More

    Ulama Asya’irah dan Maturidiyyah digeruni ahli bidaah


    Masyarakat awam mungkin tidak mengenali ulama yang menjadi rujukan muktabar dalam disiplin pengajian Islam.

    Apatah lagi berkaitan isu dan istilah yang diguna pakai dalam setiap disiplin berkenaan. Dalam bidang akidah misalnya, pengajar di masjid atau surau yang menyampaikan pengajian tauhid Sifat 20 adakalanya tidak pun menyebutkan bahawa itu ialah akidah Asya’irah.

    Maka, orang awam yang sudah meyakini tauhid Sifat 20, namun tidak kenal ulama yang menyusunnya atau perbahasan mendalam mengenainya seperti tidak tahu pembahagian sifat kalam, tidak menafikan mereka sudah berpegang dengan akidah Asya’irah.

    Sama seperti orang awam yang pandai mengaji al-Quran, tetapi tidak tahu istilah tajwid, tidak menafikan mereka sudah mengamalkan ilmu tajwid.

    Justeru, amat lucu apabila orang awam diminta menerangkan mengenai siapa ulama Asya’irah dan Maturidiyyah.

    Sama sahaja kalau mereka diminta untuk menyebut siapa empat fuqaha’ mazhab (ulama fiqah) yang muktabar atau enam muhaddithin (ulama hadis) yang menyusun kitab hadis atau tujuh qurra’ (ulama qiraat) yang mutawatir, maka respons yang sama juga akan diperoleh.

    Sekiranya mereka tidak tahu, itu tidak menunjukkan bahawa semua ulama terbabit sudah tidak relevan dan perlu ditolak.

    Kita tidak tahu falasi apa lagi yang akan terus dimainkan oleh golongan yang anti dengan ulama Ahli Sunah Waljamaah (ASWJ) Asya’irah dan Maturidiyyah. Walhal, mereka yang sudah menjaga akidah umat Islam di seluruh dunia sejak lebih seribu tahun yang lampau.

    Tentunya hanya mereka yang ahli dan berkecimpung dalam medan disiplin pengajian Islam yang benar-benar mengenali peranan dan sumbangan besar yang sudah diberikan oleh mereka di sepanjang zaman.

    Jasa mereka cukup besar dalam memelihara kesucian akidah Islam dan membendung golongan ahli bidaah seperti Mushabbihah, Mujassimah, Muktazilah, Jahmiyyah, Jabariyyah, Qadariyyah, Murji’ah, Syiah, Khawarij dan seumpamanya.

    Peranan mereka ini yang ditakuti oleh golongan ahli bidaah kerana keupayaan mereka membungkam hujah lawan melalui dalil naqli dan dalil aqli sekali gus. Sehingga lawan mereka sama ada kembali ke jalan yang benar atau takut untuk menonjolkan diri terang-terangan kecuali dengan cara taqiyyah (berpura-pura).

    Perlu diketahui, manhaj akidah ulama Asya’irah dan Maturidiyyah ini muncul sebagai respons terhadap hujah syubhah golongan ahli bidaah terbabit.

    Namun, intipatinya bukan baharu kerana pembangunan manhaj akidah mereka hakikatnya adalah dalam rangka untuk mempertahankan dan melindungi akidah ulama salaf terdahulu.

    Bagaimanapun, golongan yang antiulama Asya’irah dan Maturidiyyah sentiasa cuba mempengaruhi orang awam untuk meninggalkan manhaj berkenaan. Misalnya, dalam isu tauhid Sifat 20 mereka mendakwa kononnya akidah terbabit sukar difahami.

    Walhal, dalam pengajian akidah ini sudah ada sukatan untuk peringkat rendah, peringkat menengah dan peringkat tinggi. Malah, sudah memadai bagi orang awam sekiranya mempelajari sukatan peringkat rendah sahaja.

    Selain manhaj yang sahih, tauhid Sifat 20 ini sebenarnya adalah benteng ampuh daripada fahaman skeptik, agnostik, ateis, paganisme, panteisme, antropomorfisme, pluralisme dan berbagai fahaman menyeleweng lain.

    Namun, tahap falasi golongan tadi adakalanya melucukan. Mereka boleh menerima pemeringkatan dalam semua disiplin ilmu, tetapi dalam bab akidah mereka mahu semua perlu mudah dan tidak menyusahkan.

    Apa yang membimbangkan, golongan ini sekadar menggoyahkan pegangan akidah masyarakat Islam. Sedangkan, akidah yang mereka cuba tawarkan sebagai ganti itu juga tidak dikenali oleh masyarakat awam.

    Lebih bahaya, golongan ini cuba mengajak orang awam berpegang dengan akidah ‘fitrah’ yang kononnya sedia ada dalam diri mereka.

    Peliknya, mereka mengakui semua perkara memerlukan tunjuk ajar dan bimbingan yang betul daripada ahli ilmu.

    Namun, satu-satunya perkara paling besar dan penting dalam hidup Muslim hanya perlu kepada fitrah sendiri, bukan ilmu alim ulama.

    Padahal perintah Allah SWT supaya bertanya itu umum mencakupi semua perkara dalam firman-Nya yang bermaksud: “Oleh itu, bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Nahl: 43)

    Dikhuatiri apabila ulama sudah tidak diikuti, maka tentunya kejahilan dan kesesatan akan mengambil tempat, menguasai manusia dan bermaharajalela. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Allah tidak akan mencabut ilmu secara menyentapnya sekaligus daripada para hamba, tetapi Allah akan mencabut ilmu itu dengan cara mematikan para ulama, sehingga apabila sudah tidak ada lagi seorang alim pun, maka manusia akan mengangkat para pemimpin yang jahil. Lalu ketika mereka ditanya, mereka pun berfatwa tanpa ilmu. Maka, mereka itu sesat dan menyesatkan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

    Penulis: Dr Mohd Khafidz Soroni
    Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)

    Latest articles

    Related articles