2/142): “Imam Ahmad berkata, “Beliau (al-Harits bin Yazid) yang tsiqah dalam kalangan yang tsiqah”. Dan al-Ajli dan al-Nasaie pula berkata “ Beliau seorang yang tsiqah”. al-Laits berkata “Beliau (al-Harits) telah menunaikan solat 600 rakaat setiap hari.”

    Nota: Imam Muslim menyebutnya sekali.

    5) Said bin al-Musayyib

    Disebutkan bahawa beliau solat subuh dengan wuduk solat Isyak selama 50 tahun. (Ruj. Kitab Wafayat al-’Ayan karya Ibnu Khalkan, 2/375)

    6) Khalid bin Ma’dan

    Beliau bertasbih sebanyak 40 ribu kali setiap hari. Ketika jenazahnya dimandikan , jarinya bergerak bertasbih. (Ruj. Hilyah al-Auliya, 5/210 dan Tazkirah al-Huffaz, 1/93).

    Beliau mengagungkan dan beribadah bersungguh-sungguh pada malam Nisfu Syaaban. (Ruj. Kitab Lataif al-Maarif karya Ibnu Rajab al-Hanbali, 1/151)

    Nota: Nama beliau disebutkan oleh Imam Bukhari sebanyak 6 kali dan Imam Muslim sekali.

    7) Umair Hani’

    Beliau solat dalam sehari sebanyak 1000 kali sujud dan membaca tasbih sebanyak 100 ribu kali tasbih. (Ruj. Kitab Tahzib al-Tahzib karya Imam Ibnu Hajar al-Asqalani, 8/134)

    8) Abu Utsman al-Nahdi

    Beliau mendirikan 100 rakaat solat sunat di antara waktu Maghrib dan Isyak
    (Ruj. Siyar A’alam al-Nubala karya Imam al-Zahabi, 4/175)

    9) Abu Hamdun

    Beliau mendoakan 300 para sahabat sebelum tidur. Disebutkan bahawa beliau seorang soleh dan ahli al-Quran yang zuhud, mendoakan 300 nama para sahabat satu persatu sebelum tidur malam. (Ruj. Kitab Sifat al-Sofwah, karya Ibnul Jauzi, 2/239)

    10) Imam Ali bin Abdullah (117H/118H)

    Abu Sanan berkata “Ali bin Abdullah solat dalam sehari 1000 rakaat”. (Ruj. Kitab Tahzib al-Asma wal Lughah karya Imam al-Nawawi, 1/492)

    11) Keluarga Sayiduna Abdullah ibnu Abbas

    Mereka (keluarga Abdullah ibn Abbas) telah mendirikan kubah di perkuburan Ibnu Abbas di Baqie’. (Ruj. Siyar ‘Alam al-Nubala karya Imam al-Zahabi, 2/97)

    12) Khalifah Umar bin Abdul Aziz (101H)

    Beliau memerintahkan Imam Ibnu Syihab al-Zuhri (124H) untuk melakukan pembukuan hadis. (Ruj. Kitab Jami’ Bayan al-Ilm wa Fadlihi karya Imam Ibnu Abdul al-Bar, 1/331)

    Kesimpulan

    Diharap dengan penerangan ini dapat membetulkan kembali kefahaman songsang menganggap agama Islam mengharamkan perbuatan yang tidak pernah dilakukan oleh Nabi ﷺ dan juga meluruskan fahaman yang cepat menuduh bidaah mungkar secara tidak teliti.

    Kisah yang diceritakan oleh para ulama ini menjadi bukti bahawa terdapat banyak amalan yang dilakukan oleh para salafussoleh yang tidak dilakukan oleh Baginda Nabi ﷺ tetapi tidak dinilai sebagai satu perkara mungkar atau bidaah yang terkeji.

    Walaupun begitu, kita juga dituntut untuk merujuk kepada hukum syarak yang telah digariskan sarjana Islam agar tidak mereka-reka perbuatan melampau yang melanggar syariat agama.

    Kesimpulannya, marilah kita mencontohi sifat dan sikap generasi salafussoleh dalam kehidupan seharian kerana mereka merupakan sebaik-baik contoh teladan yang harus diikuti selepas teladan Baginda Rasulullah ﷺ.

    Ini kerana mereka merupakan sebaik-baik generasi yang lahir hampir dengan asuhan Baginda ﷺ sebagaimana disebutkan dalam hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim:

    خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِيْ ثُمَّ الَّذِيْنَ يَلُوْنَهُمْ ثُمَّ الَّذِيْنَ يَلُوْنَهُمْ.

    “Sebaik-baik manusia adalah pada masaku ini (iaitu zaman para Sahabat), kemudian yang sesudahnya (zaman Tabiin), kemudian yang sesudahnya (zaman Tabi al-Tabiin).

    Akhir kata, semoga dengan penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

    Wallahua`lam.

    – Admin

    SILA SEBARKAN SUPAYA RAMAI DAPAT MANFAAT

    Latest articles

    Related articles