Menghurai kekeliruan hadis mutawatir

0
15

Sesetengah orang menyangka semua hadis yang dimuatkan dalam kitab yang menghimpunkan hadis mutawatir adalah bertaraf mutawatir belaka kesemuanya. Padahal, secara realiti tidak semestinya demikian. Ini kerana ada sebahagiannya yang masih diperselisihkan antara para ulama, sama ada ia dalam kategori mutawatir atau tidak. Sebahagian hadis lain pula diperselisihkan sama ada ia mutawatir lafzi atau mutawatir ma’nawi. 

Antara kitab yang mengumpulkan hadis mutawatir secara khusus ialah kitab al-Azhar al-Mutanathirah fi al-Akhbar al-Mutawatirah oleh Imam al-Suyuti (wafat 911H) yang mengandungi sebanyak 113 hadis, Laqt al-La’ali’ al-Mutanathirah oleh Imam Murtada al-Zabidi (wafat 1205H) yang mengandungi sebanyak 71 hadis, dan Nazm al-Mutanathir min al-Hadith al-Mutawatir oleh Syeikh Muhammad bin Jaafar al-Kattani (wafat 1345H) yang mengandungi 310 hadis.  

Meskipun karya susunan Syeikh Muhammad bin Jaafar al-Kattani menghimpunkan jumlah hadis mutawatir yang paling banyak namun tidak semua hadis tersebut disepakati oleh ulama sebagai mutawatir. Kebanyakan hadis yang dihimpunkan juga adalah daripada kategori mutawatir ma’nawi, bukan mutawatir lafzi. 
 

Dari segi definisi, hadis mutawatir ialah hadis yang mempunyai bilangan perawi yang ramai pada setiap peringkat sanad, daripada peringkat sanad pertama sehinggalah peringkat sanad terakhir, dan akal secara logik menolak kemungkinan kesemua perawi tersebut bersepakat untuk membuat pendustaan atau mereka cipta hadis berkenaan. Periwayatan hadis mutawatir juga mesti bersandar kepada aspek pancaindera, terutama penglihatan dan pendengaran para perawi.

Hadis mutawatir terbahagi kepada dua bahagian, iaitu: mutawatir lafzi dan mutawatir ma’nawi. Mutawatir lafzi ialah hadis yang mutawatir dari segi lafaz dan maknanya sekaligus, seperti hadis Nabi SAW: “Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka tempahlah tempat duduknya di dalam api neraka.” Menurut Imam as-Suyuti, hadis ini telah diriwayatkan oleh lebih daripada 70 orang sahabat RA. 

Manakala mutawatir ma’nawi ialah hadis yang mutawatir dari segi maknanya sahaja, tidak dari segi lafaz. Ertinya, hadis tersebut mempunyai lafaz yang pelbagai, namun kesemuanya membawa maksud yang sama. Seperti hadis-hadis berkaitan mengangkat kedua-dua tangan ketika berdoa, yang telah diriwayatkan dalam hampir seratus buah hadis. Bagaimanapun, situasi dan lafaz yang digunakan dalam setiap hadis berbeza-beza. Hanya kesemuanya menyatakan bahawa Nabi SAW mengangkat kedua-dua belah tangan ketika berdoa. Justeru, perbuatan mengangkat tangan ketika berdoa adalah mutawatir dari segi makna hadis sahaja, tidak termasuk lafaznya. 

Antara hadis mutawatir ma’nawi juga ialah hadis mengenai menyapu khuf, hadis haudh (telaga) Nabi SAW, hadis bulan terbelah dua, hadis huru-hara dan pembunuhan di akhir zaman, hadis fitnah dan azab kubur, hadis syafaat Nabi SAW, hadis larangan menjadikan kubur sebagai masjid, munculnya Imam al-Mahdi, keluarnya Dajjal, turunnya Nabi ‘Isa AS dan sebagainya.

Bagaimanapun, bilangan hadis yang dinilai dan disebut oleh ulama sebagai mutawatir adalah sedikit jumlahnya. Manakala bilangan hadis mutawatir lafzi pula adalah sangat sedikit berbanding hadis mutawatir ma’nawi. Bahkan, sebahagian ulama berpendapat hadis mutawatir lafzi tidak wujud. Namun, dakwaan tersebut disangkal oleh al-Hafiz Ibnu Hajar (wafat 852H) yang menjawab pendapat itu disebabkan kurangnya pengetahuan mengenai wujudnya banyak jalan riwayat hadis serta keadaan dan sifat para perawi yang memustahilkan pada adat kebiasaannya mereka bersepakat untuk berbohong. (lihat Tadrib al-Rawi oleh as-Suyuti, 2/179)      

Asal perbahasan hadis mutawatir ini sebenarnya dipopularkan oleh ulama usul bagi menunjukkan sesuatu perkara yang mampu menghasilkan rasa yakin dalam diri setiap pendengarnya terhadap perkara tersebut tanpa perlu untuk ia menyemak dan menyelidikinya lagi. Sebab itu, para ulama menyatakan bahawa hadis mutawatir adalah hadis yang diterima sepenuhnya tanpa perlu lagi untuk diteliti keadaan para perawinya.     

Ulama usul turut menjelaskan, ilmu yang diperolehi daripada hadis mutawatir menghasilkan keyakinan dan iktikad jazam yang tidak boleh dipertikaikan. Kedudukannya adalah sama seperti al-Quran yang jelas sampai kepada kita secara mutawatir. Jika ada orang yang mengingkari atau menolak satu ayat al-Quran, boleh menyebabkan ia jatuh kufur. Demikian juga orang yang menolak hadis mutawatir.  

Lantaran itu, tiada ulama hadis terdahulu yang membahaskan isu mutawatir kerana ia tidak termasuk dalam seni perbahasan ilmu mereka. Antara ulama hadis terawal yang membincangkannya ialah al-Khatib al-Baghdadi (wafat 463H) yang memetiknya daripada disiplin ilmu usul. Melalui integrasi ilmu, perbincangan hadis mutawatir akhirnya dimartabatkan oleh ulama hadis dalam disiplin ilmu mereka, terutama selepas dimasyhurkan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar dalam karya magnum opus, Nukhbat al-Fikar.

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here