Pembahagian Aurat Ketika Solat

PEMBAHAGIAN AURAT
Siri 50

Berkata Pengarang :

الْعَوْرَاتُ أَرْبَعٌ:
عَوْرَةُ الرَّجُلِ مُطْلَقَاً.
وَالأَمَةِ فِيْ الصَّلاَةِ مَا بَيْنَ السُّرَةِ والرُّكْبَةِ.
وَعَوْرَةُ الْحُرَّةِ فِيْ الصَّلاَةِ: جَمِيْعُ بَدَنِهَا مَا سِوَى الْوَجْهِ وَالْكَفَّيْنِ.
و عَوْرَةُ الْحُرَّةِ وَالأَمَةِ عِنْدَ الأَجَانِبِ: جَمِيْعُ الْبَدَنِ.
وَ عِنْدَ مَحَارِمِهمَا وَالنِّسَاءِ: مَا بَيْنَ السُّرَّةِ وَالرُّكْبَةِ.

Segala bahagi aurat itu ada empat bahagi yaitu :

Aurat lelaki secara mutlak dan aurat hamba sahaya perempuan di dalam solat ialah barang antara pusat dan lutut.

Dan aurat perempuan merdeka di dalam solat ialah sekelian badannya selain muka dan dua tapak tangan.

Dan aurat perempuan merdeka dan perempuan hamba sahaya di hadapan lelaki ajnabi ialah sekelian badan dan di hadapan mahramnya dan di hadapan sekelian perempuan ialah barang antara pusat dan lutut.

KETERANGAN

PENGERTIAN AURAT

Tersebut pada Kitab Mustalahat Fiqhiyah :

العَوْرَةُ لغة هو الخلل والنقص والعيب، وعورة الإنسان ما يستقبح النظر إليه

Artinya : “Bermula arti aurat pada bahasa ialah cedera dan kurang dan aib. Dan aurat manusia itu ialah suatu yang dianggap keji melihat kepadanya.”

Kerana itu seorang yang terbuka auratnya di hadapan orang maka cederalah maruahnya dan dia dikira mendapat aib.

Berkata Dr Wahbah Az-Zuhaili :

العورة لغة: النقص، وشرعاً: ما يجب ستره وما يحرم النظر إليه

Artinya : “Arti aurat pada bahasa ialah kekurangan dan pada istilah syarak ialah barang yang wajib tutupnya dan yang haram melihat kepadanya.” (Kitab Al-Fiqh Al-Islami)

Maka jadilah kewajipan menutup aurat itu ialah di atas empunya aurat maka jika empunya aurat tidak menutupnya maka dia adalah bedosa kerana telah meninggalkan suatu kewajipan.

Dan jika empunya aurat tidak menutupnya maka dia dikiaskan dengan seorang gila yang tidak mahu menutup aurat maka wajiblah atas sekelian orang menutupnya samada pemerintah atau masyarakat kerana membiarkan aurat seseorang dalam keadaan terbuka itu adalah haram dan berdosa lagi merupakan keaiban kepada masyarakat.

Demikian lagi orang-orang yang keluar dari rumah dalam keadaan tidak menutup aurat pada zaman sekarang adalah berdosa lagi fasiq dan wajiblah atas pemerintah mengenakan hukuman ke atas mereka dan pemerintah yang tidak mengenakan peraturan menutup aurat ke atas rakyatnya maka pemerintah tersebut turut berdosa kerana membiarkan perkara dosa berlaku.

Berkata Syeikh Ali As-Sobuni :

العورة ما لا يجوز كشفه

Artinya : “Bermula arti aurat itu yaitu anggota badan yang tidak harus membukanya.” (Kitab Rawa’iul Bayan)

Bermula maksud tidak harus itu yaitu haram yakni haram membiarkan aurat terbuka tanpa ditutup ketika berada di tempat yang ada orang melihatnya samada yang membiarkan aurat terbuka itu ialah empunya aurat atau orang lain yang berkuasa atas menutupnya.

TUTUP AURAT SYARAT SAH SOLAT

Dan adalah menutup aurat itu termasuk salah satu dari syarat sahnya solat maka barangsiapa yang tidak menutup auratnya samada kesemua aurat atau sebahagian daripada auratnya nescaya solatnya itu tidak sah jika terbuka auratnya itu dari awal sebelum dia masuk ke dalam solat dan jika auratnya terbuka selepas dia telah masuk ke dalam solat maka solatnya itu batal.

Dan hukum menutup aurat ketika solat itu adalah wajib dan sengaja meninggalkan menutup aurat itu adalah haram dan berdosa sama seperti di luar solat sekalipun dia mengerjakan solat di dalam gelap dan bersendirian tiada seorang pun melihatnya.

Berkata Syeikh Khatib As-Syarbini :

(وَ) ثَالِثُهَا (سَتْرُ الْعَوْرَةِ) عَنْ الْعُيُونِ، وَلَوْ كَانَ خَالِيًا فِي ظُلْمَةٍ

Artinya : “Dan syarat sah solat yang ketiga ialah menutup aurat dari segala mata dan walaupun adalah dia bersednirian di dalam gelap.” (Kitab Mughni Al-Muhtaj)

Berkata Syeikh Ramli :

وَلَوْ خَالِيًا أَوْ فِي ظُلْمَةٍ

Artinya : “Dan walaupun dia solat di tempat sunyi atau pada tempat yang gelap.” (Kitab Nihayah Al-Muhtaj)

Olih kerana itu jika seseorang itu belum menutup auratnya dengan sempurna maka haram dia mengucap takbiratulihram bagi solat.

Akan tetapi jika seorang itu terlupa menutup auratnya ketika solat atau terbuka auratnya ketika solat dan dia tidak menyedarinya maka tidaklah dia berdosa akan tetapi solatnya itu tetap tidak sah kerana tidak sempurna syaratnya.

Dan bersamaan dengan solat itu ialah melakukan tawaf di Baitillah dan sujud syukur dan sujud sajadah maka wajib menutup aurat ketika melakukan kesemua perkara tersebut.

Dan tidak wajib menutup aurat ketika melakukan ibadah yang selainnya ketika bersendirian seperti membaca Quran dan hadith dan berselawat dan berzikir dan berdoa dan dan seumpamanya tetapi sunat menutup aurat dengan sempurna ketika melakukan sekelian perkara tersebut dan dengan menutup aurat itu ialah adab yang sangat elok.

Menyebut olih Dr Solah As-Sowi :

قراءة القرآن ليست من جنس الصلاة؛ فلا يشترط لها ستر العورة، ولكن إن فعلت ذلك فقد أحسنت بارك الله فيك

Artinya : “Bermula membaca Quran itu bukanlah daripada jenis solat maka tidaklah disyaratkan baginya akan menutup aurat dan tetapi jika kamu melakukannya yakni menutup aurat ketika membaca Quran maka sungguhnya kamu telah melakukan yang lebih baik semoga Allah memberkati diri kamu.” (Kitab Fatawa As-Sowi)

AURAT LELAKI

Berkata Pengarang :

عَوْرَةُ الرَّجُلِ مُطْلَقَاً وَالأَمَةِ فِيْ الصَّلاَةِ مَا بَيْنَ السُّرَةِ والرُّكْبَةِ

Artinya : “Aurat lelaki secara mutlak dan aurat hamba sahaya perempuan di dalam solat ialah barang antara pusat dan lutut.”

Maksudnya aurat lelaki di dalam solat ialah di antara pusat dan lututnya yakni wajib dia menutup akan barang yakni anggota yang berada di antara pusatnya dan lututnya ketika menunaikan solat.

Berkata Imam Nawawi :

وعورة الرجل ما بين سرته وركبته وكذا الأمة في الأصح

Artinya : “Bermula aurat lelaki itu ialah barang antara pusatnya dan lututnya dan seperti demikian juga aurat hamba perempuan pada qaul yang paling sahih.” (Kitab Minhaj At-Talibin)

Dan begitu juga aurat dari belakang lelaki yaitu yang setentang dengan pusatnya pada keliling badannya maka tiadalah boleh terbuka semua bahagian badan yang dikira sebagai auratnya itu kerana terbuka auratnya samada sedikit atau banyak akan membatalkan solat.

Berkata Dr Mustafa Al-Bugha :

حدودها بالنسبة للرجل: ما بين السرة والركبة، فيجب أن لا يبدوا شئ منه في الصلاة

Artinya : “Bermula sempadan aurat bagi lelaki itu ialah barang antara pusat dan lutut maka wajib bahawa tiada terbuka oleh suatu daripadanya di dalam solat.” (Kitab Al-Fiqh Al-Manhaji)

Maka jika ada satu tempat pada badannya antara pusat sampai ke lututnya yang tidak ditutup seperti pada pahanya atau punggungnya dari mula dia mengucap takbir sampai selesai memberi salam walau pun sedikit nescaya solatnya tidak sah.

Berkata Imam Al-Baghawi :

وَمَنْ صَلَّى مَكْشُوفَ شَيْءٍ مِنْ عَوْرَتِهِ مَعَ الْقُدْرَةِ عَلَى السَّتْرِ لَا تَصِحُّ صَلاتُهُ، فَعَلَى الرَّجُلِ سَتْرُ مَا بَيْنَ سُرَّتِهِ وَرُكْبَتِهِ

Artinya : “Dan barangsiapa yang solat ia dalam keadaan terbuka suatu daripada auratnya ketika dia mampu menutupnya nescaya tidak sah solatnya maka wajib atas lelaki itu menutup barang antara pusatnya dan lututnya.” (Kitab Syarah As-Sunnah)

Berkata Imam As-Syairazi :

فان انكشف شئ من العورة مع القدرة لم تصح صلاته

Artinya : “Maka jika terbuka olih suatu daripada aurat sedangkan dia mampu menutupnya nescaya tidak sah solatnya.” (Kitab Al-Muhazzab)

Yang dimaksudkan wajib menutup aurat ketika mampu itu ialah ketika seorang itu mempunyai pakaian atau suatu yang dapat dijadikan penutup bagi auratnya ketika solat.

Maka pada ketika seorang itu tidak mampu menutup auratnya seperti seorang yang terkurung di dalam tempat yang tidak mempunyai pakaian atau dia tidak mempunyai suatu yang bolih dijadikan penutup auratnya maka sah dia solat dalam keadaan tidak menutup aurat.

Berkata Imam Taqiyudin Ad-Dimasyqi :

وَالْإِجْمَاع مُنْعَقد على ذَلِك عِنْد الْقُدْرَة فَإِن عجز عَن الستْرَة صلى عُريَانا وَلَا إِعَادَة عَلَيْهِ على الرَّاجِح لِأَنَّهُ عذر عَام

Artinya : “Dan telah berlaku ijmak atas wajib tutup aurat dalam solat itu ketika mampu. Maka jika seorang itu lemah dari menutupnya maka solatlah ia dalam keadaan tidak menutup aurat dan tiada ada ulang atasnya atas pendapat yang kuat kerana sungguhnya ia adalah uzur yang umum.” (Kitab Kifayatul Akhyar)

Dan demikian juga aurat perempuan hamba sahaya di dalam solat yaitu barang antara pusat dan lututnya.

Dan demikian lagi aurat lelaki di hadapan sekelian lelaki asing dan sekelian lelaki dan perempuan yang mahramnya ialah barang antara pusat dan lututnya maka haram seorang lelaki membuka barang antara pusat dan lututnya dihadapan lelaki yang lain sekalipun mahmramnya.

Berkata Syeikh Ali-As-Sobuni :

أما عورة الرجل مع الرجل: فهي من (السرة إلى الركبة) فلا يحل للرجل أن ينظر إلى عورة الرجل فيما بين السرة والركبة وما عدا ذلك فيجوز له النظر إليه

Artinya : “Adapun aurat lelaki serta lelaki itu yaitulah antara pusat dan lututnya maka tiada halal bagi lelaki memandang kepada aurat lelaki yaitu bahagian badan antara pusat dan lututnya dan harus baginya memandang kepada selain dari yang demikian itu.” (Kitab Tafsir Rawa’iul Bayan)

Adapun aurat lelaki di hadapan sekelian perempuan ajnabiyat yang bukan mahramnya adalah sekelian badannya selain muka dan dua tangannya.

Berkata Dr Mustafa Al-Khin :

أما عند النساء الأجنبيات فما عدا الوجه والكفين على المعتمد أي لا يجوز للنساء الأجنبيات أن ينظرن إلى ماعدا وجه الرجل الأجنبي وكفيه

Artinya : “Adapun aurat lelaki di hadapan perempuan ajnabiyat maka yaitu selain muka dan dua tangannya atas pendapat yang muktamad artinya tiada harus bagi perempuan ajnabiyat memandang kepada selain muka dan dua tangan lelaki ajnabi.” (Kitab Al-FIqh Al-Manhaji)

Dari kerana inilah hendaklah seorang lelaki itu memakai bajunya ketika berada di luar rumah atau dia berada di dalam rumah akan tetapi ada orang perempuan yang bukan mahramnya di dalam rumah tersebut.

AURAT PEREMPUAN MERDEKA

Berkata Pengarang :

وَعَوْرَةُ الْحُرَّةِ فِيْ الصَّلاَةِ: جَمِيْعُ بَدَنِهَا مَا سِوَى الْوَجْهِ وَالْكَفَّيْنِ

Artinya : “Dan aurat perempuan merdeka di dalam solat ialah sekelian badannya selain muka dan dua tapak tangan.”

Telah diriwayatkan daripada Aisyah r.a. daripada Nabi sollallahu alaihi wasallam bahawsanya baginda telah bersabda :

لَا يَقْبَلُ اللَّهُ صَلاةَ حَائِضٍ إِلا بِخِمَارٍ

Artinya : “Tidak menerima oleh Allah akan solat perempuan yang haidh melainkan dengan memakai tudung.” (Hadith riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

Maksud perempuan yang haidh itu ialah sekelian perempuan yang telah baligh.

Berkata Imam Nawawi :

وَالْمُرَادُ بِالْحَائِضِ الَّتِي بَلَغَتْ

Artinya : “Dan yang dikehendaki dengan perempuan yang haidh itu ialah perempuan yang telah sampai umur.” (Kitab Al-Majmu’)

Berkata Syeikh Khatib As-Syarbini :

وَالْمُرَادُ بِالْحَائِضِ: الْبَالِغُ الَّتِي بَلَغَتْ سِنَّ الْحَيْضِ

Artinya : “Dan yang dikehendaki dengan perkataan al-haidh itu ialah perempuan yang telah sampai usia datang haidh.” (Kitab Mughni Al-Muhtaj)

Maka jadilah sempadan aurat perempuan ketika solat itu ialah sekelian badannya melainkan muka dan dua pergelangan tangannya.

Yang dimaksudkan dengan dua pergelangan tangan perempuan yang bukan aurat itu yaitu tapak tangan dan sekelian perut anak jari dan belakang tapak tangan dan sekelian belakang anak jarinya sampai ke sendi pada penghujung tapak tangannya.

Berkata Syeikh Khatib As-Syarbini :

(وَ) عَوْرَةُ (الْحُرَّةِ مَا سِوَى الْوَجْهِ وَالْكَفَّيْنِ) ظَهْرِهِمَا وَبَطْنِهِمَا مِنْ رُءُوسِ الْأَصَابِعِ إلَى الْكُوعَيْنِ

Artinya : “Dan aurat perempuan merdeka itu ialah barang selain muka dan dua tapak tangannya zahir keduanya dan batin keduanya termasuk sekelian kepala jari-jarinya hingga dua pergelangan.” (Kitab Mughni Al-Muhtaj)

Berkata Dr Mustafa Al-Bugha :

وحدودها بالنسبة للمرأة: كل البدن ما عدا الوجه والكفَّين، فيجب أن لا يبدو شئ مما عدا ذلك في الصلاة

Artinya : “Dan sempadan aurat bagi perempuan itu ialah sekelian badannya selain muka dan dua pergelangan tangannya. Maka wajiblah bahawa tiada terbuka suatu daripada anggota yang selain yang demikian itu di dalam solat.” (Kitab Al-Fiqh Al-Manhaji)

Maka jika terbuka sebahagian dari aurat perempuan di dalam solat seperti terkeluar rambutnya atau terbuka lehernya atau lengannya atau kakinya sekalipun sedikit nescaya tidak sah solatnya itu dan wajib perempuan itu solat semula.

Berkata Imam Ibnu Quddamah :

وقال الشافعي تبطل لانه حكم تعلق بالعورة فاستوى قليله وكثيره كالنظرة

Artinya : “Dan telah berkata ulamak mazhab Syafie batal solat seorang yang terbuka auratnya kerana sungguhnya ia hukum yang berkait dengan aurat maka bersamaan ia samada (terbuka) sedikit atau banyak sama seperti hukum memandang.” (Kitab Al-Mughni)

Berkata Imam Al-Baghawi :

فَإِذَا انْكَشَفَ شَيْءٌ مِمَّا سِوَى الْوَجْهِ وَالْيَدَيْنِ عَلَيْهَا الإِعَادَةُ

Artinya : “Maka apabila terbuka olih suatu daripada anggota yang selain muka dan dua pergelangan tangannya maka wajib atasnya mengulangi solat.” (Kitab Syarah As-Sunnah)

Yang dimaksudkan dengan mengulangi solat itu ialah menutup auratnya dengan sempurna kemudian memulakan semula solatnya daripada awal.

ARTI MAHRAM

Bermula makna yang dikehendaki dengan perkataan mahram pada bab ini ialah sekelian lelaki yang haram berkahwin dengan perempuan.

الْمُرَادُ بِمَحْرَمِ الْمَرْأَةِ مَنْ يَحْرُمُ عَلَيْهِ نِكَاحُهَا عَلَى وَجْهِ التَّأْبِيدِ لِنَسَبٍ أَوْ سَبَبٍ (مُصَاهَرَةٍ) أَوْ رَضَاعٍ

Artinya : “Yang dikehendaki dengan mahram bagi perempuan itu ialah sekelian orang yang haram atasnya mengahwininya atas jalan selama-lamanya samada dengan sebab nasab atau musoharah seperti mertua dan menantu atau sebab susuan.”

AURAT PEREMPUAN DI LUAR SOLAT

Berkata Pengarang :

وعَوْرَةُ الْحُرَّةِ وَالأَمَةِ عِنْدَ الأَجَانِبِ : جَمِيْعُ الْبَدَنِ. وَ عِنْدَ مَحَارِمِهمَا وَالنِّسَاءِ : مَا بَيْنَ السُّرَّةِ وَالرُّكْبَةِ

Artinya : “Dan aurat perempuan merdeka dan perempuan hamba sahaya di hadapan lelaki ajnabi ialah sekelian badan manakala aurat mereka di hadapan segala mahram dan sesama perempuan ialah barang antara pusat dan lutut.”

Maksudnya apabila seorang perempuan merdeka berada di hadapan lelaki ajnabi hendaklah dia menutup sekelian badannya kerana sekelian badannya termasuk muka dan dua pergelangan tangan adalah aurat yang wajib ditutup.

Dan menurut sebahagian fuqahak aurat perempuan merdeka di hadapan lelaki ajnabi itu ialah sekelian badannya selain muka dan dua pergelangan tangannya.

Berkata Syeikh Bafadhal Al-Hadhrami :

والحرة فِي صلَاتهَا وَعند الْأَجَانِب جَمِيع بدنهَا إِلَّا الْوَجْه وَالْكَفَّيْنِ

Artinya : “Dan aurat perempuan merdeka ketika di dalam solatnya dan ketika di sisi sekelian lelaki ajnabi ialah sekelian badannya melainkan muka dan dua tapak tangannya.” (Kitab Al-Muqaddimah Al-Hadhramiyah)

Dan adapun aurat perempuan di hadapan lelaki yang mahram dan sesama perempuan ialah barang antara pusat dan lutut maka selain antara pusat dan lututnya bukanlah aurat di hadapan mereka itu.

Berkata Dr Mustafa Al-Khin :

وأما عند الرجال المحارم لها: فما بين السرة والركبة، أي فيجوز لها أن تبدي سائر أطراف جسمها أمامهم بشرط أمن الفتنة وإلا فلا يجوز ذلك أيضاً

Artinya : “Dan adapun aurat perempuan di hadapan sekelian lelaki mahramnya yaitu barang antara pusat dan lututnya artinya harus bagi perempuan membuka sekelian bahagian badan selain antara pusat dan lututnya di hadapan mereka dengan syarat aman dari fitnah maka jika tidak aman dari fitnah nescaya tiada harus membuka yang demikian itu.” (Kitab Al-Fiqh Al-Manhaji)

Berkata Imam Ar-Razi :

أَمَّا عَوْرَةُ الْمَرْأَةِ مَعَ الْمَرْأَةِ فَكَعَوْرَةِ الرَّجُلِ مَعَ الرَّجُلِ، فَلَهَا النَّظَرُ إِلَى جَمِيعِ بَدَنِهَا إِلَّا مَا بَيْنَ السُّرَّةِ وَالرُّكْبَةِ، وَعِنْدَ خَوْفِ الْفِتْنَةِ لَا يَجُوزُ

Artinya : “Adapun aurat perempuan sesama perempuan itu itu ialah seperti aurat lelaki sesama lelaki maka harus bagi perempuan itu melihat sekelian badan perempuan selain barang antara pusat dan lututnya dan ketika berlaku fitnah tidak harus melihat kepada selain pusat dan lutut juga.” (Kitab Tafsir Al-Kabir)

Dan adapun aurat perempuan Islam di hadapan sekelian perempuan yang kafir menurut pendapat yang paling sahih ialah perempuan kafir itu adalah seperti sekelian lelaki yang bukan mahram.

Kitab Al-Mausu’atul Fiqhiyah :

ذَهَبَ جُمْهُورُ الْفُقَهَاءِ: (الْحَنَفِيَّةُ وَالْمَالِكِيَّةُ وَهُوَ الأْصَحُّ عِنْدَ الشَّافِعِيَّةِ) إِلَى أَنَّ الْمَرْأَةَ الأْجْنَبِيَّةَ الْكَافِرَةَ كَالرَّجُل الأْجْنَبِيِّ بِالنِّسْبَةِ لِلْمُسْلِمَةِ، فَلاَ يَجُوزُ أَنْ تَنْظُرَ إِلَى بَدَنِهَا، وَلَيْسَ لِلْمُسْلِمَةِ أَنْ تَتَجَرَّدَ بَيْنَ يَدَيْهَا

Artinya : “Telah berjalan olih jumhur fuqahak yaitu fuqahak mazhab Hanafi dan Maliki dan yang paling sahih di sisi mazhab Syafie kepada bahawa perempuan ajnabiyah yang kafir itu sama seperti lelaki dinisbahkan kepada perempuan yang Islam maka tiada harus perempuan yang kafir itu memandang kepada badannya dan tiada harus bahawa perempuan Islam itu membuka pakaian dihadapan perempuan yang kafir.”

AURAT SUAMI ISTERI

Adapun suami isteri maka tiada aurat antara keduanya kerana dengan akad nikah yang sah jadi terangkat hukum haram melihat antara satu sama lain maka harus suami atau isteri melihat kepada mana-mana bahagian badan mereka berdua.

Berkata Syeikh Al-As-Sobuni :

وأما إذا كان (زوجاً) فليس هناك عورة مطلقاً لقوله تعالى: {إِلاَّ على أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ} [المؤمنون: 6]

Artinya : “Dan apabila keduanya suami isteri maka tidak ada di sana hukum aurat sama sekali kerana firman Allah Taala : Melainkan atas sekelian isteri mereka atau hamba sahaya mereka maka sungguhnya mereka itu tiada kecelaan (tidak memelihara pandangan dan kemaluan).” Kitab Tafsir Rawa’iul Bayan)

SYARAT SAH MENUTUP AURAT

Dan adalah disyaratkan pakaian yang digunakan untuk menutup aurat itu hendaklah suatu yang dapat menutup daripada nampak warna kulit pemakainya jika dilihat dari luar pakaiannya itu.

Berkat Imam As-Syairazi :

وَيَجِبُ سَتْرُ الْعَوْرَةِ بِمَا لَا يَصِفُ لَوْنَ الْبَشَرَةِ مِنْ ثَوْبٍ صَفِيقٍ أَوْ جِلْدٍ أَوْ وَرَقٍ فَإِنْ سَتَرَ بِمَا يَظْهَرُ مِنْهُ لَوْنُ الْبَشَرَةِ مِنْ ثَوْبٍ رَقِيقٍ لَمْ يَجُزْ لِأَنَّ الستر لا يحصل بذلك

Artinya : “Dan wajib menutup aurat itu dengan suatu yang tidak mengsifatkan akan warna kulit seperti kain yang tebal atau kulit atau helaian daun. Maka jika ditutup dengan suatu yang menampakkan daripadanya akan warna kulit seperti kain yang sangat nipis maka tidak memadai kerana sungguhnya tidak berhasil nama tutup aurat dengan yang demikian itu.” (Kitab Al-Muhazzab)

Jika tiada cukup pakaian seseorang untuk menutup semua bahagian auratnya lalu dia tutupnya dengan umpama selut maka hukumnya adalah harus dan sah solatnya.

Berkata Imam Nawawi :

وَشَرْطُهُ: مَا مَنَعَ إِدْرَاكَ لَوْنِ الْبَشَرَةِ، وَلَوْ طِينٌ وَمَاءٌ كَدِرٌ وَالأَصَحُّ: وُجُوبُ التَّطَيُّنِ عَلَى فَاقِدِ الثَّوْبِ

Artinya : “Dan syaratnya yakni syarat sah menutup aurat itu ialah dengan barang yang menutup dari nampak warna kulit walaupun dengan tanah dan air yang keruh. Dan menurut qaul yang paling sahih wajib melumur tanah atas orang yang ketiadaan pakaian.” (Kitab Minhaj At-Talibin)

Dan berkata Imam Nawawi lagi :

قَالَ أَصْحَابُنَا يَجِبُ السَّتْرُ بِمَا يَحُولُ بَيْنَ النَّاظِرِ وَلَوْنِ الْبَشَرَةِ فَلَا يَكْفِي ثَوْبٌ رَقِيقٌ يُشَاهَدُ مِنْ وَرَائِهِ سَوَادُ الْبَشَرَةِ أَوْ بَيَاضُهَا

Artinya : “Telah berkata oleh Ashab kami wajib menutup aurat itu dengan suatu yang menghalang antara yang melihat dan antara warna kulit. Maka tidak memadai tutup dengan kain yang sangat nipis yang dapat dilihat dari luarnya akan gelapnya kulit atau cerahnya kulit.” (Kitab Al-Majmu’)

Yang dimaksudkan dengan nampak warna kulit itu ialah nampak warna kulit pemakainya itu samada putih atau merah atau cokelat atau hitam.

Dan sebab tidak sah solat jika masih dapat dilihat akan warna kulit itu ialah kerana tidaklah dinamakan sudah menutup aurat dengan memakai pakaian yang masih menampakkan auratnya.

Adapun jika hanya nampak bayang tubuhnya tiada nampak warna kulitnya maka tidaklah membatalkan solat tetapi makruh.

Dan wajib menutup aurat ketika solat itu ialah daripada atasnya dan daripada kelilingnya dan tiada wajib menutup daripada bawahnya.

Berkata Imam Nawawi :

ويجب ستر أعلاه وجوانبه لا أسفله فلو رؤيت عورته من جيبه في ركوع أو غيره لم يكف فليزره أو يشد وسطه

Artinya : “Dan wajib menutup aurat itu ialah bahagian atas orang yang solat itu dan bahagian kelilingnya tiada wajib bahagian bawahnya. Maka jikalau dilihat auratnya dari belahan leher bajunya pada ketika rukuk atau lainnya nescaya pakaiannya itu tidak memadai maka hendaklah dia memakai kain sarung atau mengikat kain pada pertengahan badannya.” (Kitab Minhaj At-Talibin)

Maksudnya jika seorang lelaki solat dengan hanya memakai sehelai pakaian dan ketika dia rukuk kelihatan dari luar leher bajunya olih auratnya di dalam bajunya itu maka solatnya itu tidak sah.

Dari kerana itulah Rasulullah sollallahu alaihi wasalam menyuruh supaya ditutup belahan leher baju itu dengan butang atau seumpamanya.

Telah diriwayatkan daripada Salamah bin Al-Akwa’ r.a. beliau berkata :

يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي رَجُلٌ أَصِيدُ أَفَأُصَلِّي فِي الْقَمِيصِ الْوَاحِدِ قَالَ نَعَمْ وَازْرُرْهُ وَلَوْ بِشَوْكَةٍ

Artinya : “Wahai Rasulullah sungguhnya aku ini seorang pemburu maka adakah bolih aku solat dengan memakai sehelai gamis sahaja? Sabdanya : Ya bolih dan ikatlah dia walau dengan sebatang duri.” (Hadith riwayat Abu Daud)

Jika seorang yang memakai hanya sehelai pakaian itu tidak menutup akan belahan leher bajunya maka solatnya sah daripada awalnya akan tetapi ketika dia tunduk rukuk misalnya lalu nampak auratnya dari belahan leher bajunya itu maka solatnya batal.

Berkata Syeikh Ibnu Hajar :

فَإِنْ لَمْ يَفْعَلْ ذَلِكَ انْعَقَدَتْ صَلَاتُهُ ثُمَّ تَبْطُلُ عِنْدَ انْحِنَائِهِ بِحَيْثُ تُرَى عَوْرَتُهُ

Artinya : “Maka jika seorang itu tidak berbuat yang demikian itu yakni tidak menutup akan leher bajunya maka solatnya itu sah kemudian batal ketika dia tunduk sekira-kira dapat dilihat akan auratnya.” (Kitab Tuhfah Al-Muhtaj)

Dan jika seorang itu menutup akan auratnya dengan tangannya seperti ada lubang pada kainnya yang nampak dari lubang itu akan auratnya lalu dia solat dengan meletakkan tangannya ke atas lubang itu nescaya sah solatnya.

Berkata Syeikh Al-Ghamrawi :

وَله ستر بَعْضهَا أَي عَوْرَته بِيَدِهِ فِي الْأَصَح

Artinya : “Dan harus bagi orang yang solat itu menutup akan sebahagian auratnya dengan tangannya pada qaul yang paling sahih.” (Kitab As-Siraj Al-Wahhaj)

Demikian lagi jika terbuka sebahagian auratnya ketika sedang solat lalu dia tutup dengan tangannya maka solatnya tidak batal.

wallahua’lam
ustaz azhar idrus

Latest articles

Related articles