Rasulullah ﷺ dan Para Sahabat رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ Bertasbih dan Bertakbir Di Sisi Kubur Saʿd bin Muʿādz رَضِيَ اللهُ عَنْهُ Sehingga Beliau Diselamatkan dari Himpitan Kubur
عَنْ جَابِرٍ بْنِ عَبْدِ اللهِ الْأَنْصَارِيِّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا، قَالَ:
خَرَجْنَا مَعَ رَسُولِ اللهِ ﷺ يَوْمًا إِلَى سَعْدِ بْنِ مُعَاذٍ حِينَ تُوُفِّيَ، قَالَ: فَلَمَّا صَلَّى عَلَيْهِ رَسُولُ اللهِ ﷺ وَوُضِعَ فِي قَبْرِهِ، وَسُوِّيَ عَلَيْهِ، سَبَّحَ رَسُولُ اللهِ ﷺ فَسَبَّحْنَا طَوِيلًا، ثُمَّ كَبَّرَ، فَكَبَّرْنَا، فَقِيلَ: يَا رَسُولَ اللهِ، لِمَ سَبَّحْتَ، ثُمَّ كَبَّرْتَ؟، قَالَ: (( لَقَدْ تَضَايَقَ عَلَى هَذَا الْعَبْدِ الصَّالِحِ قَبْرُهُ، حَتَّى فَرَّجَهُ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ عَنْهُ ))
Daripada Jābir bin ʿAbdullāh al-Anṣārī رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا, beliau berkata:
“Kami pernah keluar bersama Rasulullah ﷺ pada satu hari menuju ke (pengebumian) Saʿd bin Muʿadz رَضِيَ اللهُ عَنْهُ pada hari kewafatan beliau.
Apabila Rasulullah ﷺ telah selesai melakukan solat (jenazah) baginya dan beliau telah dikebumikan serta diratakan tanah di atas kubur beliau, Rasulullah ﷺ pun bertasbih, maka kami pun turut bertasbih dengan tasbih yang panjang. Kemudian Baginda ﷺ pun bertakbir, lalu kami pun bertakbir.
Setelah itu, Baginda ﷺ ditanya: “Wahai Rasulullah, mengapa Tuan bertasbih dan kemudian Tuan bertakbir?”
Baginda ﷺ menjawab: “Sesungguhnya kubur hamba yang soleh ini telah menjadi sempit ke atasnya, (maka aku pun bertasbih dan bertakbir) sehinggalah Allah عَزَّ وَجَلَّ telah membuka jalan keluar baginya (/melepaskannya dari himpitan kubur).”
T: (Aḥmad (241H): al-Musnad), No. 14459 [Lafaz di atas] & 14611; (al-Ṭabarānī (360H): al-Muʿjam al-Kabīr), No. 5346; (al-Tahawi (321H): Mushkil al-Athar), No. 4173; (al-Bayhaqī (458H): Dalā’il al-Nubuwwah), No. 1405 & 1407; (Ibn ʿAsākir (571H): Tārīkh Dimashq), No. 58714 dan lain-lain. [Status: Ḥasan]
Pada riwayat al-Imam al-Ṭabarani di dalam al-Muʿjam al-Kabīr (No. 5346) juga terdapat lafaz (طَوِيلًا) pada matan hadis (seperti riwayat al-Imām Aḥmad di atas) yang menunjukkan bahawa tempoh tasbih yang dilakukan adalah lama iaitu:
فَسَبَّحَ النَّاسُ مَعَهُ طَوِيلًا
“Maka orang ramai pun bertasbih (/berzikir) bersama Baginda ﷺ dalam tempoh yang panjang.”
Nota:
Hadis ini adalah di antara:
[i] dalil bagi pensyariatan amalan zikrullah seperti “Tahlil” dilakukan di sisi kubur seorang Muslim yang telah dikebumikan.
[ii] dalil bahawa amalan tersebut memberi manfaat kepadanya.
[iii] dalil bahawa Rasulullah ﷺ dan para Sahabat Baginda رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ pernah melakukan zikrullah di sisi kubur seorang Muslim.
Oleh: Dr. Abdullaah Jalil