Pertamanya, perlu diketahui bahawa meminta pertolongan (istighathah) kepada seseorang yang masih hidup tanpa mengiktikadkan sifat ketuhanan padanya adalah harus. Orang yang meminta pertolongan biasanya tahu perbuatannya hanya sebagai usaha atau sebab sahaja, manakala yang berkuasa menentukan hanyalah Allah Ta’ala semata-mata. Ia tentunya tidak pasti sama ada permintaannya akan dipenuhi atau tidak. Melainkan orang yang diminta pertolongan itu masyhur diketahui bersifat pemurah dan baik hati, maka harapan untuk permintaannya dipenuhi adalah tinggi. Sehingga takat ini, golongan yang menolak istighathah menerima konsep ini dan bersetuju tiada syirik. Bagaimana dengan orang yang sudah meninggal dunia?
Berasaskan dalil-dalil yang terang, orang yang sudah meninggal dunia tidak lagi mempunyai apa-apa kelebihan KECUALI golongan yang diberikan keistimewaan oleh Allah seperti ANBIYA’ dan SYUHADA’. Antara dalilnya, hadis mutawatir tentang hidupnya para Nabi Alayhim salat wa sallam dalam kubur mereka, sepertimana yang dinyatakan Imam as-Suyuti dalam kitab Anba’ al-Adhkiya’ bi Hayat al-Anbiya’, serta firman Allah Ta’ala:
WA LA TAHSABANNA ALLADHINA QUTILU FII SABILILLAHI AMWATAA’ BAL AHYAA’ ‘INDA RABBIHIM YURZAQOON
Terjemahan: “Jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki.” (Al ‘Imran: 169)
Telah maklum diketahui bahawa penghulu para Anbiya’ dan Syuhada’, bahkan seluruh makhluk Allah tidak lain adalah Rasulullah Sallallahu Alayhi wa Sallam. Baginda mempunyai kedudukan yang cukup tinggi di sisi Allah Ta’ala. Kewafatan Baginda hanya satu perpindahan dari alam dunia ke alam akhirat mengikut hukum tabii. Namun, tugas dan peranan baginda masih belum berhenti. Antara buktinya:
* Baginda dapat mengetahui ucapan selawat umatnya yang disampaikan kepadanya (Riwayat Abu Dawud dengan sanad sahih).
* Baginda menjawab salam orang yang memberi salam kepadanya (Riwayat Abu Dawud dengan sanad sahih).
* Baginda dapat hadir dalam mimpi sebahagian umatnya (Riwayat al-Bukhari).
* Baginda mengikuti hal keadaan umatnya serta memohon keampunan buat mereka, berdasarkan hadis Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam sabdanya: “Hidupku baik bagi kamu sekalian, kalian menyampaikan (daripadaku) dan kami menyampaikan kepada kalian. Kematianku juga baik bagi kamu sekalian, kerana amal perbuatan kalian akan diperlihatkan kepadaku. Maka, sekiranya aku melihat kebaikan, aku akan memuji Allah kerananya. Dan sekiranya aku melihat keburukan, aku akan meminta ampun kepada Allah bagi kamu sekalian.” (Riwayat al-Bazzar dalam Musnadnya (no. 1925). Kata al-Haythami dalam Majma‘ al-Zawa’id (8/594): “Para perawinya adalah perawi sahih”. Kata al-‘Iraqi dalam Tarh al-Tathrib (3/275): “Diriwayatkan oleh Abu Bakar al-Bazzar dalam Musnadnya dengan sanad jayyid”. al-Suyuti mengisyaratkannya sebagai hasan dalam al-Jami‘ al-Saghir (no. 3771), manakala katanya dalam al-Khasa’is al-Kubra (2/281): “Dikeluarkan oleh al-Bazzar dengan sanad yang sahih”).
Justeru, bolehkah beristighathah dengan Rasulullah Sallallahu Alayhi wa Sallam? Berdasarkan konsep dan akidah Ahlul Sunnah Wal Jamaah yang dijelaskan, beristighathah dengan Baginda hukumnya adalah harus dengan syarat tidak mengiktikadkan atau meletakkan sifat ketuhanan pada Baginda serta mengetahui perbuatannya hanya sebagai usaha ikhtiar atau sebab sahaja disebabkan Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam mempunyai doa dan syafaat yang dipandang oleh Allah Ta’ala. Manakala yang berkuasa menentukan dan memberikan manfaat atau mudharat hanyalah Allah sahaja.
Berdasarkan sebahagian dalil yang dikemukakan menunjukkan kewafatan Baginda bukan bermakna hubungan Baginda terputus langsung dengan umatnya. Kewafatan Baginda hanyalah pertukaran lazim dari alam fana ke alam baqa, bukan bererti dari berkuasa kepada tidak berkuasa. Ini kerana yang berkuasa hanyalah Allah semata-mata. Makhluk tiada berkuasa, baik semasa hidup mahupun sesudah mati. Ini merupakan asas pegangan akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah sebagaimana yang telah dijelaskan.
Hakikat Istighathah
Menurut para ulama yang mengharuskan tawassul, maksud istighathah yang bererti memohon bantuan atau pertolongan adalah serupa dengan makna tawassul. Tidak ada beza antara meminta bantuan dan pertolongan daripada Rasulullah Sallallahu Alayhi wa Sallam pada masa hidup Baginda Sallallahu Alayhi wa Sallam atau pun selepas kewafatannya. Ini bukan bermakna Baginda boleh memberi manfaat dan mudharat, kerana hakikatnya yang boleh memberi manfaat dan mudharat hanya Allah Ta’ala sahaja. Akan tetapi, maksud tawassul dan istighathah ini adalah berwasilah dengan kadar kemampuan, keizinan, kemuliaan dan kedudukan yang diberikan oleh Allah Ta’ala kepada Baginda Sallallahu Alayhi wa Sallam, seumpama memanjatkan doa kepada-Nya kerana doa Baginda tentu lebih mustajab atau pun memberi syafaat untuknya di sisi-Nya.
Tidak dapat diterima jika ada yang membezakan antara hukum tidak menjadi syirik pada masa Baginda Sallallahu Alayhi wa Sallam masih hidup dan menjadi syirik pula selepas Baginda wafat. Seolah-olah ketika Baginda masih hidup Baginda boleh memberi manfaat dan mudharat, namun setelah Baginda wafat hilang pula kebolehan tersebut. Jika demikian, meminta bantuan dan pertolongan daripada Baginda Sallallahu Alayhi wa Sallam pada masa hidupnya sepatutnya dikira sebagai syirik juga.
Bertawassul atau Beristighathah dengan Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam atau Orang Soleh Sama Ada Yang Telah Wafat atau Yang Masih Hidup
Hakikatnya adalah memohon pertolongan dan bantuan kepada Allah Ta’ala jua. Ini kerana kita tidak meminta kecuali kadar yang Allah Ta’ala mampukan, izinkan dan kurniakan kepada mereka, iaitu pertolongan yang berupa doa, syafaat atau tawajjuh berdasarkan kemuliaan, darjat dan kedudukan mereka yang tinggi di sisi Allah Ta’ala. Kita meyakini pertolongan, manfaat atau pun mudharat yang sebenar hanyalah dengan izin Allah Ta’ala semata-mata. Jelasnya, beristighathah kepada Rasulullah Sallallahu Alayhi wa Sallam atau selain baginda hanyalah berbentuk *majazi, bukan **hakiki. Ini kerana kita tidak meminta mereka untuk menciptakan pertolongan dan bantuan yang diminta kerana kita meyakini mereka tidak dapat menciptakannya. Sebaliknya, Allah Ta’ala yang menciptakannya dengan sebab syafaat, doa dan tawajjuh mereka itu. Maksudnya ialah memohon kepada para Nabi dan orang-orang soleh itu untuk menjadi **wasilah* dan penyebab di sisi Allah Ta’ala dalam memenuhi apa yang dipohonkan.
Konsep tawassul dan istighathah ini memang sangat perlu difahami dan dicermati. Justeru itulah, ulama Ahlul Sunnah Wal Jamaah mewajibkan umat Islam mestimengetahui sifat yang wajib bagi Allah Ta’ala. Jika tidak ia boleh membawa syirik sekiranya kita meyakini ada makhluk dapat memberi manfaat dan mudharat, samalah juga syiriknya jika kita meyakini doktor dapat mengubati, peguam dapat membela, polis dapat menolong dan sebagainya, atau makanan dapat mengenyangkan, air dapat menghilangkan haus, ubat dapat menyembuhkan, api dapat membakar, pisau dapat memotong atau mencederakan dan sebagainya. Kita tahu semuanya itu adalah penyebab atau perantara sahaja dan hakikatnya ia berlaku adalah dengan izin Allah Ta’ala jua.
Justeru, perlulah berhati-hati daripada menuduh orang yang beristighathah telah melakukan syirik. Perlu diingat, dengan matinya seorang nabi atau wali itu tetap tidak menjadikan mereka dapat memberi manfaat atau mudharat selepas itu di alam baqa. Kadar kemampuan, kedudukan dan kemuliaan mereka adalah serupa sama ada mereka masih hidup atau pun telah meninggal dunia. Justeru, tidak ada bezanya antara meminta bantuan dan pertolongan daripada mereka sama ada pada masa mereka hidup atau pun selepas mereka wafat. Semua yang berlaku tetap dengan izin, kurnia dan anugerah Allah Ta’ala.
Oleh: Dr. Khafidz Soroni