Para Nabi hidup di dalam kubur mereka

0
20

Terdapat segelintir pihak mendakwa roh para anbia AS, termasuk Nabi Muhammad SAW, pada masa kini adalah sama seperti orang mati yang lain, tiada sebarang keistimewaan. Antara dalil mereka ialah firman Allah SWT: “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan mati dan sesungguhnya mereka juga akan mati.” (Surah az-Zumar: 30)

Jika diamati, ayat ini sebenarnya hanya menunjukkan bahawa Nabi SAW dan para anbia AS juga adalah seperti manusia lain yang pasti akan merasai mati serta berpindah meninggalkan alam dunia ini ke alam barzakh. Sesuai dengan firman Allah SWT: “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati.” (Surah Ali Imran: 185)

Jelasnya, ayat 30 Surah az-Zumar itu tidak menunjukkan bahawa roh Nabi SAW dan juga sekalian anbia AS pada masa kini adalah sama seperti mayat yang mati serta kekal dalam keadaan demikian sehingga hari kiamat.

Malah, dakwaan tersebut bertentangan dengan banyak dalil yang menunjukkan bahawa Nabi SAW dan para anbia AS kini, pada hakikatnya, hidup di dalam kubur mereka.

Imam al-Baihaqi (wafat 458H) mengumpulkan banyak riwayat mengenai perkara ini di dalam kitab Hayat al-Anbiya’ Ba’da Wafatihim. Antara riwayat tersebut ialah daripada Anas bin Malik RA, katanya: “Nabi SAW bersabda: ‘Para anbia itu hidup di dalam kubur mereka sedang bersolat.’” (Riwayat Abu Ya’la dan al-Bazzar; kata al-Haithami: Para perawi Abu Ya’la adalah thiqah)

Hadis ini bertepatan dengan satu riwayat dalam peristiwa Israk dan Mikraj. Nabi SAW bersabda: “Kemudian, aku memasuki Baitul Maqdis. Lantas, dikumpulkan kepadaku para anbia AS. Lalu, Jibril pun mengkedepankanku sehingga aku mengimamkan mereka solat. Kemudian, aku diangkat pula ke langit dunia…” (Riwayat an-Nasa’i dengan sanad sahih)

Anas bin Malik RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: “Aku melintasi Musa pada malam aku diisrakkan, iaitu di sisi bukit pasir merah, dan beliau sedang berdiri solat di dalam kuburnya.” (Riwayat Muslim)

Kubur Nabi Musa AS ini terletak berhampiran Baitul Maqdis. Ini kerana ketika Nabi Musa AS hendak wafat, baginda memohon kepada Allah agar mendekatkannya dengan tanah yang suci (Baitul Maqdis) dalam jarak sejauh lemparan batu. Rasulullah SAW bersabda: “Seandainya aku ke sana, pasti aku akan tunjukkan kepada kamu sekalian kuburnya yang berada di pinggir jalan di sisi bukit pasir merah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Antara dalil lain ialah Nabi SAW mengetahui dan melihat selawat yang diucapkan oleh umatnya. Daripada Aus bin Aus RA, katanya: “Nabi SAW bersabda: ‘Sesungguhnya hari yang paling utama bagi kamu sekalian adalah Jumaat. Pada hari itu Nabi Adam AS diciptakan dan pada hari itu beliau diwafatkan. Pada hari itu ditiupkan sangkakala dan pada hari itu semua pengsan. Maka, perbanyakkanlah berselawat kepadaku padanya kerana selawat kamu sekalian akan dibentangkan kepadaku.’ Para sahabat bertanya: ‘Wahai Rasulullah, bagaimana selawat kami dapat dibentangkan kepadamu sedangkan (jasad) engkau telah hancur?’ Baginda menjawab: ‘Sesungguhnya Allah Azzawajalla mengharamkan ke atas tanah untuk memakan jasad para anbia AS.’ (Riwayat Ahmad, an-Nasa’i, Abu Dawud, Ibn Majah dan ad-Darimi. Hadis sahih)

Imam as-Suyuti (wafat 911H) dalam kitab Inbah al-Azkiya’ fi Hayat al-Anbiya’ menyatakan bahawa riwayat mengenai hidupnya Nabi SAW dan sekalian anbia AS di dalam kubur mereka mencapai tahap mutawatir.

Selain anbia, golongan syuhada juga turut diberikan keistimewaan oleh Allah SWT untuk hidup di sisi-Nya sebagaimana dalam firman-Nya: “Jangan sekali-kali engkau menyangka orang yang terbunuh (syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki.” (Surah Ali Imran: 169)

Namun, hidupnya anbia dan syuhada selepas kewafatan mereka tidaklah sama seperti kehidupan mereka sewaktu di alam dunia. Dua alam yang berbeza sudah tentu mempunyai dua hukum berbeza.

Alam roh itu sendiri adalah rahsia Allah SWT, dan kita tidak diberikan ilmu mengenainya melainkan sedikit. Firman Allah SWT: “Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: Roh itu daripada perkara urusan Tuhanku, dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja.” (Surah al-Isra’: 85)

Antara sedikit ilmu pengetahuan yang diberikan kepada kita mengenai roh ialah hidupnya anbia AS selepas kewafatan mereka.

Ringkasnya, dakwaan bahawa anbia AS pada masa kini hanyalah mayat yang sudah mati serta tiada apa-apa keistimewaan pada roh mereka adalah dakwaan lemah dan tidak tepat.

Penulis: Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here