More

    Perbuatan ditinggalkan Nabi SAW tak semestinya haram

    Perbuatan ditinggalkan Nabi SAW tak semestinya haram

    Persoalan yang sering timbul dalam masyarakat kita dewasa ini adanya segelintir anggota masyarakat yang tidak memahami dengan sebenar-benarnya persoalan bidaah.

    Lalu mereka menganggap segala apa jua perkara yang tidak dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW dan sahabat semuanya bidaah.

    Akhirnya wujud dalam kalangan masyarakat yang menyatakan bahawa amalan seumpama talkin jenazah setelah dikebumikan, membaca tahlil, membaca Yasin pada malam Jumaat, berwirid secara berjemaah selepas solat fardu, membaca lafaz usalli atau melafazkan niat sebelum takbir, sambutan maulidur rasul dan sebagainya adalah amalan bidaah yang tidak diterima di sisi Allah.

    Kefahaman seumpama itu adalah fahaman yang tidak benar. Sesuatu yang dianggap bidaah itu sebenarnya adalah perkara khilafiah yang ulama berselisih pandangan terhadapnya.

    Menurut istilah syarak, bidaah adalah sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan masalah agama (untuk mendekatkan diri kepada Allah) yang tidak ada contoh sebelumnya daripada Nabi SAW, tidak disuruh oleh baginda untuk melakukannya, juga tidak dipersetujui dan tidak diakui oleh Nabi SAW dan tidak pernah dilakukan sahabat Rasulullah. (Jum’at Amin Abdul Aziz. 1991. Fahmul Islam fi Zilal Usul al-‘Isyrin lil Imam Hasan al-Banna. Iskandariah: Dar al-Da’wah, hlm 195)

    Bidaah juga ditakrifkan sebagai mewujudkan sesuatu perbuatan atau perkataan yang tidak datang keizinan daripada syarak dalam al-Quran, sunah, ijmak atau qias dan tidak termasuk dalam kaedah serta asas umum ajaran Islam. (Al-Sa’di, Abdul Malik Abdul Rahman, 2008. Al-Bid’ah fi al-Mafhum al-Islamiy al-Daqiq. Jordan: Matba’ah al-Azhar, hlm 8)

    “Oleh itu, bidaah adalah perbuatan yang bertentangan dengan sunah kerana sunah itu petunjuk. Sedangkan bidaah adalah perbuatan yang dilakukan tanpa landasan wahyu (al-Quran) atau sunah Nabi SAW dan ijmak ulama.”

    Oleh itu, apabila berlaku sesuatu perkara atau amalan, hendaklah dilihat sama ada amalan tersebut ada dalam al-Quran, sunah, ijmak atau qias.

    Sekiranya tidak ada, hendaklah dilihat pula sama ada amalan itu menepati kaedah umum ajaran Islam atau tidak.

    Sekiranya amalan itu termasuk dalam kaedah umum Islam, ia tidak dinamakan bidaah.

    Jika sebaliknya, iaitu amalan yang jelas bercanggah dengan ajaran Islam, barulah dianggap bidaah.

    Persoalannya, adakah setiap amalan atau ibadah yang tidak dilakukan oleh Rasulullah terus dianggap bidaah?

    Sesuatu yang perlu difahami juga dalam persoalan bidaah ini adalah ibadah yang dilakukan oleh Nabi SAW boleh dibahagikan kepada dua iaitu:

    1. Amalan Nabi SAW yang dikaitkan (dikhususkan) dengan masa, tempat, bilangan tertentu dan sebagainya seperti bilangan rakaat solat, waktu solat, hari yang diwajibkan berpuasa, cara ibadah haji dan sebagainya. Amalan seumpama ini hendaklah dilaksanakan tanpa menambah atau mengurang kadar yang telah ditetapkan. Sekiranya sengaja menambah bilangan rakaat solat Maghrib umpamanya daripada tiga rakaat kepada empat rakaat maka inilah amalan yang dikatakan sebagai bidaah.
    2. Adapun, amalan Nabi SAW atau apa yang datang daripadanya dalam bentuk suruhan, galakan, wasiat dan sebagainya yang tidak dikaitkan (dikhususkan) dengan waktu tertentu untuk melakukannya serta tidak pula ada larangan baginda terhadap waktu tertentu untuk melakukannya maka dengan itu umat Islam bebas memilih waktu disukai untuk melaksanakan amalan tersebut.

    Syaratnya, tidak menyandarkan kepada Rasulullah dengan mengatakan baginda menyuruh melakukan amalan tersebut pada waktu yang dilakukan itu. Bahkan amalan itu boleh dilakukan berasaskan bahawa ia sesuatu yang termasuk dalam dasar ajaran Islam.

    Ilmu elak bidaah

    Imam Hasan al-Banna mengkategorikan bidaah itu kepada dua iaitu:

    1. Bidaah hakiki yang wajib diperangi

    Contoh bidaah dalam kategori pertama iaitu yang wajib diperangi adalah tidak menggunakan hukum dan perundangan diturunkan oleh Allah, menyambut perayaan yang mempunyai kaitan dengan agama selain daripada Islam, adat dan budaya haram yang diceduk dari Barat seperti pergaulan bebas, tidak menutup aurat dan sebagainya.

    1. Bidaah yang termasuk dalam khilaf dalam kalangan ulama

    Adapun bidaah kategori ini yang menjadi perselisihan dalam kalangan ulama adalah berselawat kepada Nabi SAW secara kuat selepas azan, membaca Surah al-Kahfi dengan suara yang kuat oleh seorang qari di masjid sebelum didirikan solat Jumaat, membaca ayat al-Quran atau zikir tertentu dengan bilangan yang ditetapkan seperti 100 dan 1,000; menyambut ulang tahun keputeraan Rasulullah dan sebagainya.

    Oleh yang demikian, bidaah kategori pertama sahaja yang diharamkan manakala bidaah kategori kedua bukanlah bidaah hakiki yang diharamkan. Kekeliruan timbul dalam kalangan masyarakat tentang bidaah ini ekoran kefahaman seolah-olah segala apa yang tidak dilakukan oleh Rasulullah menjadi suatu bidaah apabila dilakukan.

    “Sedangkan sesuatu yang sedia dimaklumi secara darurah bahawa nabi tidak melakukan semua perkara yang diharuskan kerana perkara yang harus terlalu banyak.

    “Oleh itu, sesiapa yang mendakwa pengharaman sesuatu atau mengaitkan dengan bidaah dengan alasan nabi tidak melakukannya, bererti dia telah membuat dakwaan yang salah.”

    Terdapat kaedah usul fiqh yang menyebut: “Rasulullah meninggalkan sesuatu bukan bererti mengharamkannya.”

    Begitu juga sesuatu yang dimaklumi secara darurah bahawa Nabi SAW tidak mengerjakan semua amalan yang sunat.

    Hal ini kerana kesibukan baginda melakukan perkara dan urusan lain yang lebih penting dan besar seperti menyampaikan dakwah, berdebat dengan golongan Musyrikin dan ahli kitab, berjihad menentang musuh Islam demi memelihara kesucian agama Islam, mengasaskan sebuah kerajaan Islam dan sebagainya.

    Namun, Rasulullah menggariskan nas syarak yang umum meliputi segala hal yang disunatkan.

    Penulis: Datuk Dr Mohd Sukki Othman, Mufti Pulau Pinang

    Latest articles

    Related articles