Mencintai Ahlu Bait Bukan Hak Ekslusif Aliran Syiah

Cinta merupakan suatu anugerah tuhan buat manusia. Definisi cinta ialah kecenderungan kepada sesuatu atau keadaan yang membuatkan kita menjadi tertarik kepada sesuatu perkara. Ia merupakan fitrah insani yang diciptakan tuhan. Islam dan cinta diibaratkan dua sisi duit syiling. Al-Quran menjadi gedung utama buat ilmu pengetahuan.

Kalimah al-Hubb atau cinta ini dirakamkan dalam al-Quran sebanyak 88 kali. Ini menunjukan cinta menjadi teras buat agama. Bahkan Allah juga memiliki nama-Nya yang indah iaitu al-Wadud. Kalimah al-wadudu daripada wuddun yang sinonim dengan hubb yang bermaksud cinta. Cinta diajarkan dalam Islam berkaitan Allah, Rasul, ahlu bait, para sahabat, sesama manusia dan makhluk Allah.

Makalah ini memfokuskan aspek mencintai ahlu bait Nabi ﷺ secara serius. Hal ini kerana menjadi fobia masyarakat kita berkenaan ahlu bait. Apakah ahlu bait hanya milik kelompok aliran Syiah sahaja? Jadi ini sebab makalah ditulis. Allah swt berfirman dalam surah Al-Syura, ayat 23:
قُلْ لاَّ أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ أَجْرًا إِلاَّ الْمَوَدَّةَ فِي الْقُرْبَى
“Katakanlah (wahai Muhammad): Aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah ke atasnya (tentang ajaran Islam yang aku sampaikan itu), kecuali (yang aku minta hanyalah) kasih sayang pada pertalian keluarga/kerabat (yang menghubungkan daku dengan kamu)”.

Menurut ahli tafsir bahawa al-qurba (kerabat) yang dimaksudkan ialah Ali, Fatimah, Hasan dan Husin. Ia disokong oleh ahli tafsir semisal al-Zamaksyari, al-Suyuti, al-Razi. Imam al-Tabari, ahli tafsir terulung memuatkan satu riwayat daripada Ibnu Abbas berkaitan penurunan ayat al-mawaddah ini. Lalu para sahabat bertanya Nabi berkenaan gerangan kerabat manakah yang diwajibkan untuk dikasihi. Baginda ﷺ menjawab mereka itu ialah Ali, Fatimah dan kedua-dua anak mereka iaitu Hasan dan Husin.

Selanjutnya, menurut Ibnu Hajar, ayat 33 surah Al-Ahzab menunjukkan kelebihan Ahlul Bait, kerana Allah menyatakan secara khusus keinginan membersihkan mereka daripada dosa atau syak dalam perkara-perkara berkaitan iman, dan juga membersihkan mereka daripada akhlak yang keji. Setengah riwayat mengatakan maksudnya ialah mengharamkan mereka daripada api neraka iaitu dengan ilham daripada Allah kepada mereka untuk bertaubat dan mengekalkan amal soleh.

Seterusnya, Nabi ﷺ merupakan suri teladan buat umat seluruhnya. Baginda menstrukturkan perjalanan hidup seorang hamba menuju Allah taala. Baginda memberikan pusaka yang mustahak buat kita. Nabi ﷺ bersabda:
“…وَأَنَا تَارِكٌ فِيكُمْ ثَقَلَيْنِ أَوَّلُهُمَا كِتَابُ اللهِ فِيهِ الْهُدَى وَالنُّورُ ، فَخُذُوا بِكِتَابِ اللهِ وَاسْتَمْسِكُوا بِهِ – فَحَثَّ عَلَى كِتَابِ اللهِ وَرَغَّبَ فِيهِ ، ثُمَّ قَالَ: وَأَهْلُ بَيْتِي ، أُذَكِّرُكُمُ اللهَ فِي أَهْلِ بَيْتِي ، أُذَكِّرُكُمُ اللهَ فِي أَهْلِ بَيْتِي ، أُذَكِّرُكُمُ اللهَ فِي أَهْلِ بَيْتِي..”

“…Aِِku (Nabi Muhammad SAW) telah meninggalkan kepada kamu thaqalain( dua perkara yang berat), padanya terkumpul cahaya petunjuk. Pertamanya ialah berpeganglah dengan Kitab Allah Ta’ala dan teguhkan pendirian kalian dengannya – lalu beliau menganjurkan agar melazimi al-Quran dalam masa yang sama memberikan motivasi dengan al-Quran. Keduanya ialah dan ahli keluargaku. Aku mengingatkan kalian kepada Allah perihal keluargaku, aku mengingatkan kalian kepada Allah perihal keluargaku, aku mengingatkan kalian kepada Allah perihal keluargaku…”. (HR Muslim)

Jika kita menelaah kitab hadis-hadis yang lain, ada menyatakan kewajipan mengasihi Ahlul Bait dan menjaga kepentingan mereka. Nabi salla Allahu a’laihi wassalam bersabda:
“Sesiapa yang kasih kepada Allah pasti dia kasih kepada Al-Quran, sesiapa yang kasih kepada Al-Quran pasti dia mengasihi aku, barangsiapa yang mengasihi aku, pasti dia mengasihi sahabat-sahabat dan kaum kerabatku”. (H.R al-Dailami)

Berasaskan nas-nas di atas para ulama Ahlus Sunah sependapat mengatakan bahawa kewajipan umat Islam terhadap Ahlul Bait ialah menaruh rasa kasih sayang terhadap mereka, menjaga kepentingan serta berbuat baik terhadap mereka. Inilah ajaran dan pegangan Ahlus Sunah tentang Ahlul Bait. Saidina Abu Bakar mengatakan :
“Sesungguhnya menghubungkan kerabat Rasulullah s.a.w lebih aku kasihi daripada kerabat aku sendiri”. (Riwayat al-Bukhari)

Dalam pada itu, pengarang kitab al-Syifa iaitu Qadi ‘Iyadh berkata: “Hadis-hadis yang lalu menunjukkan wajib mengasihi Ahlul Bait dan haram yang sangat berat jika membenci mereka”. Ini juga adalah pendapat Baihaqi, Baghawi dan lain-lain, malah imam Syafie telah menyatakan dengan jelas tentang hukum ini dengan katanya:
“Wahai Ahlul Bait Rasulullah! Sesungguhnya kasihkan kamu adalah fardu yang diturunkan Allah di dalam Al-Quran”.

Latest articles

Related articles