Mengapa Kita Perlu Bermazhab? Dalil Al-Quran dan Hadis Tentang Kepentingan Mazhab

0
28

Kita sudah sedia maklum tentang definisi mazhab dan apa maksudnya. Maka pada sudut berkaitan dengan dalil atau petunjuk daripada al-Quran dan Hadis, terdapat beberapa ayat dan sabdaan Nabi yang wajar dibuat pedoman untuk kita semua. Firman ALLAH:
فَسْـَٔلُوٓا۟ أَهْلَ ٱلذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Bertanyalah kepada ahli ilmu (alim ulama; orang yang tahu) kalau kamu tidak mengetahui. (Surah Al Nahl, ayat : 43).

Para ulama usul fiqh menjadikan ayat ini sebagai dalil menunjukkan orang awam wajib bertaqlid kepada orang alim yang mujtahid iaitu dengan mengikuti mazhab.

Seterusnya pula, para imam mazhab mengeluarkan pendapat dengan merujuk kepada al-Quran dan hadis bukan dengan hawa nafsu dan kejahilan. Bahkan mereka sangat teliti dan amanah terhadap ilmu dan menepati ciri yang disebutkan oleh Allah S.W.T:
إِنَّمَا يَخۡشَى ٱللَّهَ مِنۡ عِبَادِهِ ٱلۡعُلَمَٰٓؤُاْۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ
“Sesungguhnya mereka yang takutkan Allah daripada kalangan HambaNya adalah ulama. Sungguh, Allah Maha Perkasa, Maha Pengampun.” ( Surah Fatir, ayat:28)

Jika ditinjau daripada pedoman sabdaan Nabi mengenai ketokohan empat imam mazhab termasuk mazhab Syafie, Rasulullah ﷺ menyatakan bahawa ,
“Sebaik-baik kurun ialah kurunku, kemudian mereka yang selepas itu, kemudian mereka yang mengiringi kurun itu pula.”Hadis ini diriwayatkan Imam Bukhari dan Imam Muslim.

Menurut Jabatan Mufti Terengganu, hadis di atas secara tidak langsung menyentuh tentang empat imam mazhab kerana kesemua mereka hidup sekitar tiga kurun ini; Imam Hanafi lahir pada tahun 80H, Imam Malik pada 93H, Imam Syafie pada 150H dan Imam Ahmad pada 164H. Kesemuanya terkenal sebagai orang yang soleh, warak, takut kepada Allah dan mempunyai ilmu yang tinggi. Keupayaan ilmu mereka diakui dan dijadikan panduan oleh umat sepanjang zaman. Mengikut mereka bererti mengikut golongan salafussoleh.

Boleh dikatakan selepas kurun ketiga Hijrah, hampir semua para ulama yang datang kemudian hanya bermazhab dengan mazhab imam-imam mujtahid tersebut. Ini kerana kemampuan yang makin berkurangan di kalangan para ahli ilmu, selain kejelasan usul mazhab yang telah disusun oleh imam-imam tersebut antara faktor perlunya bermazhab.

Para ulama hadis sendiri turut bermazhab. Imam Tirmizi, Imam Nawawi dan Imam Ibn Hajar al-Asqalani dan lain-lain bermazhab Syafie. Ramai para mujaddid bermazhab Syafie seperti Imam Abu Hassan al-Asyari selaku mujaddid kurun ketiga, Imam al-Ghazali selaku mujaddid kurun kelima dan Imam Suyuti selaku mujaddid kurun kesembilan dan lain-lain lagi.

Berdasarkan dalil-dalil yang dikemukakan, kepentingan atau signifikan bermazhab ialah kita boleh membuat penghayatan agama melalui dengan kefahaman yang benar dan tersusun yang telah diwariskan dari generasi ke generasi. Hal ini kerana para ulama itu adalah pewaris Nabi. Jadi para imam mazhab dan fuqaha telah merintiskan jalan yang mudah bagi kita sebagai orang awam untuk memahami ajaran agama Islam itu sendiri.

Para imam mazhab ialah mereka yang cukup kelayakan dalam memahami dan mengetahui ILMU HADIS. Disebabkan itu mazhab mereka berkembang dan kekal sehingga generasi ini hampir ratusan dan ribuan tahun lamanya. Jadi janganlah kita bermudah-mudah menuduh pendapat Imam itu bertentangan atau berlaku kontradiks dengan hadis sahih kecuali kita benar-benar ada ilmu dalam perkara yang di perbincangkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here