PERSELISIHAN PENDAPAT BUKAN SEBAB UNTUK MENGHINA DAN MENCACI

Perselisihan telah menjadi fitrah dalam kalangan manusia sejak dahulu kala. Imbas pada sudut sejarah, Habil dan Qabil juga telah berlaku perselisihan hingga berlaku pertumpahan darah.

Jika diteliti dalam al-Quran, sudah terdapat bukti berlaku perselisihan. Para malaikat mempersoalkan tujuan penciptaan Adam dengan berhujah bahawa manusia bakal menumpahkan darah. Dan ini menjadi petanda awal daripada al-Quran bahawa manusia sememangnya suka berbalah-balahan.

Seterusnya, dalam lipatan sejarah juga merakamkan pelbagai bentuk pertentangan dan persengketaan antara kelompok manusia sehingga berlaku peperangan dan pembunuhan seperti kisah Habil dan Qabil di atas.

Selain itu, berlaku perselisihan yang dahsyat dalam kalangan para sahabat Nabi SAW seperti perang Siffin (Ali dan Muawiyah) dan perang Jamal (Ali dan Aisyah) hingga berlaku pertumpahan darah begitu banyak dalam sejarah Islam ketika itu.

Kewujudan mazhab dalam pelbagai bidang ilmu menggambarkan bahawa terdapat perselisihan pandangan yang banyak dalam kalangan manusia. Banyak kisah memaparkan murid dan guru berselisih pendapat seperti Wasil bin Atha dan Abu Hasan al-’Asy’aari rah.

Pada zaman Tabiin, Imam Syafie telah berdiskusi dengan temannya iaitu Syeikh Yunus al-Sadafi rahimahullah. Kisahnya disebutkan oleh Imam al-Zahabi dalam kitab Siyar ‘Alam al-Nubala seperti berikut :

وقال يونس الصدفي: (ما رأيت أعقل من الشافعي، ناظرته يوما في مسألة، ثم افترقنا، ولقيني، فأخذ بيدي،
ثم قال: يا أبا موسى، ألا يستقيم أن نكون إخوانا وإن لم نتفق في مسألة)

Syeikh Yunus bin Abdul ‘Ala al-Sadafi menceritakan bahawa : “Aku tidak pernah bertemu dengan seseorang yang lebih cerdas daripada al-Syafie. Suatu hari kami berselisih pandangan dalam diskusi kami, lalu kami berpisah dalam keadaan aku merajuk marah, lalu beliau datang menemuiku dan memujukku: Wahai adindaku Abu Musa, tidak bolehkah kita terus bersaudara walaupun kita tidak bersepakat dalam satu masalah pun?”.

Berdasarkan pandangan dan kisah di atas, boleh disimpulkan bahawa walaupun khilaf banyak berlaku dalam masyarakat, bukanlah satu fitrah yang harus dipertahankan, jauh sekali dijadikan asas kepada perpecahan yang berterusan.

Malah sekiranya kita meneliti semangat yang dibawa oleh al-Qur’an berkaitan ikhtilaf dan kesatuan, ternyata al-Qur’an sentiasa menyarankan manusia supaya bersatu dan bersepakat dalam melakukan sesuatu. Bahkan kesatuan ini menjadi tema utama al-Qur’an apabila berbicara tentang kemasyarakatan.

Polemik yang berlaku antara asatizah baru-baru ini, haruslah diuruskan dengan cara yang baik. Dan masyarakat yang tidak mahir dalam selok belok agama diingatkan supaya tidak masuk campur. Dan bagi mereka yang terlibat dalam kalangan agamawan pula mestilah menjaga adab. Perkara yang khilaf haruslah dibicara secara adil. Jangan menyalahkan pendapat orang lain sekiranya tidak bersetuju.

Beberapa adab berkhilaf yang boleh kita terapkan ialah mengutamakan dalil dan hujah berbanding emosi, memahami keutamaan dan cabangan dalam isu-isu yang diperselisihkan, berlapang dada atas perbezaan isu ranting agama, berusaha mencari ruang keharmonian berkaitan sesuatu perkara yang menjadi pertentangan, menjauhi sikap ta’sub terhadap aliran, menekankan keikhlasan dalam mencari kebenaran dan mengadakan dialog dengan cara terbaik dan rasional.

Moga kita menjaga ukhuwah sesama kita biarpun berbeza pendapat dan aliran kerana kiblat kita masih sama.

Latest articles

Related articles