Dalil Selawat Di Antara Rakaat Solat Tarawih

1. Dalil Pertama

Galakan Memisahkan Di Antara Dua Solat Dengan Berpindah Tempat Atau Berkata-kata

Para ulama menganjurkan agar dua solat tidak disambungkan secara terus, sebaliknya dipisahkan dengan berpindah tempat atau berkata-kata. Galakan ini berasaskan hadis yang menunjukkan larangan bersifat makruh menyambungkan satu solat dengan solat yang lain sehinggalah berlaku pemisahan, sama ada melalui percakapan atau berpindah dari tempat solat kepada tempat yang lain. Antara hadis yang berkaitan adalah hadis berikut:

أَنَّ نَافِعَ بْنَ جُبَيْرٍ أَرْسَلَهُ إِلَى السَّائِبِ، ابْنِ أُخْتِ نَمِرٍ، يَسْأَلُهُ عَنْ شَيْءٍ رَآهُ مِنْهُ مُعَاوِيَةُ فِي الصَّلَاةِ. فَقَالَ: نَعَمْ. صَلَّيْتُ مَعَهُ الْجُمُعَةَ فِي الْمَقْصُورَةِ. فَلَمَّا سَلَّمَ الْإِمَامُ قُمْتُ فِي مَقَامِي. فَصَلَّيْتُ. فَلَمَّا دَخَلَ أَرْسَلَ إِلَيَّ فَقَالَ: لا تعد لما فعلت. إِذَا صَلَّيْتَ الْجُمُعَةَ فَلَا تَصِلْهَا بِصَلَاةٍ حَتَّى تَكَلَّمَ أَوْ تَخْرُجَ. فَإِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أمرنا بذك. أَنْ لَا تُوصَلَ صَلَاةٌ بِصَلَاةٍ حَتَّى نَتَكَلَّمَ أو نخرج.

Maksudnya: “Sesungguhnya Nafi‘ bin Jubair telah mengutuskannya ( Umar Bin Ato’) kepada al-Sa’ib bin Yazid yang dikenali sebagai anak lelaki kepada saudara perempuam Namir untuk bertanyakan kepadanya tentang sesuatu yang dilihat oleh Mu‘awiyah padanya dalam solat. Lalu dia berkata: “Ya. Aku pernah menunaikan solat Jumaat bersamanya di dalam maqsurah (bilik untuk solat dalam masjid). Setelah imam memberi salam, aku bangun di tempatku lalu menunaikan solat. Apabila beliau masuk, beliau mengutus seseorang kepadaku dan berkata: ‘Jangan kamu ulangi perbuatan yang kamu lakukan itu. Apabila kamu selesai menunaikan solat Jumaat, maka janganlah kamu menyambungkannya dengan solat yang lain sehingga kamu bercakap atau keluar terlebih dahulu. Sesungguhnya Rasulullah SAW telah memerintahkan kami demikian, iaitu supaya tidak disambungkan satu solat dengan solat yang lain sehingga kami bercakap atau keluar”. Hadis Riwayat Imam Muslim dalam al-Sahih.

Ketika memberi komentar berkenaan hadis di atas imam al-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim menyebut:

وقوله حتى نتكلم، دليل على أن الفصل بينهما يحصل بالكلام أيضا.

Maksudnya: “Dan kata beliau “sehingga kami bercakap” merupakan dalil bahawa pemisahan antara kedua-duanya – iaitu kedua solat – juga boleh berlaku dengan percakapan ”.

Dari sudut hikmah, pemisahan ini bertujuan membezakan antara ibadah yang berasingan begitu juga untuk memperbanyakkan kawasan sujud agar kesemua kawasan sujud tersebut menjadi saksi dan hujahnya baginya kelak . Perkara yang sama turut dinyatakan oleh para fuqaha’ dalam kitab mereka, Kata al-Allamah Ibn Qasim al-Abbadi:


(قوله وأنه ينتقل لكل صلاة) قضية هذا الصنيع ‌استحباب ‌الانتقال أو الفصل بالكلام لكل ركعتين من النوافل.

Maksudnya: “Daripada kenyataan imam Ibn hajar al-Haytami ini boleh difahami secara tidak sarih bahawa terdapat galakan untuk berpindah tempat atau memisahkan solat dengan percakapan bagi setiap dua rakaat daripada solat-solat sunat ”. (Hasyiah al-Abbadi)

Maka dapat dirumuskan bahawa disana sememangnya terdapat galakan untuk memisahkan diantara dua solat (termasuk diantara dua solat sunat) dengan berpindah tempat untuk melakukan solat atau memisahkan keduanya dengan berkata-kata.

Sebahagian ulama mengkhususkan bahawa memisahkan dengan kata-kata tersebut adalah berkata-kata sesama manusia, ini tidak bermasalah kerana selawat di antara solat tarawih di Malaysia biasanya dilakukan oleh imam dan makmum, imam membaca kemudian makmum menyahut, maka ia menyerupai berkata-kata sesama manusia, atau mungkin juga boleh dijawab dengan menyatakan bahawa jika memisahkan dengan berkata-kata sesama manusia adalah diharuskan maka dengan zikir dan selawat adalah lebih aula. Wallahu a’lam, ini masih berhajat kepada تأمل.

2. Dalil Kedua

Galakan untuk berdoa seusai solat, dengan apa-apa doa yang dikehendaki, dan berselawat ke atas Nabi SAW termasuk dalam umum berdoa.

3. Dalil Ketiga

Galakan untuk memulakan doa dengan selawat ke atas Nabi SAW. Maka jika doa dibaca seusai solat, adalah disunnahkan dan digalakkan untuk memulakan doa dengan selawat terlebih dahulu. Nabi SAW bersabda:


إذا صلى أحدكم ، فليبدأ بحمد الله والثناء عليه ، ثم ليصل على النبي صلى الله عليه وسلم ، ثم ليدع بما شاء

Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu hendak berdoa, maka hendaklah dia memulakan dengan memuji Allah dan menyanjung-Nya, kemudian berselawat ke atas Nabi SAW, dan setelah itu berdoalah dengan apa sahaja yang dikehendakinya.” Riwayat al-Tirmizi dan kata beliau hasan sahih.

4. Dalil Keempat


Boleh juga dihujahkan bahawa solat itu sendiri doa. Kerana telah dimaklumi bahawa solat dari sudut bahasa adalah doa, dan solat dimulakan dengan doa iftitah/istiftah, begitu juga diakhiri dengan doa iaitu selawat Ibrahimiyyah, dan doa-doa lain yang ma’thur di akhir solat. Lalu, dari solat ke solat yang lain, adalah umpama dari satu doa kepada satu doa yang lain. Dan telah warid dari Nabi SAW bahawa baginda bersabda:

اجْعَلُونِي فِي أَوَّلِ الدُّعَاءِ، وَفِي وَسَطِ الدُّعَاءِ، وَفِي آخِرِ الدُّعَاءِ

Maksudnya: “Jadikan sebutanku di awal doa, pertengahan doa, dan akhir doa” Diriwayatkan dalam al-Solah ala al-Nabi oleh Ibn Abi Asim, al-Sunnah oleh al-Khallal, dan Imam al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman.


Maka selang di antara solat tarawih itu dari satu sudut dan iktibar adalah akhir doa kepada solat sebelumnya, manakala dari sudut dan iktibar lain adalah awal doa kepada solat selepasnya, atau dari sudut dan iktibar lain pula adalah pertengahan diantara dua solat, iaitu dua doa.

5. Dalil Kelima

Umum galakan dalil kepada memperbanyakkan selawat pada bila-bila masa. Nabi SAW bersabda:


مَنْ صلَّى عليَّ صلاَةً، صلَّى اللَّه علَيّهِ بِهَا عشْرًا.

“Siapa yang berselawat kepada ku sekali, Allah akan berselawat – (ditafsirkan sebagai rahmat) kepadanya sepuluh kali”.

Hadis ini terdapat dalalah umum dari sudut pelaku selawat, iaitu siapa-siapa sahaja. Dan terdapat dalalah umum pada jenis dan bacaan selawat samada panjang atau pendek, kerana صلاة adalah nakirah pada siyaq nafi.

Dalam hadis lain Nabi SAW bersabda:

أَوْلى النَّاسِ بِي يوْمَ الْقِيامةِ أَكْثَرُهُم عَليَّ صَلاَةً

“Yang paling hampir denganku pada hari kiamat adalah yang paling banyak berselawat kepadaku”. Riwayat al-Tirmizi

dan ia dinilai hasan.

Dalam Usul Fiqh terdapat kaedah yang berbunyi:

عموم الأشخاص يستلزم عموم الأحوال والأزمنة والبقاع

“Keumuman individu (yang disebut dalam nas) membawa implikasi keumuman keadaan, waktu dan tempat.”

Maka dengan ini, selang di antara solat sunat tatawih termasuk di bawah keumuman tempat dan waktu yang digalakkan berselawat padanya. Justeru semata-mata melakukan selawat padanya tidak menjadi bid’ah idhafiyyah dengan alasan kita telah mengkhususkan selawat bukan pada tempatnya.

 Fatwa Imam Ibn Hajar dan Imam Ibn Ziyad Berkaitan Permasalahan Ini

Dalam al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, satu soalan telah diajukan kepada Imam Ibn Hajar al-Haytami (974h): Adakah disunatkan berselawat ke atas Nabi SAW antara setiap salam dalam solat tarawih, atau adakah ia suatu bidah yang perlu dicegah? Beliau menjawab:


فَأَجَابَ بِقَوْلِهِ الصَّلَاةُ فِي هَذَا الْمَحَلِّ بِخُصُوصِهِ. لَمْ نَرَ شَيْئًا فِي السُّنَّةِ وَلَا فِي كَلَامِ أَصْحَابِنَا فَهِيَ بِدْعَةٌ يُنْهَى عَنْهَا مَنْ يَأْتِي بِهَا بِقَصْدِ كَوْنِهَا سُنَّةً فِي هَذَا الْمَحَلِّ بِخُصُوصِهِ دُونَ مَنْ يَأْتِي بِهَا لَا بِهَذَا الْقَصْدِ كَأَنْ يَقْصِدَ أَنَّهَا فِي كُلِّ وَقْتٍ سُنَّةٌ مِنْ حَيْثُ الْعُمُومُ… وَمِمَّا يَشْهَدُ لِلصَّلَاةِ عَلَيْهِ صلى الله عليه وسلم بَيْنَ تَسْلِيمَاتِ التَّرَاوِيحِ أَنَّهُ يُسَنُّ الدُّعَاءُ عَقِبَ السَّلَامِ مِنْ الصَّلَاةِ وَقَدْ تَقَرَّرَ أَنَّ الدَّاعِيَ يُسَنُّ لَهُ الصَّلَاةُ أَوَّلَ الدُّعَاءِ وَأَوْسَطَهُ وَآخِرَهُ وَهَذَا مِمَّا أَجْمَعَ عَلَيْهِ الْعُلَمَاءُ فِي أَوَّلِهِ وَآخِرِهِ، وَصَحَّ أَنَّهُ صلى الله عليه وسلم قَالَ: «إذَا أَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يَسْأَلَ اللَّهَ شَيْئًا فَلْيَبْدَأْ بِمَدْحِهِ وَالثَّنَاءِ عَلَيْهِ بِمَا هُوَ أَهْلُهُ ثُمَّ يُصَلِّي عَلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم ثُمَّ يَسْأَلُ بَعْدُ فَإِنَّهُ أَجْدَرُ أَنْ يُنَجَّحَ أَوْ يُصِيبَ» وَأَخْرَجَ النَّسَائِيّ وَغَيْرُهُ أَنَّهُ صلى الله عليه وسلم قَالَ «الدُّعَاءُ كُلُّهُ مَحْجُوبٌ حَتَّى يَكُونَ أَوَّلُهُ ثَنَاءً عَلَى اللَّهِ عز وجل وَصَلَاةً عَلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم ثُمَّ يَدْعُو فَيُسْتَجَابُ لِدُعَائِهِ» وَرَوَى الْبَيْهَقِيّ وَالتَّيْمِيُّ وَأَبُو الْيُمْنِ بْنُ عَسَاكِرَ وَابْنُ بَشْكُوَالَ وَغَيْرُهُمْ وَفِي سَنَدِهِ الْحَارِثُ الْأَعْوَرُ وَقَدْ ضَعَّفَهُ الْجُمْهُورُ أَنَّهُ صلى الله عليه وسلم قَالَ «مَا مِنْ دُعَاءٍ إلَّا بَيْنَهُ وَبَيْنَ السَّمَاءِ حِجَابٌ حَتَّى يُصَلِّيَ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ فَإِذَا فَعَلَ ذَلِكَ انْخَرَقَ ذَلِكَ الْحِجَابُ وَدَخَلَ الدُّعَاءُ، وَإِذَا لَمْ يَفْعَلْ رَجَعَ الدُّعَاءُ.

Maksudnya: “Maka beliau menjawab dengan katanya: “Selawat di tempat ini secara khususnya, kami tidak mendapati sebarang sandaran mengenainya dalam sunnah, dan tidak juga dalam kalam para ashab kami. Maka ia merupakan suatu bid‘ah yang ditegah bagi sesiapa yang melakukannya dengan tujuan menganggapnya sebagai sunnah yang khusus pada tempat tersebut. Adapun bagi orang yang melakukannya tanpa tujuan sedemikian, seperti dia berniat bahawa selawat itu sunnah pada setiap waktu secara umum, maka tidaklah demikian iaitu tidak termasuk dalam larangan tersebut. Dan antara perkara yang menyokong amalan berselawat ke atas Baginda SAW di antara salam-salam solat tarawih ialah bahawa disunatkan berdoa selepas salam daripada solat.

Telah ditetapkan bahawa orang yang berdoa disunatkan berselawat pada permulaan, pertengahan dan penutup doanya. Perkara ini telah disepakati oleh para ulama pada permulaan dan penutupnya.

Dan telah diriwayatkan secara sahih dari baginda SAW bahawa Baginda SAW bersabda: “Apabila salah seorang daripada kamu ingin memohon sesuatu kepada Allah, maka hendaklah dia memulakan dengan memuji dan menyanjung-Nya dengan apa yang layak bagi-Nya, kemudian berselawat ke atas Nabi SAW, kemudian barulah dia memohon. Maka yang demikian itu lebih berkemungkinan untuk diperkenankan atau dimakbulkan.”

Al-Nasa’i dan selainnya meriwayatkan bahawa Baginda SAW bersabda: “Setiap doa itu terhijab sehingga permulaannya adalah pujian kepada Allah Azza Wa Jalla dan selawat ke atas Nabi SAW, kemudian barulah dia berdoa, maka doanya akan diperkenankan.”

Al-Bayhaqi, al-Taymi, Abu al-Yumn ibn ‘Asakir, Ibn Bashkuwal dan selain mereka meriwayatkan — dan dalam sanadnya terdapat al-Harith al-A‘war yang telah dilemahkan oleh jumhur ulama — bahawa Baginda SAW bersabda: “Tidak ada suatu doa melainkan antara ia dan langit terdapat hijab sehingga dia berselawat ke atas Muhammad dan ke atas keluarga Muhammad. Apabila dia melakukannya, maka hijab itu akan terbelah dan doa tersebut pun masuk (diterima). Namun jika dia tidak melakukannya, maka doa itu akan kembali (tidak terangkat) .”

Imam Ibn Ziyad (975H) juga pernah ditanya dengan soalan yang hampir sama lalu beliau menjawab:


أجاب رضي الله عنه: أي لم أرَ التصريحَ لأحدٍ بخصوصِ استحبابِ الصلاةِ على النبيِّ صلى الله عليه وعلى آله وسلَّم بين تسليماتِ التراويح، لكن الذي أفهمه من عموم كلامِ الأصحاب: أنه يُستحبُّ الدعاءُ عقيبَ كلِّ صلاة، والمرادُ بعقبِ الصلاة: عقبَ التسليم منها، وقد صرَّح الأصحابُ بأنه يُستحبُّ أن يُفتتح الدعاءُ بالتحميدِ والصلاةِ على النبيِّ صلى الله عليه وعلى آله وسلَّم، ويُختَمَ بهما، فيُستحبُّ الصلاةُ حينئذٍ من حيثُ افتتاحُ الدعاء وخَتْمه، واللهُ عزَّ وجلَّ أعلم.

Maksudnya: “Beliau -rahimahullah- menjawab: “Aku tidak melihat adanya pernyataan yang jelas daripada mana-mana ulama tentang pensunatan secara khusus selawat ke atas Nabi SAW di antara salam-salam solat tarawih. Namun, apa yang aku fahami daripada keumuman kata-kata para ulama mazhab ialah bahawa doa itu disunatkan selepas setiap solat. Yang dimaksudkan dengan “selepas solat” ialah selepas salam daripadanya. Para ulama juga telah menyatakan bahawa disunatkan memulakan doa dengan pujian kepada Allah dan selawat ke atas Nabi SAW serta mengakhiri doa dengan kedua-duanya. Maka, berselawat pada ketika itu adalah disunatkan dari sudut ia merupakan pembukaan dan penutupan doa. Dan Allah Yang Maha Mulia lagi Maha Tinggi lebih mengetahui ”.

Kesimpulan


Berdasarkan dua nukilan di atas dapat disimpulkan tiga perkara berikut:


1. Tiada di sana apa-apa kenyataan atau nukilan yang jelas dari ulama mazhab Syafie yang awal dan terdahulu yang membicarakan masalah ini secara terperinci dan sarih.

2. Adalah bidaah yang ditegah sekiranya seseorang melakukan selawat kepada Nabi SAW diantara tarawih dengan keyakinan dan tujuan bahawa amalan tersebut merupakan sunnah yang khusus pada tempat itu.

3. Tidak termasuk dalam bidaah yang ditegah jika seseorang melakukan selawat kepada Nabi SAW diantara tarawih bukan dengan keyakinan ia merupakan amalan yang khusus pada tempat itu. Bahkan ia boleh menjadi perkara yang baik dan dianjurkan berdasarkan dalil-dalil dan hujah-hujah yang telah dikemukakan.

Wallahu a’lam

Ustaz Abdul Aziz bin Mustafa Kamal, Felo Penyelidik Jabatan Mufti Negeri Pahang.

Latest articles

Related articles