Baru-baru ini Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) menerima soalan akidah Ahlu Sunah Wal Jamaah (al-Asha’irah dan al-Maturidiyyah) disebutkan sebagai pegangan majoriti umat Islam.
Semata-mata sesuatu istilah itu tidak diketahui oleh orang awam ia tidak menafikan hakikat sesuatu istilah. Orang awam tidak diwajibkan dan tidak dituntut untuk mengetahui perincian akidah dengan dalil terperinci (tafsili), bahkan mereka hanya diwajibkan untuk mengetahui dengan dalil ringkas (ijmali) sahaja.
Justeru itu, ketidakfahaman orang tidak memberi kesan kepada kesepakatan para ulama terhadap akidah ini. Apa yang diambil kira dalam penentuan majoriti ini ialah daripada kalangan para mujtahid dan ulama yang muktabar. Fakta secara jelas menunjukkan bahawa majoriti ulama ummah berpegang dengan akidah Ahlu Sunah wal Jamaah (al-Asha’irah dan al-Maturidiyyah).
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke Hari Kiamat.
Hal yang disepakati oleh semua adalah majoriti umat Islam di sepanjang zaman berpegang dengan akidah Ahli Sunnah Waljama’ah (ASWJ).
Dalam hal ini, ramai para ulama menyatakan bahawa apabila disebut akidah Ahli Sunnah Wal Jama’ah, maka ia merujuk kepada akidah al-Asha’irah dan al-Maturidiah, antaranya; al-Qusyairi (w. 465H), Izz al-Din Abd al-Salam (w. 660H), Burhan al-Din al-Nasafi (w. 687H), al-Zayla’i (w. 756H), Taj al-Din al-Subki (w. 771H), al-Khayali (w. 861H), al-Kustalli (w. 901H), Shams al-Din al-Ramli (w. 1004H), Murtada al-Zabidi (w. 1205H), Shaykh al-Azhar Prof Dr Ahmad ṬAyyib dan lain-lain.
Sebagai contoh, petikan daripada para ulama yang menunjukkan kepada perkara tersebut dengan jelas, antaranya daripada Murtaḍa al-Zabidi (w. 1205H) yang menyatakan: “Apabila disebut Ahli Sunah (Waljamaah), maka yang dimaksudkan dengannya ialah aliran akidah al-Ashairah dan al-Maturidiah.” (Rujuk Ittihaf Sadah al-Muttaqin, 2:263)
Selain daripada itu, terdapat banyak pernyataan para ulama yang menunjukkan majoriti besar mereka berada di atas akidah al-Asha’irah. Antaranya yang disebutkan oleh Imam Taj al-Din al-Subki dalam kitabnya, Mu’id al-Ni’am wa Mubid al-Niqam bahawa semua mazhab daripada Shafi’i, Hanafi, Maliki dan Hanbali berada di atas akidah Abu al-Hasan al-Ash’ari.
Kata beliau: “Mazhab-mazhab yang ada daripada mazhab Hanafi, Shafi’i, Maliki dan Fudhala al-Hanabilah, alhamdulillah, semuanya di atas akidah yang satu iaitu akidah Ahli Sunah Waljama’ah dan dipegang dalam beragama kepada Allah SWT di atas jalan Abu al-Hasan al-Ash’ari rahimahullah.
Tidak menyimpang daripadanya kecuali sekumpulan kecil daripada Hanafiyyah dan Shafi’iyyah yang tergolong daripada golongan Muktazilah dan sekumpulan kecil Hanabilah yang tergolong dalam Mujassimah. Manakala Allah SWT bersihkan mazhab Malikiah (daripada penyelewengan) dengan kamu tidak melihat seorang pun ulama Maliki kecuali dia bermazhab Asha’irah bagi akidahnya.” (Rujuk Mu’id al-Ni’am wa Mubid al-Niqam, 75)
Berdasarkan pernyataan dan penyaksian para ulama di atas, jelaslah hakikat bahawa majoriti para ulama berada di atas akidah Ahli Sunah Waljama’ah yang diwakili oleh al-Asha’irah dan al-Maturidiah. Walau bagaimanapun, timbul persoalan adakah ketidakfahaman ramai orang awam terhadap akidah ini boleh menjejaskan dan menggugat kesepakatan ulama berkaitan perkara tersebut?
Bagi menjawab persoalan dan kekeliruan yang ditimbulkan ini, maka ia boleh dijawab dengan beberapa sudut seperti berikut:
Pertama: Ia kembali kepada perbahasan berkaitan adakah pandangan orang awam diambil kira sama ada persetujuan dan ketidaksetujuan mereka dalam sesuatu perbahasan yang menjadi ijmak ulama. Pandangan yang muktamad berkaitan hal ini, pandangan orang awam tidak diambil kira langsung sama ada dari sudut persetujuan atau ketidaksetujuan mereka. Hal ini sepertimana yang dinyatakan oleh ‘Alauddin al-Mardawi bahawa: “Tidak diambil kira pandangan orang awam pada ijmak di sisi ulama. Pandangan ini merupakan pandangan yang sahih dan muktamad. Tidak kira sama ada perbahasan tersebut daripada perbahasan yang masyhur atau rumit, tidak diambil kira semua pendirian mereka sama ada persetujuan dan ketidaksetujuan mereka. Hanya yang diambil kira ialah pandangan ulama yang bertaraf mujtahid.” (Rujuk al-Tahbir Syarh al-Tahrir, 4:1551)
Oleh yang demikian, pandangan orang awam walaupun dengan banyaknya jumlah mereka, tidak akan diambil kira dan tidak boleh dijadikan pemberat hujah kerana mereka bukanlah dalam kalangan ahlinya.
Adapun pandangan yang diambil kira ialah pandangan para ulama mujtahid dalam bidang tersebut. Oleh itu, tidak boleh dijadikan ketidakfahaman, bahkan ketidaksetujuan orang awam kepada akidah ini sebagai hujah untuk menafikan majoriti umat Islam berada di atas akidah al-Asha’irah dan al-Maturidiah, kerana yang dikira dalam majoriti ialah para ulama mujtahid.
Kedua: Para ulama mujtahid dikira sebagai ‘ummah’ walaupun hanya seorang. Ini sepertimana yang diterangkan oleh al-Mulla Ali al-Qari dalam menjelaskan kata-kata Sufyan RA bahawa: (Kata Sufyan RA): “Jika seorang faqih yang berada di puncak bukit, maka dia dikira sebagai al-jama’ah. Maknanya di mana dia berdiri maka di situ terdapat al-jama’ah maka seolah-olahnya telah berlaku ijma.” (Rujuk Syarh al-Fiqh al-Akbar: 8)
Hal ini juga sepertimana Allah SWT sifatkan Nabi Ibrahim sebagai umat walaupun baginda AS hanya seorang. Firman Allah SWT: “Sesungguhnya Nabi Ibrahim adalah merupakan ‘satu umat’ (walaupun dia seorang diri).” (Surah al-Nahl: 120)
Oleh yang demikian, pandangan para mujtahid dan ulama muktabar dalam bidang ilmu tertentu dikira sebagai mewakili umat keseluruhannya.
Pandangan mereka inilah yang diambil dikira dalam penentuan majoriti bagi umat Islam dan bukannya ditentukan dengan pandangan orang awam, yang bukan dalam kalangan mujtahid dan ulama, secara individu walaupun seramai mana bilangannya.
Ketiga: Orang awam tidak dituntut untuk mengetahui dalil secara terperinci (tafsili) bagi keimanan mereka, bahkan memadai dengan mengetahui secara ringkas (ijmali) sahaja mengikut kemampuan mereka.
Justeru itu, tiada keperluan untuk bertanya berkaitan perincian dalam ilmu akidah kepada orang awam secara individu kerana ia tidak menjadi kewajipan dan keperluan bagi mereka mengetahuinya. Bagi orang awam, kewajipan keimanan mereka mengikut kadar keupayaan akal mereka.
Keempat: Asas kepada pernyataan tersebut ialah hadis-hadis Rasulullah SAW yang menyebutkan bahawa umatnya tidak akan berhimpun dalam kesesatan dan seruan untuk bersama golongan terbesar dalam kalangan umat Islam atau al-sawād al-a’zham.
Antara sabda Rasulullah SAW: “Allah SWT tidak akan menghimpunkan umat ini dalam kesesatan selama-lamanya. Ikutilah kalian semua kepada al-sawad al-a’zham. Yadd (pertolongan) Allah SWT bersama-sama dengan al-Jama’ah. Sesiapa yang mengasingkan diri, dia mengasingkan diri ke neraka.” (Riwayat al-Hakim)
Oleh itu, kita dapat perhatikan bahawa umat Islam berada di atas akidah al-Asha’irah dan al-Maturidiah sepanjang zaman yang merupakan kelompok terbesar (al-sawad al-a’zham) berbanding kelompok-kelompok minoriti yang lain daripada Mushabbihah, Mujassimah, Muktazilah, Jabariah, Qadariah dan seumpamanya.
Berdasarkan dalil dan pernyataan di atas, jelaslah bahawa ketidakfahaman orang awam tentang istilah al-Asha’irah dan al-Maturidiyyah tidak menafikan fakta majoriti umat Islam berada di atas akidah tersebut.
Bahkan, ketidakfahaman mereka terhadap perincian akidah al-Asha’irah tidak memberi apa-apa kesan kerana mereka tidak diwajibkan dan dituntut untuk mengetahuinya.
Apa yang diambil kira dalam perbahasan ini ialah pandangan para mujtahid dan ulama muktabar dan majoriti mereka berada di atas akidah Ahli Sunah Waljama’ah yang diwakili oleh al-Asha’irah dan al-Maturidiah.
Inilah maksud majoriti umat Islam berada di atas akidah Ahli Sunah wa al-Jama’ah yang diwakili al-Asha’irah dan al-Maturidiah sepertimana yang diterangkan. Wallahualam
Penulis: Sahibus Samahah Prof Madya Datuk Dr Luqman Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan