Waktu berjalan dengan begitu cepat hingga tidak terasa. Sedar atau tidak sedar kita sedang menuju ke gerbang bulan Zulhijjah. Bulan ini dikenali sebagai bulan haji dalam kalangan masyarakat kita amnya. Hal ini kerana, dalam bulan ini berlaku perintah ibadat haji bagi mereka yang berkemampuan dari segi syariat. Jemaah haji tanah air juga telah mula berlepas ke bumi al-Haramain sejak beberapa minggu lalu untuk membuat persediaan ibadah yang akan dilaksanakan tidak lama lagi.
Makalah ini bukanlah ingin perihal ibadah haji dan umrah. Namun makalah ini mengupas berkenaan awal bulan Zulhijjah menurut perspektif syarak. Kelebihan umat Muhammadiyah ialah bersendikan teks wahyu dan sunnah Nabi saw. Nabi saw bersabda :
“Tiada hari-hari yang amalan soleh yang paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini-baginda memasukkan: 10 hari terawal Zulhijjah-.”Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya?”Baginda bersabda,”Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali.” (HR Abu Daud)
Berdasarkan hadis di atas, apa yang kita dapat fahami ialah terdapat kelebihan sepuluh awal Zulhijjah itu sendiri dan kelebihan beramal soleh dan beribadah pada waktu tersebut. Jika beramal pada waktu tersebut menjadi afdal maka sudah tentu sepuluh hari tersebut bukanlah hari yang biasa. Tidak salah jika kita mengatakan awal bulan yang terakhir ialah sepuluh awal Zulhijjah. Manakala akhir bulan yang terbaik ialah sepuluh terakhir Ramadan dan tengah bulan yang terbaik ialah nifsu Syaaban. Seterusnya siang hari terbaik ialah hari Arafah dan malam hari terbaik ialah lailatulqadar.
Penciptaan manusia dan jin bukanlah untuk perkara sia-sia. Bahkan kita diciptakan untuk beribadah dan memakmurkan bumi Allah taala ini. Allah berfirman dengan maksud :
“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembah dan beribadah kepada-Ku.” (Surah al-Zariyat ayat 56)
Inilah fungsi khusus penciptaan kita. Jadi kita boleh ambil kesempatan pada waktu yang mulia itu untuk memperbanyakan ibadah dan amal soleh kita. Menurut Imam Ibnu Hajar al-Asqalani rah., dalam kitabnya Fath al-Bari berkata: “Secara zahirnya, sebab yang menjadikan 10 hari pertama Zulhijjah ini lebih utama dari yang lain kerana 10 hari ini menghimpunkan semua amalan utama di dalam Islam iaitu solat, puasa, sedeqah dan haji. Himpunan amalan-amalan ini tidak berlaku dalam hari-hari yang lain.”
Antara amalan yang dianjurkan ialah perbanyakan bertasbih dan memuji Allah taala. Nabi saw bersabda; “Tiada hari-hari yang lebih agung dan disukai oleh Allah untuk beramal soleh selain 10 hari ini. Maka, perbanyakanlah tahlil,takbir, dan tahmid pada-Nya.” (HR Imam Ahmad).
