Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ وَسَّعَ عَلَى عيالِهِ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَسَّعَ اللهُ عَلَيِهِ سائر سَنَتِهِ
“Barangsiapa yang meluaskan (melapangkan – menggembirakan) ahli keluarganya pada Hari Asyura, nescaya Allah akan melapangkan bagi ahli keluarganya sepanjang tahun.”
(Hadith riwayat al-Bayhaqi, Ibn Abi Dunya dan al-Tabrani)
Ulama berselisih pendapat mengenai status hadith ini, iaitu:
Hadith Sahih: Imam Sufyan Ibnu ‘Uyaynah, al-Hafiz Ibn Nasir, Imam al-Suyuti, Imam al-Munawi, Imam Ibn Abidin, dan Syeikh Ahmad al-Ghumari.
Hadith Hasan: Imam Ibn Hibban, Imam al-Bayhaqi, al-Hafiz al-‘Iraqi, al-Hafiz al-Sakhawi dan Mawlana Abd al-Hayy al-Laknawi.
Hadith Da’if Biasa: Imam Abu Zur’ah dan Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani.
Hadith Da’if Jiddan (Da’if Berat): Imam Abu Hatim dan al-Hafiz Daruqutni.
Hadith Tiada Asal dan Tidak Sabit Sanadnya: Imam Ahmad bin Hanbal, al-Hafiz al-‘Uqayli dan Imam Ibn Rajab al-Hanbali.
Hadith Mawdhu’ (Palsu): Imam Ibn Jawzi, Imam Ibn Taymiyah dan Imam Ibn Qayyim.
Penjelasan Mengenai Pengamalan Hadith
Dalam penulisan sebelum ini, telah dijelaskan bahawa sesebuah hadith yang dihukum palsu oleh sesetengah ulama akan tetapi tidak disepakati kepalsuannya oleh ulama lain, tidak boleh ditolak begitu saja dan dihukum palsu secara mutlak. Hadith tersebut masih terbuka untuk pengamalan meskipun statusnya mardud (ditolak) dalam ilmu mustalah hadith. Hadith sahih sekalipun perlu disaring dan ditapis oleh para ulama untuk menjadi maqbul dalam pengamalan. Oleh itu, hadith da’if jiddan atau hadith yang tidak disepakati kepalsuannya akan diamalkan apabila terdapat ulama muktabar yang menerimanya.
Contoh Pandangan Ulama Terhadap Hadith dan Pengamalan
Imam Ahmad bin Hanbal ketika ditanya mengenai status hadith meluaskan perbelanjaan isi rumah di Hari Asyura’, menjawab bahawa hadith tersebut tiada asalnya (لا اصل له). Namun, ketika ditanya oleh muridnya Imam Ibn Mansur mengenai amalan meluaskan perbelanjaan pada hari ‘Asyura, beliau tidak menolak pengamalannya. Bahkan, beliau menjawab bahawa ia adalah amalan mujarab yang diamalkan oleh sebaik-baik kelompok dari kalangan ulama salaf seperti Imam Ja’far bin Ibrahim bin Muhammad bin Muntashir dan Imam Sufyan bin ‘Uyaynah yang berkata, “Kami telah mendapatinya ianya mujarab selama kami mengamalkannya sepanjang 50 hingga 60 tahun lamanya dan tidaklah kami raih kecuali kebaikan.” (Rujukan: Kashshaf al-Qina’ li al-Buhuti al-Hanbali)
Imam Ibn Abd al-Barr dalam al-Istidhkar menyebut bahawa ulama salaf yang menyebut ia amalan mujarab yang telah terbukti kebenaran fadilatnya ialah Imam Syu’bah, Imam Abu al-Zubayr, Imam Yahya bin Sa’id dan Imam Sufyan al-Thawri.
Syeikh Ahmad ibn al-Siddiq al-Ghumari dalam Hadiyyat al-Sughara’ bi Tashih Hadith Tawsi’ah Yawm ‘Asyura’ (هدية الصغراء بتصحيح حديث توسعة يوم عاشوراء) menyatakan bahawa hadith kelebihan meluaskan perbelanjaan hari Asyura’ adalah contoh penting untuk memahami bahawa hadith yang mardud dalam ilmu mustalah hadith tidak semestinya mardud di medan pengamalan.
Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam al-Amali al-Mutlaqah menyatakan bahawa hadith mengenai kelebihan meluaskan perbelanjaan hari Asyura datang dari banyak jalur riwayat, namun semua jalur riwayat tersebut adalah da’if. Namun, berhimpunnya seluruh jalur riwayat yang da’if tersebut menjadikan ia saling menguatkan antara satu sama lain.
Kitab al-Amali al-Mutlaqah dikarang oleh Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani untuk menyebarkan anjuran-anjuran amalan yang patut dilakukan pada setiap bulan sepanjang tahun dari bulan Muharram sehingga bulan Zulhijjah. Meskipun hadith-hadith mengenai kelebihan meluaskan perbelanjaan hari Asyura diakui oleh beliau sebagai da’if, namun beliau menyebarkannya untuk dimasyhurkan agar diamalkan oleh umat Islam untuk meraih fadilat yang terkandung di dalamnya.
Shaykh Muhammad ‘Awwamah dalam Hukmu al-‘Amal bi al-Hadith al-Da’if mengemukakan penilaian semula terhadap kalam Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam kitabnya Tabyin al-‘Ajab yang menyebutkan amalan puasa Rejab yang berasal dari hadith da’if tidak sewajarnya dimasyhurkan amalannya. Shaykh Muhammad ‘Awwamah menyatakan bahawa kalam Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani tersebut ganjil dan asing dalam ilmu hadith kerana bertentangan dengan ucapan dan praktik muhaddithin mutaqaddimin dan muta’akhirin serta bertentangan dengan praktik Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani sendiri dalam kitab-kitabnya yang lain.
Kesimpulan
Amalan meluaskan perbelanjaan hari Asyura disunatkan dan digalakkan oleh ulama dari semua mazhab. Berikut adalah pandangan ulama dari empat mazhab mengenai amalan ini:
Mazhab Hanafi: Al-Imam Ibn Abidin menyatakan bahawa amalan ini sabit dan sahih. Jabir berkata, “Aku telah melakukan perkara ini selama 40 tahun dan tidak pernah meninggalkannya.” (Radd al-Mukhtar)
Mazhab Maliki: Al-Imam al-Hattab al-Maliki menyatakan, “Seharusnya bagi seseorang itu melapangkan (memudahkan urusan atau menggembirakan) ahli keluarganya pada malam atau siang Hari Asyura.” (Mawahib al-Jalil)
Mazhab Syafi’i: Sheikh Abd al-Hamid al-Shirwni menjelaskan, “Disunatkan untuk melapangkan perbelanjaan kepada ahli keluarga pada Hari Asyura mudah-mudahan Allah melapangkan ahli keluarganya sepanjang tahun seperti yang disebutkan dalam hadith.” (Hasyiah ‘Ala Tuhfah al-Muhtaj)
Mazhab Hanbali: Al-Imam al-Bhuti menukilkan pandangan al-Imam Ahmad dan Sufyan Ibn ‘Uyainah yang menyebutkan, “Kami telah melakukannya selama 50 tahun atau 60 tahun, kami tidak melihatnya melainkan kebaikan.” (Kashshaf al-Qina’ ‘An Matn al-Iqna’)
Seseorang yang memilih pendapat ulama yang ramai menyokong galakan meluaskan perbelanjaan hari Asyura, hendaklah dia mengamalkannya tanpa merendahkan orang yang memilih pendapat segelintir ulama yang menolak pengamalannya. Begitu juga dengan orang yang tidak mahu mengamalkannya, silakan dengan pilihannya tetapi hendaklah dia tidak membid’ahkan orang yang ingin mengamalkannya.
Kepada yang ingin beramal dengannya, perbelanjaan bermula selepas maghrib hari ini sehinggalah masuknya waktu Maghrib esok hari.
Selamat beramal!
Kredit: Maulana Iqbal Zain al-jauhari