Kemuliaan Nisfu Syaaban dan Kepedulian Ulama Terhadapnya

Malam Nisfu Syaaban ini merupakan malam yang agung. Ia juga dinamakan sebagai Lailah al-Mubarakah (malam yang berkat), Lailah al-Qasamah wa al-Taqdir (malam pembahagian qadha’ dan qadar), Lailah al-Takfir (malam penghapusan dosa), Lailah al-Ijabah (malam diperkenankan doa), Lailah al-Hayah (malam hidup iaitu hati dihidupkan Allah agar tidak lupa kepada-Nya).

Hadis yang menyatakan tentang kemuliaan Nisfu Syaaban antaranya :
Sayidina Mu’az bin Jabal berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: “Allah menilik kepada seluruh makhluk-Nya pada malam Nisfu Syaaban, lalu Dia mengampunkan seluruh makhlukNya kecuali orang musyrik (orang yang menyekutukan Allah) dan musyahin (orang yang suka bermusuhan).”

Hadis ini riwayat Imam Ahmad di dalam Musnadnya, Ibnu Hibban di dalam Sahihnya, Al-Thobrani dalam Al-Mu’jam al-Kabir dan Al-Mu’jam al-Ausath, Abu Nu’aim dalam Hilyah al-Auliya’, Al-Munziri dalam Al-Targhib, Ibnu Majah, Al-Bazzar dalam Al-Musnad dan Al-Baihaqi. Menurut Syeikh Syuaib al-Arnouth rahimahullah yang menilai hadis riwayat Ibnu Hibban sebagai sahih berdasarkan syawahid banyak hadis yang saling menguatkan.

Berikut adalah pandangan ulama-ulama muktabar tentang hukum melakukan ibadat dan amal soleh pada malam Nisfu Syaban.
Sayiduna Umar bin Abdul Aziz RA. menulis kepada ‘Adi bin Arthoh :
عليك بأربع ليال في السنة , فإن الله يفرغ فيهن الرحمة : أول ليلة من رجب , وليلة النصف من شعبان , وليلة الفطر , وليلة النحر
“Hendaklah kamu peduli terhadap empat malam dalam setahun kerana sungguhnya Allah mencurahkan rahmat-Nya pada malam-malam tersebut : Awal malam daripada Rejab dan malam nisfu Syaban dan malam raya Fitri dan malam raya Adha.”

Imam Ibnu Najim Al-Hanafi pada kitab Al-Bahrul Raaiq :
ومن المندوبات إحياء ليالي العشر من رمضان وليلتي العيدين وليالي عشر ذي الحجة وليلة النصف من شعبان
“Dan setengah dari yang disunatkan ialah menghidupkan sepuluh malam Ramadan dan dua malam hari raya dan sepuluh malam Zulhijjah dan malam nisfu Syaban.”
Pengarang Kitab Durarul Hikam :
ومن المندوبات إحياء ليال العشر الأخير من رمضان وليلتي العيدين وليالي عشر ذي الحجة وليلة النصف من شعبان
“Dan setengah dari yang disunatkan ialah menghidupkan sepuluh malam akhir dari Ramadhan dan dua malam hari raya dan dan sepuluh malam Zulhijjah dan malam nisfu daripada bulan Syaban.”

Pensyarah Kitab Syarah Al-Haskafi karangan Syeikh ‘Alauddin Al-Haskafi :
وإحياء ليلة العيدين والنصف من شعبان والعشر الأخير من رمضان والأول من ذي الحجة ويكون بكل عبادة تعم الليل أو أكثره
“Dan menghidupkan malam dua hari raya dan malam nisfu Syaaban dan sepuluh malam akhir Ramadhan dan awal daripada Zulihijjah dan adalah dengan sekelian ibadah itu sepenuh malam atau kebanyakan malamnya.”

Kitab Hasyiah Ibnu Abidin ala Mazhabil Hanafi:
مطلب في إحياء ليالي العيدين والنصف وعشر الحجة ورمضان
“Yang dituntut ialah pada dua malam hari raya dan malam nisfu dan sepuluh malam Zulhijjah dan malam Ramadhan.

Imam Ibnu Solah Al-Syafie :
وأما ليلة النصف من شعبان فلها فضيله واحياؤها بالعبادة مستحب
“Dan adapun malam nisfu dari Syaaban maka baginya kelebihannya dan menghidupkannya dengan berbuat ibadah adalah disunatkan.” (Fatwa Ibnu Solah)

Imam Khatib Syarbini al-Syafie :
والدعاء فيهما وفي ليلة الجمعة وليلتي أول رجب ونصف شعبان مستجاب فيستحب كما صرح به في أصل الروضة
“Dan berdoa pada dua malam hari raya dan malam jumaat dan awal bulan Rejab dan malam nisfu Syaaban adalah disunatkan sebagaimana diterangkan dengannya pada asal kitab Ar-Raudhah.” (Mughni Al-Muhtaj)

Syeikh Ibnu Taimiyah :
إذا صلى الإنسان ليلة النصف وحده ، أو في جماعة خاصة كما كان يفعل طوائف من السلف ، فهو أحسن
“Apabila seseorang solat pada malam nisfu Syaaban sendirian atau berjemaah secara khusus sebagaimana dikerjakan oleh beberapa kumpulan dalam kalangan generasi salaf maka ia adalah bagus.” (Majmu’ al-Fatawa)

Imam Ibnu Rajab Al-Hanbali :
وليلة النصف من شعبان كان التابعون من أهل الشام كخالد بن معدان ومكحول و لقمان بن عامر و غيرهم يعظمونها و يجتهدون فيها في العبادة
“Dan malam nisfu Syaaban itu adalah Tabiin dari negeri Syam seperti Khalid bin Mi’dan dan Makhul dan Luqman bin ‘Amir dan lainnya membesarkannya dan bersungguh berbuat ibadah padanya.” (Kitab Lathaif al-Ma’arif)

KESIMPULAN

Bagi mereka yang menghidupkan malam nisfu Syaban dengan melakukan solat sunat atau membaca al-Quran atau berzikir atau berdoa dan beristighfar samada secara sendirian atau berkumpulan maka hukumnya adalah harus dan baginya pahala yang sangat banyak dengan sebab amalannya itu. Dan perkara ini bukanlah bidaah seperti yang dikelirukan segelintir manusia.

Siapa yang tidak menghidupkannya yakni hanya beramal seperti pada malam-malam yang biasa maka tidaklah menjadi kesalahan kepadanya. Dan janganlah kita memaksa orang lain untuk berbuat dan berpegang pendapat dan cara kita semata-mata.

Moga Allah mengampunkan dosa kita, mengabulkan permintaan kita serta menerima amal kebaikan kita.

Salam Nisfu Syaaban buat semua kaum Muslimin.

Latest articles

Related articles