Golongan Salafi Wahabi terus berusaha untuk menyebarkan fahaman mereka tentang sifat Allah SWT kepada umat Islam. Mereka berpendapat bahawa sifat-sifat seperti istiwa’, yad, wajh, ‘ayn, nuzul, qadam, dan surah merujuk kepada bentuk fizikal Tuhan, walaupun kaifiat (cara atau hakikat) sifat-sifat tersebut tidak diketahui. Namun, ulama Ahlus Sunnah Wal Jamaah (ASWJ), khususnya dari aliran Asya’irah dan Maturidiyyah, menolak fahaman ini. Mereka berpegang bahawa sifat-sifat tersebut adalah mutasyabihat—sifat yang tidak jelas maknanya dan perlu diserahkan tafsirannya kepada Allah SWT sendiri (tafwidh). Dalam sesetengah keadaan, ulama ASWJ juga membenarkan takwil (penafsiran) sifat-sifat ini dengan kaedah yang muktabar untuk mengelakkan umat Islam daripada mempercayai bahawa Allah SWT mempunyai sifat fizikal seperti makhluk.
Pandangan ulama ASWJ ini sering mendapat tentangan daripada golongan Salafi Wahabi, yang menuduh fahaman ASWJ dipengaruhi oleh falsafah Yunani dan logik Aristotle. Namun, hakikatnya, Aristotle tidak pernah membahaskan kewujudan Tuhan. Sebaliknya, beliau hanya membincangkan kewujudan benda, yang merangkumi konsep jawhar (zat benda) dan ‘aradh (sifat benda). Konsep ini telah dijadikan asas kepada ilmu sains dan logik.
Pemikiran tentang kewujudan benda sebenarnya telah wujud jauh sebelum zaman Aristotle dan tamadun Yunani. Ulama Islam, dengan bijaksana, menyaring ilmu ini berdasarkan al-Quran dan Sunnah, menerima yang tidak bercanggah dengan syariat, dan menolak yang bertentangan. Pandangan Aristotle mengenai kewujudan benda diterima oleh ulama Islam dan disesuaikan dengan kebijaksanaan mereka. Ini membantu membezakan antara kewujudan benda dan kewujudan Tuhan, yang sudah pasti tidak sama. Seperti yang disebutkan dalam al-Quran, “Tiada sesuatu pun yang sebanding dengan-Nya (Zat-Nya, sifat-sifat-Nya, dan pentadbiran-Nya)” (Surah as-Syura: 11). Oleh itu, ulama ASWJ menegaskan bahawa Allah SWT bukan jawhar dan bukan ‘aradh, kerana kedua-duanya adalah ciri-ciri jisim.
Pandangan ini telah dikemukakan oleh banyak ulama ASWJ, antaranya dalam kitab al-Fiqh al-Akbar yang dinisbahkan kepada Imam Abu Hanifah (wafat 150H). Saranan untuk mengenal kewujudan benda bagi mengenal kewujudan Allah SWT sebenarnya banyak diajarkan dalam al-Quran. Sebagai contoh, firman Allah SWT: “Patutkah mereka (membutakan mata) tidak mahu memperhatikan alam langit dan bumi, dan segala yang diciptakan oleh Allah, dan (memikirkan) bahawa harus telah dekat ajal kebinasaan mereka?” (Surah al-A’raf: 185).
Konsep Qurani ini telah diterapkan dalam kitab-kitab ASWJ, seperti Umm al-Barahin oleh Imam as-Sanusi (wafat 895H), dan turut merangkumi perbahasan hukum aqli yang dibahagikan kepada wajib, mustahil, dan harus. Ini bukan sahaja dipelajari oleh Asya’irah dan Maturidiyyah, tetapi juga oleh Hanabilah, yang menganggapnya sebagai wajib untuk mengenal Allah SWT. Cara berfikir yang betul ini adalah yang ditetapkan oleh Allah SWT bagi orang-orang yang berakal.
Malangnya, terdapat golongan yang menolak pendekatan ini, sambil menuduh majoriti ulama Islam—Asya’irah, Maturidiyyah, dan Hanabilah—sebagai mengislamkan konsep Aristotle. Mereka secara delusi mendakwa bahawa konsep kewujudan benda Aristotle telah diislamkan, sedangkan jika begitu, sains, matematik, astronomi, fizik, dan semua ilmu duniawi juga boleh dikatakan telah diislamkan oleh umat Islam. Tuduhan ini jelas merupakan satu falasi yang serius.
Sebahagian mereka mungkin cuba mengangkat ilmu logik Syeikh Ibnu Taymiyyah yang cuba menjauhkan diri daripada kearifan Yunani, termasuk perbahasan tentang jawhar dan ‘aradh. Namun, akhirnya beliau sendiri terperangkap dalam ilmu logiknya, sehingga fahamannya tidak jauh berbeza dengan Mujassimah Musyabbihah, kecuali dalam isu tajsim (mengatakan Allah berjisim). Syeikh Ibnu Taymiyyah tidak secara tegas menetapkan atau menafikan bahawa Allah itu berjisim, menjadikan fahamannya sebagai tajsim ghair sorih (tidak secara jelas).