Kupasan Imam Malik Tentang Istiwa: Menolak Kekeliruan Ibnu Taimiyyah

Selesai menelaah buku terbaharu Prof Dr As-Syarif Hatim bin ‘Arif al-‘Awni, seorang pakar hadis dan mantan pensyarah di Universiti Ummu al-Qura, Makkah mengenai kalam Imam Malik (wafat 179H) dalam isu istiwa, penulis berpendapat buku ini satu-satunya buku yang berjaya membahaskan secara tuntas isu berkenaan. Buku ini sangat penting kerana kalam Imam Malik itu sering disalah faham oleh kelompok Salafi Wahhabi pada masa kini.

Kesalahfahaman kelompok tersebut sebenarnya berpangkal pada tokoh tersohor panutan mereka, Syeikh Ibnu Taimiyyah (wafat 728H). Lantaran itulah, buku ini disusun khusus oleh Dr Hatim al-‘Awni untuk memperbetulkan kesilapan beliau dalam isu berkenaan. Malah, pada muka hadapan, Dr Hatim al-‘Awni menyebutkan judulnya secara lengkap: ‘al-Istiwa’ ma’lum wa al-kaif majhul: Taqrir li-tafwidh al-ma’na la li-ithbatihi ‘inda akthar min tis’in imaman mukhalifin li-Ibni Taimiyyah’ (bermaksud: ‘Istiwa adalah maklum dan bagaimana caranya tidak diketahui: Suatu penetapan untuk tafwidh (menyerahkan) makna, bukannya untuk ithbat (menyabitkan) makna di sisi lebih daripada 90 orang imam yang menyanggahi Ibnu Taimiyyah’).

Penulis mengira buku ini adalah satu langkah berani Dr Hatim al-‘Awni dalam suasana beliau hidup di tengah-tengah kelompok yang mengagungkan sosok Syeikh Ibnu Taimiyyah. Namun, tentunya kebenaran lebih utama didahulukan, meskipun pahit. Dalam mengupas isu berkenaan, Dr Hatim al-‘Awni telah berjaya mengumpulkan 11 jalan riwayat mengenai kalam Imam Malik tersebut.

Apa yang mengejutkan, beliau menyatakan kebanyakan jalan riwayat berkenaan adalah bermasalah dan lemah kecuali sebuah jalan riwayat sahaja yang dinilai sebagai paling sahih. Riwayat itu menyebutkan, seorang lelaki bertanya kepada Imam Malik: “Wahai Abu ‘Abdillah, ‘ar-Rahman ‘ala al-‘Arsy istawa’ (Surah Taha: 5) (bermaksud: Allah yang Maha Pengasih beristiwa’ di atas Arasy), maka bagaimanakah istiwa’-Nya itu?” Lalu, Imam Malik pun terdiam dan menundukkan kepalanya hingga wajahnya berkeringat. Kemudian, beliau pun mengangkat kepalanya, lantas berkata: ‘Ar-Rahman ‘ala al-‘Arsy istawa’ adalah sepertimana Dia menyifatkan diri-Nya, namun jangan ditanya: Bagaimana? Kerana bagaimana itu adalah terangkat (ternafi) daripada-Nya. Kamu ini orang jahat, ahli bidaah. Keluarkan dia.” (Riwayat al-Baihaqi dalam al-Asma’ wa as-Sifat dengan sanad sahih)

Riwayat ini tidak menyatakan istiwa itu maklum diketahui maknanya dan hanya bagaimana caranya sahaja tidak diketahui, sepertimana maksud yang dikehendaki oleh Ibnu Taimiyyah. Bahkan, versi kalam Imam Malik yang berbunyi: ‘Istiwa adalah maklum dan bagaimana caranya tidak diketahui’ yang dipegang oleh Ibnu Taimiyyah hakikatnya adalah lemah dan tidak kuat. Meskipun, beliau menjadikan versi itu sebagai hujah utama bagi kaedah ithbat (menyabitkan) makna dan mentafsirkan keseluruhan akidah ulama Salaf melaluinya.


Sekalipun sabit kata-kata: ‘Istiwa adalah maklum’, maka ia bukan semata-mata bermaksud ‘maklum diketahui maknanya’, kerana boleh jadi ia juga bermaksud ‘maklum maknanya jika dinisbahkan kepada makhluk’, atau ‘maklum terdapat di dalam nas syarak’ atau ‘maklum maknanya di sisi golongan yang mendalam pengetahuannya dalam ilmu agama yang menjauhi fahaman tasybih’.

Pada hakikatnya, ulama Salaf menurut Dr Hatim al-‘Awni tidak berpegang sebagaimana tafsiran Ibnu Taimiyyah itu. Sebaliknya, pegangan sebenar mereka dalam isu nas mutasyabihat ialah tafwidh (menyerahkan) makna kepada Allah SWT. Perlu diketahui juga bahawa Ibnu Taimiyyah tidak menganggap ayat istiwa dan nas seumpamanya sebagai mutasyabihat, sebaliknya sebagai muhkamat.

Kefahaman mengenai pegangan akidah ulama Salaf ini adalah pandangan jumhur ulama Ahlus Sunnah Waljamaah (ASWJ) Asyairah dan Maturidiyyah serta Mufawwidhah daripada kalangan Hanabilah dan Athariyyah. Maka, sudah tentu kefahaman mereka ini berbentur dengan kefahaman Ibnu Taimiyyah dan pengikutnya. Kita meyakini kesepakatan majoriti ulama ASWJ yang besar itu lebih utama untuk dijadikan pegangan berbanding fahaman minoriti Ibnu Taimiyyah serta pengikutnya yang terbukti silap. Malah, Nabi SAW menjamin majoriti umatnya daripada bermuafakat di atas perkara kesesatan dan kebatilan.

Perlu diingatkan, kita tidak menafikan ketokohan Syeikh Ibnu Taimiyyah yang digelar oleh pengagumnya sebagai Syeikhul Islam. Namun, itu bukan bermakna beliau maksum serta bebas daripada sebarang kesalahan. Jika kesalahannya kecil mungkin kita boleh kesampingkan sahaja. Tetapi, jika kesalahan itu besar sehingga memporak-perandakan umat Islam, ia adalah suatu perkara yang sangat serius dan tidak boleh didiamkan. Apatah lagi kesalahan itu menjadi landasan bagi pengikut yang taasub untuk menyesatkan, malah mengkafirkan pihak lawan selain menjerumuskan mereka ke lembah sesat tasybih dan tajsim. Disebabkan itu, Dr Hatim al-‘Awni berpendapat memperbetulkan kesalahan berkenaan adalah satu perkara wajib yang tidak boleh diabaikan.

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)

Latest articles

Related articles