Keistimewaan Bulan Rejab: Bulan Haram yang Suci dan Penuh Keberkatan

0
26

Sedia maklum bahawa Rejab merupakan bulan yang mempunyai keistimewaan kerana ia salah satu daripada bulan-bulan Haram. Bulan haram itu antaranya Muharram, Zulkaedah, Zulhijjah dan Rejab. Perkara ini telah difirmankan Allah SWT dalam ayat 36 dalam surah al-Taubah yang bermaksud :

إِنَّ عِدَّةَ ٱلشُّهُورِ عِندَ ٱللَّهِ ٱثْنَا عَشَرَ شَهْرًۭا فِى كِتَـٰبِ ٱللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ مِنْهَآ أَرْبَعَةٌ حُرُمٌۭ ۚ ذَٰلِكَ ٱلدِّينُ ٱلْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا۟ فِيهِنَّ أَنفُسَكُمْ ۚ

“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi. Antaranya empat bulan haram (yang dihormati). Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya)….”

Dalam hadis yang direkodkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim meriwayatkan bahawa Sayidina Abi Bakrah RA melaporkan Nabi ﷺ bersabda “Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan yang haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram) dan yang keempat adalah Rejab Mudhor terletak antara Jamadi al-Akhir dan Sya’ban.”

Berkenaan tentang Rejab beberapa ulama memberikan perhatian padanya. Antaranya ialah Imam Ibnu Rajab al-Hanbali rahimahullah di dalam karya magnum opusnya berjudul Lataif al-Ma’arif mengatakan Rejab bermaksud agung atau mulia. Manakala Imam al-Hafiz Ibnu Kathir menukilkan pendapat Sayidina Abdullah bin Abbas RA di dalam kitab tafsirnya. Menurut Ibnu Abbas bahawa setiap dosa kezaliman yang dilakukan di dalam bulan-bulan Haram ini adalah lebih berat dan besar berbanding pada bulan-bulan lain. Adapun pahala amal kebaikan dan kebajikan yang dilakukan pula lebih besar dan hebat berbanding pada bulan-bulan yang lain.

Namun begitu, kemuliaan bulan Rejab ini tak terlepas daripada dicemari dan dinodai kepalsuan dan kekeliruan yang menular. Imam al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah menegaskan bahawa tidak ada hadis sahih yang menyebut mengenai kelebihan bulan Rejab, berpuasa padanya, berpuasa daripadanya disebabkan sesuatu perkara yang terkhusus dan tertentu seperti solat. Perkara disebutkan dalam kitabnya Tabyin al-’Ajab bima warada fi Fadli Rajab.

Selain itu, Imam Ibnu Rejab al-Hanbali menyatakan bahawa tidak ada yang sahih pada kelebihan berpuasa di bulan Rejab yang khusus daripada Nabi ﷺ dan juga tidak ada yang kursus daripada sahabat Baginda ﷺ. Antara laporan hadis yang tidak sahih berkaitan dengan Rejab ialah perumpamaan orang yang menghidupkan malam Rejab dengan beribadah dengan berpuasa setahun yang dikatakan daripada riwayat Sayidina Salman al-Farisi.

Seterusnya, hadis mengenai Allah SWT memuliakan orang memuliakan bulan Rejab dengan seribu kemuliaan pada hari kiamat. Laporan sanad riwayat ini terdapat seorang (Abu al-Barakat Hibatullah al-Saqati) yang dihukumkan sebagai pendusta oleh ahli hadis. Dan hadis lain yang ada Abu al-Barakat al-Saqati ialah hadis kelebihan bulan Rejab daripada segala bulan seperti kelebihan al-Quran atas segala zikir.

Kendatipun begitu, bulan Rejab ini merupakan bulan persiapan kita dalam menuju bulan Ramadan yang berkat. Syeikh Abu Bakar al-Warraq rahimahullah mengatakan bulan Rejab merupakan bulan untuk bercucuk tanam, bulan Syaaban pula adalah bulan untuk menyiram tanaman dan bulan Ramadan pula adalah bulan untuk memungut hasil. Jangan kita lepaskan peluang untuk melakukan ibadah sunat seperti berpuasa, sedekah, membaca al-Quran, berqiyamulail dan sebagainya. Moga Allah SWT memberkati waktu dan kehidupan kita semua.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here